Cuti tahunan merupakan hak mutlak anda sebagai pekerja. Ia bukan sekadar hak asas, malah memainkan peranan penting dalam kesejahteraan kehidupan dan kerja (work-life balance). Rehat yang cukup membantu kesihatan mental dan fizikal, serta mengekalkan produktiviti.
Namun, masih wujud kekeliruan dalam kalangan pekerja apabila berdepan dengan situasi majikan yang menentukan tarikh cuti atau memaksa cuti diambil pada masa-masa tertentu.
Maka, timbul persoalan penting bolehkah majikan menetapkan tarikh cuti pekerja? Adakah tindakan sebegini sah menurut undang-undang buruh di Malaysia?
Artikel ini akan menjawab persoalan tersebut secara terperinci berdasarkan Akta Kerja 1955, serta menghuraikan hak pekerja yang termaktub di bawah undang-undang berkaitan cuti tahunan.
Siapa Tentukan Tarikh Cuti?
Secara prinsipnya, undang-undang buruh di Malaysia menyatakan hak untuk memohon cuti tahunan bermula daripada pekerja itu sendiri. Ini bermakna, majikan tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menetapkan secara sepihak bila seseorang pekerja mesti menggunakan cutinya.
Malah, menurut kenyataan rasmi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), pekerja berhak memilih bila mahu memohon cuti, dan tidak boleh dipaksa mengambil cuti tahunan ataupun cuti tanpa gaji untuk tujuan seperti penjimatan kos syarikat.
Situasi seperti ini bukan sahaja menyalahi etika pekerjaan, malah boleh dianggap sebagai pelanggaran undang-undang buruh!
Perlu ditekankan bahawa istilah seperti ‘force leave’ atau cuti paksa tidak boleh dilaksanakan secara sepihak oleh majikan tanpa persetujuan pekerja. Sekiranya berlaku, pekerja boleh membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja untuk siasatan lanjut.
Hak Cuti Tahunan di Bawah Akta Kerja 1955
Akta Kerja 1955 secara jelas memperuntukkan hak cuti tahunan minimum kepada pekerja berdasarkan tempoh perkhidmatan mereka. Di bawah Seksyen 60E Akta Kerja 1955, kelayakan cuti tahunan adalah seperti berikut:
- Kurang daripada 2 tahun perkhidmatan: Minimum 8 hari setahun
- Antara 2 hingga 5 tahun: Minimum 12 hari setahun
- Melebihi 5 tahun: Minimum 16 hari setahun
Pekerja perlu mengemukakan permohonan cuti mengikut prosedur yang ditetapkan dalam polisi syarikat, seperti memberi notis awal atau menggunakan sistem permohonan yang ditetapkan organisasi. Ini merupakan sebahagian daripada amalan standard dalam polisi cuti tahunan di Malaysia.
Namun, adalah penting untuk difahami bahawa majikan tidak boleh menolak permohonan cuti tanpa alasan yang munasabah. Penolakan hanya boleh berlaku dalam keadaan tertentu, seperti kekangan operasi perniagaan semasa musim puncak atau kekurangan tenaga kerja, dan alasan tersebut perlu dikemukakan secara jelas kepada pekerja.
Adakah Majikan Boleh Paksa Pekerja Ambil Cuti?
Persoalan sama ada majikan boleh paksa ambil cuti tahunan sering muncul terutamanya apabila syarikat membuat keputusan untuk menutup operasi buat sementara waktu, contohnya semasa musim perayaan. Dalam banyak kes, pekerja dipaksa mengambil cuti tahunan tanpa pilihan lain.
Tindakan sebegini sebenarnya bertentangan dengan peruntukan undang-undang. Majikan tidak boleh memaksa pekerja mengambil cuti pada tarikh tertentu, kecuali jika pekerja tersebut sendiri memilih untuk berbuat demikian.
Sekiranya berlaku pelanggaran, pekerja boleh mengemukakan aduan di bawah Seksyen 69 Akta Kerja 1955, yang memberi kuasa kepada Pegawai Tenaga Kerja untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya.
Dalam kes khas seperti kecemasan operasi kilang atau insiden keselamatan, majikan boleh mencadangkan tarikh cuti kepada pekerja. Namun, ia tetap memerlukan persetujuan pekerja. Tanpa persetujuan, sebarang pelaksanaan cuti tidak boleh dikuatkuasakan.
Apa Yang Boleh Ditetapkan Majikan?
Majikan berhak menetapkan proses dan garis panduan berkenaan permohonan cuti tahunan dalam kontrak pekerjaan atau buku panduan syarikat. Antaranya termasuklah keperluan untuk memohon cuti sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal, mengisi borang tertentu, atau menggunakan sistem HR yang telah ditetapkan.
Namun begitu, keputusan mengenai tarikh cuti tetap berada di tangan pekerja, dan majikan tidak boleh mengubahnya tanpa persetujuan. Sekiranya terdapat pertindihan tarikh permohonan cuti oleh beberapa pekerja, majikan disarankan untuk mengadakan perbincangan terbuka agar kompromi dapat dicapai secara adil.
Komunikasi yang baik antara kedua-dua pihak merupakan kunci utama dalam mengelakkan konflik dan menjaga keharmonian di tempat kerja.
Baca juga: Hak Pekerja Baru Guna Cuti Tahunan (AL)
Kesimpulannya, hak pekerja cuti tahunan adalah hak individu yang tidak boleh dirampas atau dikawal sepenuhnya oleh majikan. Undang-undang buruh di Malaysia jelas menetapkan bahawa cuti tahunan hanya boleh diambil atas permohonan dan kehendak pekerja itu sendiri.
Segala pengurusan cuti perlu berpandukan peruntukan cuti tahunan di bawah Akta Kerja 1955, dan amalan syarikat harus selaras dengan undang-undang yang ditetapkan. Pekerja disarankan untuk memahami hak masing-masing, manakala majikan pula perlu mengurus cuti pekerja dengan adil dan telus.
Pengurusan Pekerja Boleh Jadi Mencabar Tanpa MySyarikat!
Sebagai majikan, menguruskan pelbagai jenis pekerja boleh menjadi tugas yang rumit. Tanpa sistem yang teratur, risiko salah pengiraan, rekod bercelaru, atau ketidakpatuhan terhadap polisi adalah tinggi.
Perkenalkan MySyarikat, sistem HRMS (Human Resource Management System) automasi yang membantu majikan:
- Mengautomasikan tugasan: Semua tugasan direkodkan secara digital untuk memudahkan semakan.
- Menguruskan pengurusan secara online: Sebarang tugasan kini boleh diakses dengan satu klik.
- Memastikan pematuhan: Sistem direka untuk mematuhi undang-undang kerja di Malaysia.
Tidak kira sama ada anda majikan SME atau syarikat besar, MySyarikat adalah penyelesaian lengkap untuk pengurusan sumber manusia anda!
Mari BOOK DEMO untuk dapatkan sistem MySyarikat sekarang!
