Skip to main content

Sebelum ini MySyarikat sudah beberapa kali kongsikan topik tentang cukai pendapatan, Potongan Cukai Bulanan (PCB) dan potongan serta rebat cukai. Salah satu daripada rebat cukai yang jadi perhatian ramai adalah berkaitan rebat zakat.

Malah, sebelum ini juga pernah dikongsikan berkenaan topik zakat pendapatan yang diwajibkan ke atas orang Islam mengikut nisab 85 gram emas.

Mungkin ramai sudah tahu tentang zakat dan cukai pendapatan tetapi masih kurang jelas tentang rebatnya, maka artikel kali ini akan bincangkan perhubungan rebat zakat dan pembayaran cukai pendapatan.

Perbezaan Cukai dan Zakat

Sudah pasti perbezaan ketara antara cukai dan zakat adalah ketetapan. Segala perihal cukai ditetapkan kerajaan kepada semua individu tanpa mengira agama, sementara zakat pula  ditentukan oleh Allah SWT dan setiap muslim wajib bayar zakat.

Perbezaan ketara lain adalah berkenaan pembayaran, di mana zakat dikenakan atas orang kaya dan berharta sahaja manakala sistem cukai dikenakan kepada semua melalui pelbagai jenis cukai seperti cukai pintu, cukai jalan atau GST.

Cara pengagihan cukai dan zakat juga berbeza dengan kutipan cukai akan digunakan untuk pembangunan negara sementara kutipan zakat pula akan diagihkan kepada fakir miskin dan asnaf zakat lain.

Senang cerita cukai adalah kutipan yang ditetapkan kerajaan ke atas semua warganegara Malaysia dan hasilnya akan kembali kepada rakyat, sementara zakat adalah kutipan wajib ke atas muslim dan diagihkan kembali kepada orang yang memerlukan.

Rebat Cukai Atas Pembayaran Zakat

Segala perihal berkenaan cukai boleh dirujuk pada Akta Cukai Pendapatan 1967. Jika diperhatikan pada Seksyen 6A (3) ia ada sentuh tentang rebat cukai bagi pembayaran zakat.

Pada seksyen tersebut ia menerangkan yang rebat diberi untuk suatu tahun taksiran bagi mana-mana zakat, fitrah atau sebarang pembayaran berkaitan Islam yang wajib dan dibayar dalam tahun asas untuk tahun taksiran tersebut dengan kemukakan bukti resit.

Mudah kata lagi banyak pembayaran zakat dibuat oleh seorang muslim, lebih banyak pengurangan jumlah pembayaran cukai pendapatan yang perlu dijelaskan pada tahun taksiran tersebut.

Pengiraan Rebat Cukai Atas Pembayaran Zakat

Asas pengiraan rebat cukai atas pembayaran zakat adalah:

Untuk lebih pemahaman, mari ikuti contoh situasi rebat cukai bagi pembayaran zakat di bawah.

Contoh pada tahun taksiran cukai kini anda perlu bayar cukai sebanyak RM1000, tetapi pada tahun sebelum anda telah bayar zakat pendapatan sebanyak RM600. Ini bermakna anda akan dapat rebat RM600 dan jumlah cukai yang perlu dibayar hanya RM400.

Contoh seterusnya andai jumlah cukai pendapatan yang perlu dibayar sebanyak RM1000 tetapi anda telah bayar zakat sebanyak RM1000, maka bagi tahun taksiran tersebut anda tidak perlu bayar sebarang cukai.

Bagi mereka yang membuat PCB dan bayar zakat pula, anda boleh dapatkan semula lebihan pembayaran dengan kemukakan resit sebagai bukti semasa penfailan cukai pendapatan.

Contonya anda dikenakan cukai sebanyak RM1000 dan pada masa yang sama anda juga bayar zakat sebanyak RM1000, tetapi majikan buat PCB sebanyak RM600. Di sini anda dikira telah membuat lebihan pembayaran sebanyak RM600, maka pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu beri semula RM600 kepada anda selepas tolak rebat zakat.

Walau bagaimana pun, perlu diingatkan untuk menikmati rebat cukai atas pembayaran zakat ini anda perlu kemukakan resit sebagai bukti kepada LHDN semasa proses pemfailan cukai pendapatan.

Kini anda tidak perlu risau dengan pembayaran cukai kerana dengan menunaikan zakat anda boleh nikmati rebat cukai sehingga 90%. Sebarang rujukan lanjut berkenaan rebat cukai boleh dibuat pada LHDN.

Leave a Reply