Setiap pekerja di Malaysia, sama ada dalam sektor swasta mahupun kerajaan, akan berdepan dengan kontrak pekerjaan sebaik sahaja menerima tawaran kerja. Dokumen ini bukan sekadar formaliti, tetapi satu perjanjian bertulis yang mengikat kedua-dua pihak dengan syarat dan tanggungjawab yang telah dipersetujui.
Memahami isi kandungan kontrak sebelum menandatanganinya sangat penting kerana ia akan menentukan perjalanan kerjaya anda, daripada aspek gaji, cuti, hingga ke hak penamatan kerja.
Ramai pekerja menandatangani kontrak tanpa membaca dengan teliti, lalu akhirnya berhadapan kesukaran apabila berlaku pertikaian atau salah faham di tempat kerja.
Elemen Utama dalam Kontrak Pekerjaan
Sebuah kontrak yang lengkap bukan sahaja menetapkan hubungan kerja, tetapi juga menjadi dokumen rujukan sekiranya berlaku sebarang pertikaian antara majikan dan pekerja.
Berikut adalah elemen kontrak pekerjaan yang perlu diberi perhatian sebelum anda menandatangani.
- Maklumat Pihak Terlibat
Setiap kontrak mesti menyatakan dengan jelas butiran asas kedua-dua pihak. Ini termasuk nama penuh, nombor pengenalan diri, serta alamat pekerja dan majikan. Kejelasan maklumat ini penting untuk memastikan tiada kekeliruan tentang identiti pihak yang terlibat dalam perjanjian.
- Skop dan Jawatan Kerja
Isi kandungan kontrak perlu memperincikan jawatan rasmi pekerja, skop tugas harian, serta lokasi tempat kerja. Ada kontrak yang turut memasukkan sasaran prestasi utama atau Penunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi membantu menilai pencapaian pekerja dengan lebih objektif.
- Tempoh Percubaan
Kebiasaannya, tempoh percubaan berlangsung antara 3 hingga 6 bulan. Dalam fasa ini, majikan boleh menilai kesesuaian pekerja dengan jawatan, manakala pekerja pula berpeluang menyesuaikan diri dengan budaya kerja syarikat. Kontrak juga perlu menjelaskan tentang notis penamatan kerja semasa dan selepas tempoh percubaan.
- Gaji dan Faedah
Kontrak mesti menyatakan dengan jelas jumlah gaji pokok yang tidak boleh kurang daripada gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan. Selain itu, elaun, bonus, insentif, serta manfaat lain seperti insurans atau kemudahan tambahan juga perlu dinyatakan.
- Jadual Kerja dan Waktu Rehat
Kontrak perlu menyatakan waktu bekerja rasmi, jumlah hari bekerja dalam seminggu, serta hari rehat yang diberikan. Polisi mengenai kerja lebih masa (OT) dan kadar bayaran OT juga perlu diterangkan dengan jelas untuk mengelakkan salah faham di kemudian hari.
- Hak Cuti
Setiap pekerja berhak mendapat cuti tahunan minimum lapan (8) hari, bergantung pada tempoh perkhidmatan. Selain itu, pekerja juga berhak mendapat cuti sakit berbayar (minimum 14 hari setahun), cuti umum berbayar, serta cuti khas seperti cuti bersalin yang dilindungi oleh undang-undang buruh di Malaysia.
- Caruman Wajib
Kontrak pekerjaan wajib menyatakan tanggungjawab majikan untuk membuat caruman kepada badan statutori. Ini termasuk:
- KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja / EPF) untuk simpanan persaraan pekerja.
- PERKESO (SOCSO) yang memberi perlindungan sekiranya berlaku kemalangan pekerjaan atau keilatan.
- Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) menyediakan sokongan kewangan sekiranya pekerja kehilangan pekerjaan.
- Tempoh Notis & Penamatan
Isi kandungan kontrak perlu menetapkan syarat notis berhenti kerja sama ada oleh pekerja atau majikan. Selain itu, kontrak juga perlu menyenaraikan sebab-sebab utama penamatan, seperti salah laku serius, pelanggaran kontrak, atau prestasi kerja yang tidak memuaskan.
- Kerahsiaan dan Larangan Bersaing
Banyak syarikat memasukkan klausa kerahsiaan bagi melindungi maklumat sulit organisasi. Sesetengah kontrak juga mengandungi klausa larangan bersaing (non-compete clause) yang melarang pekerja menyertai syarikat pesaing untuk tempoh tertentu selepas menamatkan kontrak.
- Perkara Lain
Akhir sekali, kontrak pekerjaan mungkin turut mengandungi elemen tambahan seperti klausa pindaan kontrak, mekanisme penyelesaian pertikaian, atau syarat khas lain yang dipersetujui bersama antara majikan dan pekerja.
Baca juga: Panduan dan Format Kontrak Pekerjaan di Malaysia
Secara keseluruhannya, kontrak pekerjaan bukan sekadar dokumen formaliti, tetapi merupakan asas kepada hubungan kerja yang adil dan telus. Sebelum menandatangani sebarang kontrak, pekerja disarankan untuk membaca dengan teliti setiap klausa yang terkandung di dalamnya.
Jangan terburu-buru atau menganggap ia hanya prosedur biasa kerana apa yang anda tandatangani akan memberi kesan jangka panjang kepada kerjaya dan kehidupan.
Pengurusan Pekerja Boleh Jadi Mencabar Tanpa MySyarikat!
Sebagai majikan, menguruskan pelbagai jenis pekerja boleh menjadi tugas yang rumit. Tanpa sistem yang teratur, risiko salah pengiraan, rekod bercelaru, atau ketidakpatuhan terhadap polisi adalah tinggi.
Perkenalkan MySyarikat, sistem HRMS (Human Resource Management System) automasi yang membantu majikan:
- Mengautomasikan tugasan: Semua tugasan direkodkan secara digital untuk memudahkan semakan.
- Menguruskan pengurusan secara online: Sebarang tugasan kini boleh diakses dengan satu klik.
- Memastikan pematuhan: Sistem direka untuk mematuhi undang-undang kerja di Malaysia.
Tidak kira sama ada anda majikan SME atau syarikat besar, MySyarikat adalah penyelesaian lengkap untuk pengurusan sumber manusia anda!
Mari BOOK DEMO untuk dapatkan sistem MySyarikat sekarang!
