Skip to main content

Hari pertama lapor diri atau hari pertama masuk kerja adalah masa paling mendebarkan untuk mana-mana pekerja. Tidak kira sama ada anda seorang graduan baru atau pekerja berpengalaman perasaan berada di tempat baharu sangat berbeza.

Tentunya sebagai pekerja baru anda mahu mencipta tanggapan pertama (first impression) yang baik di mata rakan sepejabat dan pihak atasan. Malah, menjadi tanggungjawab pegawai sumber manusia (HR) untuk membantu pekerja membuat first impression yang baik.

Oleh itu, artikel kali ini akan kongsikan beberapa perkara yang pekerja serta pegawai HR termasuk majikan boleh lakukan apabila menerima atau memasuki tempat kerja baru bagi mencipta tanggapan yang baik.

Sebelum bermula suka diingatkan bahawa tanggungjawab mencipta tanggapan pertama yang baik bukan terletak pada pekerja baru sahaja, ia adalah tanggungjawab semua pihak dalam organisasi dalam mencapai keharmonian tempat kerja.

a. Senarai Semak Pekerja Baru

Sebagai seorang pekerja baru yang menyertai syarikat, tidak kira sama ada graduan lepasan universiti atau sudah berpengalaman, first impression adalah sangat penting dalam memberi gambaran diri kepada individu lain.

Bermula dari tanggapan pertama ini rakan sekerja anda sudah boleh mula menilai sifat diri. Jika pada peringkat awal sudah menunjukkan sikap yang buruk, maka sampai bila-bila rakan sekerja akan melabel anda dengan sifat negatif.

Jadi ini beberapa perkara yang perlu diambil maklum pada hari pertama masuk kerja.

  1. Tunjukan Sikap Positif dan Senyum

Sentiasa tunjukkan sikap yang positif tidak kira walau dalam apa situasi, dan cara paling mudah untuk tonjolkannya adalah senyum. Anda boleh tunjukkan kegembiraan dan keceriaan menyertai syarikat supaya rakan kerja berasa senang dengan kehadiran anda. 

  1. Pakai Pakaian Kemas dan Formal

Sesetengah syarikat kini mengamalkan budaya pemakaian santai (casual) namun ini tidak bermakna pada hari pertama anda bekerja boleh memakai t-shirt. Sekurang-kurangnya anda dinasihatkan untuk pakai pakaian formal seperti t-shirt berkolar untuk tampak professional.

  1. Belajar Ingat Nama Rakan Kerja

Penting untuk anda belajar ingat nama rakan sekerja anda atau pihak atasan kerana individu-individu adalah yang paling dekat di tempat kerja. Tidak perlu ingat kesemuanya, cukup hanya sekadar mengetahui mana pekerja untuk mudahkan urusan kerja.

  1. Tepati Masa Lapor Diri

Antara cara paling mudah untuk tonjolkan tanggapan pertama yang baik adalah dengan menepati masa lapor diri yang diberikan. Anda dinasihatkan untuk tiba 30 minit lebih awal dari waktu lapor diri bagi memudahkan sebarang urusan dengan pegawai HR.

  1. Jangan Malu Bertanya Soalan

Sebagai pekerja baru anda digalakkan untuk bertanya soalan tentang syarikat, tugasan kerja dan apa-apa sahaja perkara yang boleh memperlihatkan anda seperti berminat untuk bekerja. Kebanyakan pekerja kini kurang bertanya dan akhirnya gagal mencipta tanggapan pertama yang baik.

b. Senarai Semak Pegawai Sumber Manusia (HR)

Sebenarnya tugasan seorang pegawai HR tidak tamat walaupun selepas proses merekrut pekerja. Tugasannya berterusan sehingga waktu pekerja itu berhenti kerja dengan syarikat atau jika ada isu yang timbul.

