Istilah micromanage sangat tidak asing dalam dunia pekerjaan lebih-lebih lagi dalam situasi korporat yang melibatkan operasi perniagaan berskala besar dan bergerak pantas. Walaupun secara asasnya micromanage mempunyai niat yang baik, namun realitinya ia mampu memberi kesan negatif jika tidak dikawal.
Pada artikel ini akan dibincangkan tentang micronage bagi membantu anda mengenal pasti sifatnya dan cara untuk menangani masalah tersebut dalam konteks keharmonian di tempat kerja.
Apa Itu Micromanage?
Micromanage merujuk kepada satu gaya pengurusan yang melibatkan pengawalan berlebihan dan penglibatan secara intensif atau teliti terhadap sebarang tugasan serta aktiviti yang dilakukan oleh individu yang memiliki kuasa dalam membuat keputusan.
Dalam bahasa mudahnya micromanage adalah sifat kepimpinan autoritarian yang melibatkan seorang ketua mengawal dan mengawasi ahlinya melakukan tugasan dari mula sehingga akhir. Mereka yang memiliki sifat ini dikenali sebagai micromanager.
Antara ciri asas seorang micromanager ini adalah,
- Enggan membahagikan tugas
- Terlalu melibatkan diri dengan tugasan yang dibahagikan
- Membuat keputusan dengan sendiri atau tidak mengambil cadangan dari ahli pasukan
- Sentiasa mahukan ahlinya mengemaskini status tugasan
- Terlalu mementingkan perincian kecil berbanding perspektif yang lebih besar
- Ramai ahlinya bertukar ganti atau berhenti
- Memberikan sasaran atau tarikh akhir yang tidak masuk akal
- Sukar menerima input atau kritikan negatif dari ahlinya
- Berasa tugasan yang dibuat ahli tidak sebagus jika dilakukan olehnya sendiri
- Mengambil ahli tugasan ahlinya tanpa kemukakan sebab
- Masih berkomunikasi dengan ahli walaupun diluar waktu kerja
- Sering mengadakan mesyuarat sepanjang masa
- Tidak mempercayai ahlinya
- Terlalu menekankan kesempurnaan walaupun untuk tugasan remeh
Adakah Micromanage Sifat Negatif?
Secara asasnya seorang micromanager mungkin memiliki niat yang baik iaitu untuk bimbing ahlinya dalam melakukan suatu tugasan, namun kecenderungan tingah laku yang berlebihan (excessive) ini boleh mencetus tekanan kepada orang bawahan mereka.
Punca utama mengapa tingkah laku berlebihan ini wujud dalam diri seorang micromanager adalah mungkin kerana kurang percaya kepada kemahiran dan kebolehan ahlinya atau ketiadaan rasa hormat kepada diri sendiri.
Jangan disalah faham maksud ketiadaan rasa hormat kepada diri sendiri itu, sebenarnya ia merujuk kepada masalah keyakian diri (insecurities) sehingga mencetus perasaan takut hilang kawal terhadap sesuatu tugasan diamanatkan.
Ia juga boleh terjadi bila seorang micromanager itu kekurangan pengalaman dalam pengurusan sehingga mahukan kawalan dan penguasaan sepenuhnya. Mudah kata micromanager berkemungkinan besar mahukan yang terbaik tetapi tidak percaya bahawa mereka mampu berikan yang terbaik.
Rentetan daripada sifat micromanager ini ia akan mencetus rasa tidak selesa ahlinya sehingga memberi kesan negatif secara keseluruhan seperti:
- Penurunan produktiviti kerja
- Tingkatkan burnout dalam kalangan ahli
- Moral ahli terganggu
- Kehilangan kepercayaan dalam kalangan ahli
- Melahirkan lebih banyak masalah insecurities
- Menghapuskan keharmonian pasukan
- Mengehadkan perkembangan dan menyekat kreativiti
- Mencetus masalah toksik dalam kalangan ahli
Cara Tangani Masalah Micromanage
Jika anda dapati ciri-ciri micromanager ada pada diri anda atau tempat kerja anda mengalami masalah penurunan prestasi akibat micromanage seperti yang dinyatakan di atas, kami bersimpati. Oleh itu, ini beberapa langkah yang boleh diambil bagi menangani masalah tersebut.
- Berbincang dan Amalkan Komunikasi Terbuka Secara Profesional
Apabila bekerja dalam satu pasukan penting untuk amalkan komunikasi secara terbuka, tanpa mengira anda seorang ketua atau tidak jika terdapat sebarang masalah bincangkannya bersama dan cari penyelesaian yang terbaik secara professional.
- Tunjukkan Prestasi Kerja Memuaskan Untuk Raih Kepercayaan
Prestasi kerja adalah penanda aras dalam dunia pekerjaan dan merupakan mata wang utama yang digunakan untuk raih kepercayaan tanpa mengira anda seorang ketua atau bukan. Kekalkan prestasi kerja yang konsisten adalah cara terbaik untuk peroleh kepercayaan.
- Tetapkan Garis Panduan Kerja Yang Realistik
Garis panduan, sasaran dan tarikh akhir adalah objektif utama yang menjadi pendorong dalam melakukan sesuatu tugasan. Apabila elemen-elemen tersebut ditetapkan secara realistik, maka ia memudahkan semua untuk mencapainya.
- Ambil Pendekatan Macromanage
Kata lawan bagi micro adalah marco. Gunakan gaya pengurusan macromanage yang berfokuskan kesamaan dan kerjasama dalam mencapai sesuatu objektif. Apabila semua ahli dalam kumpula bergerak dalam laluan sama maka tugasan ada lebih cepat siap.
- Terima Kekurangan dan Cuba Perbaiki Diri
Jika anda sebagai seorang ketua yang micromanager atau pekerja yang di micromanage, penting untuk anda mengakui bahawa ada pasti ada kelemahan sehingga terjadi situasi seperti itu. Langkah terakhir lepas mengakuinya adalah untuk cuba memperbaiki diri untuk kesejahteraan semua.
Kesimpulannya, sifat micromanage ini secara dasar bukan perkara negatif namun apabila ia terlalu berlebihan boleh mencetus masalah. Sebagai majikan, anda perlu mempercayai pekerja dan memberikan mereka ruang dalam melakukan amanat tugas yang diberikan.
Bagi anda sebagai pekerja pula perlu membalas kepercayaan tersebut dengan melakukan yang terbaik dalam melalukan amanat tugasan yang diberikan kerana kecenderungan tingkah laku micromanager boleh datang dari pekerja yang tidak kompeten.