Setiap pekerja perlu motivasi untuk bekerja tidak kira sama ada dapat majikan yang baik hati atau tempat kerja berdekatan dengan tempat tinggal. Tapi selalunya motivasi utama pekerja adalah upah wang dalam bentuk gaji.
Semua orang tahu gaji adalah bayaran tetap yang diberikan majikan kepada pekerja secara mingguan atau bulanan. Rujukan untuk jenis-jenis gaji pekerja boleh dibuat pada artikel perbezaan gaji sebelum ini.
Tapi artikel kali ini ingin bincangkan perbezaan komisen, bonus, elaun dan faedah yang sering diberikan syarikat selain dari gaji pekerja dan diterima dalam pelbagai bentuk sama ada secara tahunan atau bulanan.
Jenis-jenis Imbuhan Tambahan Kerja
Komisen, bonus, elaun dan faedah adalah sebahagian daripada imbuhan tambahan kerja yang diberikan syarikat sebagai ganjaran untuk merangsang motivasi pekerja atau menggalakkan pekerja capai matlamat yang disasarkan.
Ia tidak ditetapkan oleh mana-mana perundangan tetapi biasannya setiap syarikat memiliki peruntukan tersendiri untuk beri komisen, bonus, elaun dan faedah kepada pekerja selepas mengambil kira beberapa faktor seperti keuntungan.
Di Malaysia selalunya bonus diberikan pada akhir tahun atau ketika perayaan Aidilfitri dalam bentuk jumlah sebulan gaji. Sementara elaun pula sering diperuntukan oleh syarikat dalam bentuk makanan atau duit tambang kenderaan.
Jadi di sini anda perlu faham bahawa pemberian imbuhan tambahan ini tidak WAJIB, ia bergantung kepada budi bicara majikan untuk berinya secara berkala atau sekali (one-off). Jadi jangan salahkan majikan jika tiada bonus diberikan pada akhir tahun ini!
Komisen
Komisen adalah bayaran yang diberikan kepada pekerja selepas selesai bekerja atau berjaya membuat jualan mengikut kadar komisen yang dipersetujui bersama.
Kebiasaannya di Malaysia, komisen akan dikira selepas pekerja berjaya jual atau close deal dengan pelanggan syarikat. Pada sesetengah syarikat pula pekerja boleh mendapat gaji, dan pada masa sama diberikan komisen berdasarkan penjualan yang dibuat. Antara pekerjaan yang dibayar komisen adalah ejen jualan, ejen pemasaran, ejen pelancongan dan ejen hartanah.
Bonus
Bonus ialah sejumlah penambahan upah yang diberikan majikan kepada pekerja sebagai hadiah atau ganjaran atas prestasi kerja. Kata kuncinya di sini adalah hadiah jadi ia tidak wajib diberikan dan tertakluk atas budi bicara majikan.
Di Malaysia bonus selalunya diberikan dalam bentuk wang tunai sebulan gaji yang pekerja boleh dapat pada waktu tertentu seperti akhir tahun atau ketika perayaan. Menariknya, bonus tidak dikenakan cukai. Contoh bonus yang syarikat selalu berikan adalah bonus akhir tahun dan bonus prestasi kerja.
Elaun
Elaun diklasifikasikan sebagai bayaran imbuhan kepada pekerja, selain dari gaji yang diterimanya. Ia juga dipanggil sebagai pembayaran wang ehsan atau penghargaan dari syarikat.
Standard di Malaysia biasanya elaun dinyatakan dalam kontrak kerja, tapi perlu diingatkan bukan semua syarikat tawarkan elaun kepada pekerja. Ia bergantung dengan peruntukan syarikat. Antara elaun yang sering ditawarkan syarikat di Malaysia adalah elaun makanan, elaun kenderaan, elaun minyak atau elaun internet yang tidak diberikan bersama gaji.
Faedah
Faedah merujuk kepada manfaat sampingan yang diberikan syarikat dalam pelbagai bentuk mengikut keperluan dan kemahuan pekerja. Ia selalunya tidak termasuk dalam sebahagian daripada gaji pekerja. Antara faedah yang sering syarikat di Malaysia berikan adalah:
- Faedah perubatan
- Faedah flesibiliti waktu kerja
- Faedah cuti tambahan hari jadi
- Faedah tuntutan perjalanan
- Faedah pembayaran pendidikan
- Kursus latihan
Perlu diingatkan bahawa setiap syarikat memiliki polisi faedah yang berbeza-beza, di mana sesetengah beri faedah klinik pergigian dan sesetengah lagi mungkin beri faedah kediaman pekerja. Ia benar-benar bergantung kepada kemampuan yang syarikat boleh tawarkan.
Suka untuk diingatkan sekali lagi bahawa imbuhan tambahan komisen, bonus, elaun dan faedah ini tidak digariskan dalam perundangan kerja Malaysia, ia sekadar diberikan bergantung kepada budi bicara majikan untuk memotivasikan pekerja atau sebagai ganjaran.
Jika syarikat anda tidak memberikan sebarang imbuhan tambahan jangan sedih kerana pasti ada bentuk manfaat lain yang diterima seperti rumah untuk pekerja, jamuan lunch atau dinner syarikat atau aktiviti riadah syarikat.
bagaimana pula majikan menyatakan akan mendapat cuti tambahan untuk sesuatu acara program, tetapi setelah selesai program tersebut, cuti itu tidak diberikan.
apakah ada undang-undang yang boleh melindungi pekerja?
Pemberian cuti tambahan oleh majikan selain daripada 11 hari cuti umum yang perlu diambil adalah polisi syarikat semata-mata. Dinasihatkan untuk berbincang dengan majikan.
Assalamualaikum,
Di dalam senarai caruman tidak wajib KWSP, salah 1 bayaran tersenarai tidak perlu caruman ialah ‘GANJARAN’. Apakah makna sebenar ganjaran?
Ganjaran boleh jadi hadiah atau habuan yang diberikan majikan kepada pekerja. Untuk penerangan lanjut mengenai taksiran KWSP ini adalah dinasihatkan untuk rujuk laman rasmi KWSP.
Bagaimana dgn tuntutan perjalanan ketika bekerja pada hari rehat? adakah ia boleh membatalkan elaun kerja lebih masa pad hari rehat kerana majikan menyediakan elaun mileage, elaun makan dan tempat tinggal?
Pemberian elaun adalah berdasarkan polisi syarikat. Untuk elaun ini adalah dinasihatkan untuk rujuk semula kepada polisi syarikat dan pegawai HR untuk mendapatkan penerangan lanjut.
Bagi bayaran kerja lebih masa pula ia hanya boleh diberikan sekirannya majikan meminta pekerja untuk bekerja lebih daripada masa yang ditetapkan.
Jikalau company tukar skim komisen company, perlukah company dapat persetujuan pekerja juga? Jikalau seorang dalam anggota semua tidak setuju bolekah majikan tukar juga skim komisen Bahagian sales? Terima kasih
Perubahan pemberian komisen adalah berdasarkan prestasi pekerja dan polisi syarikat. Majikan tidak boleh tidak bayar komisen jika dalam kontrak kerja sudah menyatakan pemberian komisen sebagai sebahagian daripada pendapatan.