Jadinya penting untuk seorang pegawai HR membantu pekerja yang melapor diri dan menyesuaikan pekerja pada hari pertama masuk bekerja. Maka, ini adalah beberapa perkara yang pegawai HR ambil maklum tentang pekerja yang melapor diri.

  1. Bersedia Menyambut Pekerja

Persiapan menyambut pekerja menyertai syarikat ini tidak hanya terhad kepada menyediakan tempat kerja sahaja, ia meliputi segala aspek dari gaji sehingga potongan-potongan KWSP/SOCSO/EIS pekerja. Pegawai HR juga perlu mendaftarkan pekerja jika perlu.

  1. Menyediakan Segala Dokumen 

Pegawai HR perlu menyediakan segala dokumen seperti kontrak kerja, borang potongan KWSP/SOCSO/EIS bagi graduan baru dan segala dokumen pekerja yang memerlukan tandatangan pekerja. Pegawai HR dinasihatkan jangan buatnya pada minit akhir.

  1. Memastikan Pekerja Diterangkan Segala Haknya

Selepas pekerja selesai tandatangan segala dokumen yang diperlukan, pegawai HR WAJIB untuk menerangkan tentang hak-hak pekerja seperti tempoh cuti, faeda-faedah pekerjaan, gaji dan sebarang pampansan kerja lain.

  1. Memperkenalkan Pekerja Dengan Rakan Kerja

Perkara terakhir yang perlu dibuat oleh pegawai HR sebelum melepaskan pekerja untuk buat tanggapan pertama mereka sendiri adalah memperkenalkan rakan kerja pekerja itu. Ia penting kerana pegawai HR merupakan orang tengah penghubung antara pekerja dalam syarikat.

c. Senarai Semak Majikan atau Syarikat

Sama seperti pekerja baru, majikan juga perlu menunjukkan tanggapan pertama yang baik di mata pekerja. Sebagai seorang majikan anda pasti tidak mahu pekerja berhenti kerja selepas beberapa bulan bekerja atau beri komen tidak baik tentang syarikat.

Maka, ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh syarikat dalam memberikan first impression yang baik kepada pekerja. 

  1. Sediakan Kawasan Kerja Yang Kondusif

Sebagai seorang majikan yang baik, anda perlu menyediakan kawasan kerja yang kondusif untuk pekerja. Tempat kerja yang yang baik bukan sahaja bantu menaikkan semangat pekerja tetapi turut membantu gerak kerja pekerja mencapai keuntungan kepada syarikat.

  1. Tawaran Gaji Yang Kompetatif

Para majikan dinasihatkan untuk tawarkan gaji pekerja mengikut nilai pasaran, atau menyediakan faedah-faedah lain bagi menarik perhatian pekerja. Pengambilan pekerja ini sama seperti pelaburan di mana jika ingin keuntungan perlu melabur banyak sedikit.

  1. Pastikan Keperluan Pekerja Dipenuhi

Faktor yang membezakan sebuah syarikat yang baik dan kurang baik adalah penawaran keperluan pekerja. Bagi menyambut pekerja syarikat perlu menyediakan segala keperluan seperti komputer atau meja untuk memudahkan pekerja melaksanakan tugasan.

Tanggapan Pertama Adalah Tanggungjawab Semua

Kesimpulanya, dalam menerima atau memasuki syarikat baru penting untuk menunjukkan tanggapan pertama (first impression) yang baik. Ia bukan sahaja membina kredibiliti diri untuk jangka masa panjang tetapi membina nilai positif di tempat kerja.

Jika anda bakal melaporkan diri di tempat kerja baru, anda dinasihatkan untuk ambil tahu dan kenal sejarah syarikat bagi selarikan visi kendiri dan majikan. Sementara, pegawai HR dan majikan juga perlu menyambut pekerja baru dengan kegembiraan kerana mereka adalah yang akan bantu syarikat berkembang.

Tips HR

Tips Urus Pekerja Introvert

Zahin ByondZahin ByondMarch 25, 2024

Leave a Reply