Skip to main content

Dalam undang-undang kerja Malaysia, pelajar yang menjalani latihan industri atau intern didefinisikan sebagai individu yang sedang melengkapkan keperluan akademik melalui pengalaman praktikal di tempat kerja. 

Walaupun mereka menjalankan tugas yang serupa dengan pekerja biasa, dari sudut perundangan, intern tidak dikategorikan sebagai “pekerja” di bawah Akta Kerja 1955. Mereka dilihat lebih sebagai peserta program latihan  berbanding tenaga kerja formal. 

Ini bermakna intern tidak menikmati hak-hak pekerja seperti perlindungan terhadap pemberhentian tidak adil, bayaran kerja lebih masa, atau faedah caruman sosial seperti KWSP dan PERKESO. 

Adakah Syarikat WAJIB Bayar Gaji Minimum kepada Intern?

Jawapannya adalah Tidak Wajib. Ini kerana intern bukan pekerja dalam erti kata undang-undang, mereka tidak terikat dengan kewajiban gaji minimum seperti yang ditetapkan dalam Perintah Gaji Minimum 2022. 

Perintah ini mewajibkan semua majikan membayar sekurang-kurangnya RM1,700 sebulan kepada pekerja, tetapi hanya terpakai kepada mereka yang diiktiraf sebagai “pekerja” di bawah Akta Kerja 1955.

Dalam konteks ini, majikan tidak bertanggungjawab secara sah untuk membayar intern gaji minimum, walaupun intern mungkin bekerja sepenuh masa atau menyumbang secara signifikan dalam operasi syarikat.

Elaun Intern: Apa yang Anda Perlu Tahu

Sebagai ganti gaji, intern biasanya menerima elaun iaitu satu bentuk imbuhan berbentuk bantuan kewangan. Elaun dan gaji adalah dua konsep yang berbeza dalam undang-undang buruh:

  • Gaji ialah pampasan wajib yang dijamin di bawah undang-undang bagi pekerja tetap, lengkap dengan faedah, caruman, dan perlindungan hak kerja.
  • Elaun, sebaliknya, ialah imbuhan berbudi bicara yang diberikan tanpa ikatan undang-undang. Ia bertujuan untuk membantu intern menampung kos sara hidup seperti pengangkutan, makanan, dan keperluan asas sepanjang tempoh latihan.

Dari sudut perlindungan undang-undang, elaun tidak memberikan intern hak yang setara dengan pekerja tetap. Tiada keperluan sah untuk membayar elaun tertentu, melainkan termaktub dalam perjanjian antara institusi pendidikan, pelajar, dan syarikat. Dengan kata lain, elaun intern adalah berbentuk ihsan, bukan satu kewajiban di sisi undang-undang.

Standard Elaun Intern di Malaysia

  1. Sektor Kerajaan dan GLC

Sejak 1 September 2019, pelajar latihan industri yang ditempatkan di kementerian, jabatan, dan agensi kerajaan layak menerima elaun minimum RM5 sejam. Ini menetapkan satu standard asas untuk memastikan intern mendapat sedikit imbuhan bagi kos sara hidup sepanjang tempoh latihan.

Pada Julai 2023, landskap elaun sektor awam diperkemas lagi apabila Perdana Menteri Malaysia mengumumkan elaun minimum baharu RM800 sebulan untuk intern di pejabat kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

  1. Sektor Swasta

Berbeza dengan sektor kerajaan, tiada paksaan kadar minimum elaun dalam sektor swasta. Undang-undang tidak menetapkan kewajiban pembayaran tertentu kepada intern di syarikat persendirian. Namun begitu, kerajaan menggalakkan sektor swasta menawarkan elaun sekitar RM800 hingga RM900 sebulan dalam satu bentuk soft policy tanpa kuasa penguatkuasaan.

Amalan ini menjadikan pengalaman intern di sektor swasta sangat berbeza-beza, bergantung sepenuhnya kepada polisi dan sikap majikan terhadap program latihan industri.

