Latihan industri (internship) bukan sekadar syarat akademik, tetapi ia memberikan pengalaman penting sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar. Setiap tahun, ramai pelajar institusi pengajian tinggi bersaing untuk mendapatkan tempat internship yang terbaik.
Namun, timbul satu persoalan berkaitan kelayakan pelajar untuk menerima gaji minimum lebih-lebih lagi selepas tular mengenai pindaan terbaharu yang dibuat pada Akta Majlis Perundingan Gaji Negara pada 2025 yang bakal berkuatkuasa pada 1 Ogos ini.
Oleh itu, artikel kali ini akan menghuraikan persoalan tentang gaji minimum dan kelayakan pelajar intern untuk menerima bayaran dari aspek perundangan dan apa yang perlu difahami oleh semua pihak yang bakal melakukan internship.
Adakah Intern Tidak Layak Gaji Minimum?
Jawapannya ialah intern TIDAK LAYAK menerima gaji minimum menurut undang-undang. Hal ini kerana pelajar intern tidak diklasifikasikan sebagai ‘pekerja’ atau ‘perantis’ dalam konteks undang-undang buruh negara, Akta Kerja 1955.
Secara umumnya, Perintah Gaji Minimum hanya terpakai kepada pekerja yang berada dalam kategori tertentu yang telah ditetapkan. Oleh itu, persoalan sama ada internship dibayar atau tidak sebenarnya bergantung kepada polisi syarikat dan perjanjian antara institusi pendidikan dan penyedia tempat latihan.
Status Undang-Undang Intern di Malaysia
Mengikut Akta Kerja 1955, seseorang pekerja ditakrifkan sebagai individu yang diambil bekerja di bawah kontrak perkhidmatan dan menerima gaji. Namun, pelajar intern tidak termasuk dalam takrifan ini, oleh itu mereka tidak dianggap sebagai pekerja dari segi perundangan.
Rentetan itu, intern juga tidak layak untuk menikmati hak-hak yang disediakan untuk pekerja tetap seperti cuti tahunan, bayaran kerja lebih masa (overtime), caruman KWSP ataupun perlindungan PERKESO.
Ini secara tidak langsung bermakna intern tidak berada di bawah perlindungan gaji minimum RM1,700 sebulan yang diwajibkan kepada pekerja tetap. Walau bagaimana pun, banyak syarikat memilih untuk memberi elaun latihan kepada pelajar sebagai tanda penghargaan.
Penting: Pemberian elaun ini adalah atas budi bicara majikan, melainkan ia telah dipersetujui dalam dokumen rasmi latihan industri.
Di sinilah pentingnya pelajar memahami kontrak internship mereka. Kontrak internship Malaysia memainkan peranan besar dalam menentukan sama ada pelajar akan menerima bayaran atau tidak, dan berapa jumlahnya.
Tanpa perjanjian yang jelas, pelajar mungkin terpaksa menjalani internship tanpa sebarang ganjaran kewangan, walaupun mereka menyumbang secara signifikan kepada operasi harian syarikat.
Jenis-Jenis Elaun Internship di Malaysia
- Sektor Kerajaan
Bermula 1 September 2019, kerajaan Malaysia telah menetapkan dasar rasmi bahawa pelajar latihan industri di kementerian, jabatan, dan agensi kerajaan wajib menerima elaun minimum sebanyak RM5 sejam. Jika dikira berdasarkan waktu bekerja standard (8 jam sehari), pelajar boleh menerima sekitar RM800 sebulan.
Namun, dasar ini terhad kepada maksimum 90 hari bekerja. Inisiatif ini memperlihatkan kesungguhan sektor awam dalam memastikan pelajar diberi imbuhan setimpal dengan sumbangan mereka.
- Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC)
Pada tahun 2024, Perdana Menteri mengumumkan bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diwajibkan membayar elaun minimum RM800 sebulan kepada intern. Langkah ini menunjukkan keseriusan kerajaan dalam membela kebajikan pelajar dan menstrukturkan latihan industri sebagai platform pembangunan bakat negara.
