Istilah kerja dari rumah atau work from home (WFH) mungkin sudah tidak asing lagi sekarang jika nak dibanding pada awal tahun 2020. Kebanyakan syarikat zaman sekarang juga turut mengamalkan polisi WFH bagi menarik perhatian pekerja untuk bekerja.
Malah, Akta Kerja 1955 sendiri dalam pindaan semasa tahun 2022 telah memperkenalkan Aturan Kerja Fleksibel (AFK) di mana pekerja boleh memohon melalui surat kepada majikan untuk tukar waktu bekerja, hari bekerja, tempat bekerja atau ketiga-tiganya sekali.
Tetapi dengan keadaan semasa yang semakin memulih, rentetan daripada penularan Covid-19, dan peningkatan kos sara hidup akibat tekanan ekonomi, adakah wajar untuk syarikat terus mengamalkan WFH pada tahun-tahun mendatang?
Kenapa WFH Diperkenalkan?
Sebelum menjawab persoalan di atas, kita perlu faham dahulu sebab mengapa WFH diperkenalkan. Semasa awal 2020 lalu trend remote work (istilah asal kepada WFH) telah menjadi pilihan kebanyakan syarikat bagi memastikan operasi perniagaan terus berjalan walaupun pekerja tidak hadir ke pejabat.
Tujuan utamanya adalah kerana kebanyakan orang pada ketika itu masih belum mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19. Atas faktor itu kebanyakan syarikat pilih untuk menggunakan budaya kerja remote work bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka.
Sebenarnya budaya kerja remote work ini bukan satu benda asing, ia selalu diamalkan oleh kebanyakan syarikat-syarikat di barat bagi pekerja yang ingin mencari kemudahan kerja yang selari dengan aspirasi keseimbangan hidup dan kerjaya (work-life balance).
Cuma ia semakin mendapat permintaan, lebih-lebih lagi selepas Covid-19 melanda apabila ramai orang mula menyedari kelebihan dan kemudahan yang ditawarkan. Antara kelebihan remote work ini adalah:
- Fleksibeliti Lokasi Kerja
Pekerja bebas untuk bekerja di mana-mana sahaja, dan ini turut membolehkan pekerja untuk syarikat di luar negara tanpa perlu menetap di negara tersebut. Menariknya lagi pekerja juga dapat menjalankan tugas dengan lebih keselesaan di rumah.
- Menjimatkan Kos
Kos pengangkutan, kos perbelanjaan dan kos utiliti untuk syarikat juga dapat dikurangkan apabila pekerja tidak perlu bergerak ke pejabat. Malah kos menyewa pejabat juga dapat dijimatkan apabila pekerja remote work.
- Meningkatkan Kualiti dan Keseimbangan Hidup
Pekerja yang remote work dapati mereka lebih mudah untuk mengekalkan keseimbang hidup dan kerjaya lebih mudah tanpa perlu bimbang untuk pergi ke pejabat setiap hari. Ini secara tidak langsung juga meningkatkan kualiti hidup mereka apabila berasa lebih tenang dan gembira.
- Mengekalkan Kelestarian Alam Sekitar
Dengan remote work yang menyaksikan pekerja tidak perlu untuk bergerak menggunakan kenderaan, maka jejak karbon dapat dikurangan sekaligus berjaya memelihara alam sekitar lebih baik daripada penggunakan pengangkutan awam.
Adakah Trend Kerja Hybrid Praktikal Pada Tahun 2024?
Kata kunci di sini adalah trend yang mana selagi ramai orang mengamalkannya, maka selagi itu ia akan kekal relevan untuk digunakan. Sebenarnya remote work ini dijangka akan kekal menjadi pilihan untuk beberapa tahun mendatang.
Hal ini kerana kebanyakan syarikat termasuk yang berada di Malaysia mula merangka model kerja hibrid, menggabungkan konsep WFH dan hadir ke pejabat bagi menyesuaikan diri dengan keadaan permintaan pasaran buruh semasa.
Selain itu, kebanyakan syarikat juga sedang mula melihat untuk mengembangkan pengaruh ke peringkat global. Dengan keadaan dunia tanpa sempadan (internet) yang memudahkan perhubungan, perkembangan di peringkat antarabangsa kini lebih mudah.
Oleh itu, boleh dikatakan bahawa trend kerja dari rumah ini masih lagi relevan untuk diamalkan pada tahun depan dan tahun-tahun mendatang. Cuma terdapat beberapa cabaran yang perlu dipertimbangkan apabila mengamalkan remote work ini.
Antara cabaran yang tidak dapat dielakkan adalah,
- Isolasi dan Tiada Kerja Berpasukan
Apabila membuat remote work pastinya pekerja akan bekerja secara bersendirian dan ini boleh mencetus masalah isolasi kerja dengan hilangan semangat bekerja dalam pasukan. Satu tugasan boleh menjadi berat apabila hanya seorang sahaja yang memikulnya.
- Kekangan Komunikasi
Sungguhpun terdapat pelbagai peralantan yang membantu komunikasi, tetapi kita masih tidak boleh tolak tepi isu kekangan atau noise yang boleh terjadi semasa remote work seperti gangguan capaian internet.
- Kebimbangan keselamatan
Dengan sifat remote work yang berteraskan kerja atas talian (online) ia terdedah kepada risiko keselamatan siber. Memandangkan kebanyakan data disimpan secara pengawanan (clouding) ia mudah di akses oleh penggodam jika tidak menggunakan sistem keselamatan.
- Sukar Menjejak Prestasi Kerja
Tentunya masalah utama melibatkan remote work adalah isu menjejak prestasi kerja pekerja. Bagi majikan ia adalah perkara terbesar yang perlu diambil kira dalam mengamalkan model kerja hibrid. Anda pasti mahu pekerja fokus buat kerja.
Kesimpulannya, trend kerja WFH atau remote work atau model kerja hibrid ini dijangka akan kekal relevan untuk beberapa tahun akan datang. Namun semua syarikat wajib amalkannya, ia bergantung dengan kesesuaian operasi syarikat dan keinginan syarikat untuk memudahkan pekerja.