Skip to main content

Setiap pekerja dan majikan memiliki hak-hak mereka tersendiri dalam sesebuah syarikat. Baik kebebasan untuk menyuarakan pendapat (freedom of speech) sehingga ke hak untuk mendapat perlindungan dan jaminan keselamatan.

Atas faktor itu Akta Kerja 1955 yang menjadi garis panduan perundangan kerja di Malaysia menyediakan satu seksyen khas membincangkan perihal larangan menghalang pekerja daripada menyertai Kesatuan Sekerja (Trade Union).

Sebelum pergi jauh adalah lebih baik untuk difahamkan dulu apa itu sebenarnya Kesatuan Sekerja dan kepentingannya kepada pekerja tanpa mengira sektor pekerjaan.

Akta Kesatuan Sekerja 1959

Rujukan utama Kesatuan Sekerja atau Trade Union boleh dibuat pada Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang menjadi garis panduan untuk penubuhan, penyertaan dan penglibatan pekerja dalam sesebuah persatuan.

Secara definisinya Kesatuan Sekerja adalah sebuah pertubuhan atau gabungan mana-mana pekerja atau majikan di bawah perundangan sah, yang berdasarkan perdagangan (trade), pekerjaan atau industri yang sama.

Penubuhan persatuan ini berfungsi sebagai satu gabungan yang menjaga dan melindungai kepentingan serta kebajikan para anggotanya. Terdapat dua hak asas yang ditekan dalam Kesatuan Sekerja iaitu:

  • Hak untuk membuat rungutan berkaitan kerja tanpa rasa takut dibuang kerja
  • Hak untuk berunding secara kolektif untuk keadaan kerja yang lebih baik

Sungguh pun disebut kesatuan sekerja, ini tidak bermakna penubuhannya hanya berpusat kepada golongan pekerja sahaja. Sebenarnya terdapat tiga jenis kesatuan,

  • Kesatuan pekerja sektor awam
  • Kesatuan pekerja sektor swasta
  • Kesatuan majikan

Untuk menubuhkan kesatuan sekerja pula hanya memerlukan 7 atau lebih individu, kecuali yang berjawatan pengurus atau eksekutif, sebagai wakil seluruh pekerja untuk mendaftarkan kesatuan kepada Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja.

Tujuan Kesatuan Sekerja Diwujudkan

Tujuan utama penubuhan kesatuan sekerja adalah untuk menjadi gabungan yang memperjuangkan kepentingan dan kebajikan pekerja. Ini bermakna ia menjadi satu medium yang menyuarakan sebarang masalah yang dihadapi oleh pekerja atau majikan.

Terdapat tiga cara kesatuan sekerja ini melindungi kepentingan dan kebajikan anggotnya seperti,

  • Menjadi wakil pekerja dalam permasalahan dengan majikan untuk memerangi eksploitasi buruh
  • Memberi akses kepada anggotanya kepada perkhidmatan kebajikan tambahan seperti latihan kemahiran, sokongan penjagaan anak dan elaun kos rasa hidup
  • Menjadi perunding dengan majikan bagi pihak anggotanya dalam soal hak, gaji dan faedah

Contoh mudahnya adalah para pekerja di ladang kelapa sawit menubuhkan kesatuan sekerja, sebagai satu simbol penyatuan bagi membincangkan masalah gaji yang dihadapi semua pekerja dengan majikan.

Berbanding dari mencetus mogok sebagai tanda bantahan, kesatuan sekerja akan memainkan peranan dalam membincangkan isu gaji dan mencari penyelesaian bagi pekerja di ladang kelapa sawit.

Disebabkan itu juga Seksyen 8, Akta Kerja 1955 menggariskan bahawa kontrak perkhidmatan tidak boleh menghalang hak pekerja untuk menyertai atau menubuhkan kesatuan sekerja.

Ini kerana pekerja berhak untuk menyertai mana-mana persatuan melibatkan kerja yang menyatukan dan memperjuangkan suara mereka tanpa kebimbangan untuk kehilangan pekerjaan.

Masalah Kesatuan Sekerja Malaysia

Sayangnya, penglibatkan pekerja dalam kesatuan sekerja di Malaysia adalah sangat rendah. Data Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja pada 2022 terdapat hanya 767 kesatuan sekerja sahaja berdaftar iaitu kira-kira 5.8% daripada keseluruhan tenaga kerja di Malaysia.

Malah, penglibatan pekerja dalam kesatuan sekerja sejak 4 dekad lalu mengalami penurunan drastik dengan kurang daripada 2% pekerja sahaja kini yang dilindungi oleh perundingan kolektif kesatuan sekerja.

Walaubagaimana pun, kerajaan baru-baru ini dilihat mengesa pekerja terutama di sektor swasta untuk menubuhkan lebih banyak kesatuan sekerja. Kerajaan menyasarkan dalam tempoh lima tahun lagi lebih kurang 25% pekerja akan tubuhkan kesatuan sekerja.

Ini adalah satu bentuk gesaan yang diperlukan, memandangkan kewujudan kesatuan sekerja ini amat penting dalam menjadi wakil yang boleh membuat rundingan kolektif bagi pihak pekerja.

Harapnya lebih banyak pekerja menyedari kepentingan kesatuan sekerja ini dan mula melibatkan diri untuk menjamin kepentingan dan kebajikan terjaga.

Leave a Reply