Kenapa Syarikat Masih Perlu Bayar Intern?

Walaupun undang-undang tidak mewajibkan pembayaran elaun kepada intern, terdapat alasan kukuh mengapa syarikat perlu menawarkan imbuhan yang adil.

  • Perspektif Moral: Membayar intern, walaupun minimum, adalah refleksi tanggungjawab moral. Intern memberi masa, tenaga, dan sumbangan sebenar kepada operasi harian syarikat.
  • Reputasi Korporat: Syarikat yang menghargai intern membina reputasi positif dalam pasaran kerja. Generasi muda lebih tertarik kepada majikan yang adil dan beretika.
  • Tanggungjawab Sosial: Menawarkan elaun kepada intern mencerminkan komitmen syarikat terhadap pembangunan modal insan negara dan sokongan kepada pendidikan praktikal.
  • Daya Saing Mendapatkan Bakat: Dalam pasaran bakat yang kompetitif, elaun yang kompetitif boleh menjadi faktor pembeza utama untuk menarik calon intern berkualiti tinggi, yang mungkin menjadi pekerja tetap di masa hadapan.

Hak dan Perlindungan Pelajar Intern

Di sebalik penyertaan mereka dalam tugasan harian organisasi, pelajar intern tidak mempunyai hak pekerjaan penuh di sisi undang-undang.

  • Tiada Hak Cuti, Overtime, KWSP, SOCSO
    • Intern tidak berhak mendapat faedah biasa seperti cuti tahunan, bayaran kerja lebih masa, mahupun caruman KWSP dan SOCSO. Ini kerana mereka tidak dikategorikan sebagai pekerja formal di bawah Akta Kerja 1955.
  • Hak Minimum Berdasarkan Kontrak/Perjanjian
    • Segala hak intern bergantung kepada apa yang dipersetujui dalam perjanjian latihan industri antara pelajar, institusi pendidikan, dan syarikat. Tanpa perjanjian yang jelas, intern berisiko berhadapan dengan ketidakpastian dalam perlindungan hak mereka.
  • Ketiadaan Keperluan Notis Berhenti
    • Intern juga tidak diwajibkan memberikan notis formal sekiranya mahu menamatkan latihan lebih awal. Syarikat juga tidak wajib membayar sebarang bentuk pampasan atau ganti rugi.

Baca jugaKenali Hak Intern Bekerja di Tempat Kerja

Kesimpulannya, syarikat di Malaysia tidak diwajibkan membayar gaji minimum kepada intern, namun memberikan elaun adalah amalan terbaik yang sepatutnya dipraktikkan secara konsisten.

Elaun bukan sahaja mengiktiraf sumbangan intern tetapi juga meningkatkan imej korporat dan memupuk ekosistem latihan industri yang sihat.

Pengurusan Pekerja Boleh Jadi Mencabar Tanpa MySyarikat!

Sebagai majikan, menguruskan pelbagai jenis pekerja boleh menjadi tugas yang rumit. Tanpa sistem yang teratur, risiko salah pengiraan, rekod bercelaru, atau ketidakpatuhan terhadap polisi adalah tinggi.

Perkenalkan MySyarikat, sistem HRMS (Human Resource Management System) automasi yang membantu majikan:

  • Mengautomasikan tugasan: Semua tugasan direkodkan secara digital untuk memudahkan semakan.
  • Menguruskan pengurusan secara online: Sebarang tugasan kini boleh diakses dengan satu klik.
  • Memastikan pematuhan: Sistem direka untuk mematuhi undang-undang kerja di Malaysia.

Tidak kira sama ada anda majikan SME atau syarikat besar, MySyarikat adalah penyelesaian lengkap untuk pengurusan sumber manusia anda!

Mari BOOK DEMO untuk dapatkan sistem MySyarikat sekarang!

MySyarikat - sistem HRMS/ HR software terbaik di Malaysia

Leave a Reply