Kebanyakan pekerja adalah graduan lepasan universiti sama ada di peringat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Master atau lain-lainnya pernah memohon pinjaman pendidikan.
Walaupun kos pendidikan peringkat tinggi di Malaysia adalah antara yang terendah, tapi masih ada yang memerlukan pinjaman pendidikan. Antara pinjaman pendidikan yang terkenal adalah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Berita baik kepada pekerja yang meminjam dengan PTPTN, anda boleh buat pembayaran balik melalui potongan gaji setiap bulan.
Pinjaman PTPTN
Tujuan utama PTPTN diperkenalkan adalah untuk beri pembiayaan kewangan atau pinjaman pengajian tinggi bagi pelajar melanjutkan pendidikan ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh Malaysia.
Ia ditubuhkan pada 1 Julai 1997 di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566), yang bertanggungjawab bantu biayai kos pendidikan pelajar yang memohonnya.
Sudah nama pun pinjaman perlulah dibayar semula. Kebiasaanya para peminjam PTPTN dinasihatkan buat bayaran secepat mungkin tanpa menunggu notis arahan bayaran balik atau sebaik selepas mula bekerja.
Perlu diingatkan bahawa pembayaran balik yang dibuat sebelum tarikh mula bayar tidak akan dikenakan kos upah oleh PTPTN.
Potongan Gaji untuk Pembayaran Balik PTPTN
Kepada para peminjam PTPTN yang sudah bekerja, anda boleh buat pembayaran balik melalui potongan gaji setiap bulan. Kemudahan ini bukan perkara baru diperkenalkan tetapi telah ditawarkan sejak September 2015.
Ringaksan berkenaan bayaran balik melalui potongan gaji adalah seperti berikut:
- Peminjam PTPTN diwajibkan buat bayaran balik pinjaman melalui potongan gaji bermula September 2015
- Bayaran balik melalui potongan gaji akan diuruskan oleh PTPTN dan bukan lagi melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bermula September 2015
- Bayaran balik melalui potongan gaji akan dibuat berdasarkan Jadual Bayaran Balik (JBB) yang ditetapkan PTPTN
- Potongan gaji yang dibuat adalah untuk bulanan semasa dan sebarang tunggakan perlu dijelaskan melalui kaedah lain
- Baki pinjaman minimum untuk permohonan potongan gaji adalah RM500 dan baki tempoh bayaran balik dibenarkan ialah 6 bulan
Cara Buat Bayaran Balik Melalui Potongan Gaji
Bagi pekerja yang mahu buat bayaran balik pinjaman melalui potongan gaji, ikuti cara ringkas di bawah. Rujukan lanjut boleh dibuat pada laman rasmi PTPTN.
- Peminjam boleh layari portal rasmi PTPTN ke bahagian Permohonan Potongan Gaji Online atau ke cawangan PTPTN
- Peminjam perlu masukkan nombor kad pengenalan untuk semakan sebelum memohon
- Bagi membuat permohonan, peminjam perlu pilih nama majikan sebelum melengkapkan maklumat yang diperlukan
- Selepas selesai mengisi maklumat dan hantar permohonan, peminjam perlu muat turun slip permohonan dan kemaskini penyata pinjaman sebagai rujukan
Atau bagi mereka yang pergi terus ke cawangan PTPTN,
- Peminjam perlu isi Borang Pendaftaran Majikan (Potongan Gaji PTPTN) yang boleh didapati di cawangan
- Serahkan Borang Kebenaran Potongan Gaji Bagi Bayaran Balik Pembiayaan Pendidikan PTPTN
- Kemaskini rekod potongan gaji dalam sistem dan kemukakan rekod potongan gaji kepada majikan setiap akhir bulan
- Membuat potongan gaji dan kemukakan maklumat dan bayaran potongan gaji kepada PTPTN sebelum 15 haribulan bulan seterusnya
- Kemaskini penyata pinjaman
Keperluan Bayaran Balik PTPTN Untuk Pekerja
Seperti yang dinyatakan di atas, peminjam perlu segera buat bayaran balik bagi mengelak daripada dikena kos upah oleh PTPTN tanpa perlu menunggu notis arahan dihantar.
Kemudahan bayaran balik melalui potongan gaji ini bukan sahaja dapat memudahkan proses pembayaran tetapi juga dapat membantu peminjam menyelesaikan pinjmanan tanpa ada tunggakan bayaran.
Apabila peminjam segera buat pembayaran semula, maka sebarang tindakan undang-undang seperti penyenaraian senarai hitam yang menghalang ke luar negara atau saman dapat dielakkan.
Selain itu, membayar semula pinjaman PTPTN akan menjamin rekod CCRIS pekerja jadi lebih baik. Dengan ini pekerja yang ingin buat sebarang pinjaman lain akan ada credit score yang ‘cantik‘ sebagai jaminan pinjaman.
Jadi kepada pekerja yang masih belum selesaikan pinjaman PTPTN, segera buat potongan gaji untuk langsaikan pinjaman anda agar tidak menjadi beban pada kelak hari nanti.