Sebagai entiti yang sering menjadi contoh kepada sektor lain, elaun minimum GLC menjadi penanda aras baharu untuk syarikat-syarikat korporat dalam mengiktiraf nilai tenaga kerja pelatih.
- Sektor Swasta
Berbeza dengan sektor awam, tiada perundangan yang mewajibkan bayaran gaji internship swasta. Kadar elaun amat bergantung kepada kemampuan kewangan, industri, lokasi, dan polisi dalaman sesebuah syarikat.
Kebanyakan syarikat menawarkan antara RM500 hingga RM2,000 sebulan, jadi pelajar digalakkan untuk berbincang dengan majikan sebelum menandatangani sebarang perjanjian untuk menjalani internship.
Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2025
Bermula 1 Ogos 2025, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara menetapkan majikan yang mengambil perantis diperuntukkan secara sah untuk menerima sekurang-kurangnya gaji minimum negara, yang kini ditetapkan pada RM1,700 sebulan.
Sehingga kini, perantis tidak diiktiraf secara sah sebagai pekerja di bawah Akta, bermakna mereka boleh dibayar kurang atau bahkan tiada langsung, walaupun bekerja sepenuh masa dan menyumbang kepada perniagaan.
Justeru, akta ini memperluaskan takrifan “kontrak perkhidmatan” untuk memasukkan perantisan dan, peruntukan yang berkaitan dengan gaji minimum juga akan terpakai kepada perantis.
Apakah perantisan?
Di bawah Akta Kerja 1955, ‘kontrak perantisan’ bermaksud
“Kontrak bertulis yang dibuat oleh seseorang dengan majikan yang berjanji untuk menggaji orang itu dan melatih atau melatihnya secara sistematik untuk perdagangan untuk tempoh tertentu yang hendaklah untuk tempoh minimum enam bulan dan tempoh maksimum dua puluh empat bulan dalam perjalanan yang mana perantis terikat untuk bekerja dalam perkhidmatan majikan.”
Perantisan Bukan Latihan Industri (Internship)
Jika dilihat pada definisi, program perantisan adalah pendidikan dan latihan yang dikawal oleh perjanjian perantisan, yang membolehkan perantis memperoleh kecekapan yang diperlukan untuk bekerja dalam pekerjaan melalui latihan berstruktur dan imbuhan kewangan atau pampasan.
Ia berbeza daripada program latihan industri yang melibatkan pembelajaran sambil bekerja yang membolehkan pelatih memperoleh pengalaman kerja dan kecekapan untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.
Tujuan latihan industri ini adalah untuk mendedahkan pelajar kepada persekitaran pekerjaan sebenar dan menerima latihan jangka pendek untuk memenuhi kelayakan pendidikan atau pembelajaran tertentu.
Jadi berdasarkan penerangan ini jelas bahawa latihan industri dan perantisan adalah tidak sama, dan pindaan pada Akta Majlis Perundingan Gaji Negara tidak terpakai pada pelajar-pelajar yang sedang atau bakal melakukan internship.
Baca juga: Kenali Hak Intern Bekerja di Tempat Kerja
Secara ringkas, intern tidak layak menerima gaji minimum secara sah di sisi undang-undang. Namun, majikan yang menghargai tenaga muda tetap menawarkan bayaran yang wajar sebagai satu bentuk penghargaan.
Bagi pelajar, jangan terburu-buru menerima tawaran. Semak semula kandungan kontrak, skop kerja, dan kadar elaun. Pastikan ia setimpal dengan masa dan tenaga anda.
Buat majikan, intern bukan tenaga kerja percuma. Mereka datang dengan potensi besar. Berikan elaun sewajarnya dan jadikan pengalaman internship sebagai satu permulaan kerjasama jangka panjang yang saling menguntungkan.
Pengurusan Pekerja Boleh Jadi Mencabar Tanpa MySyarikat!
Sebagai majikan, menguruskan pelbagai jenis pekerja boleh menjadi tugas yang rumit. Tanpa sistem yang teratur, risiko salah pengiraan, rekod bercelaru, atau ketidakpatuhan terhadap polisi adalah tinggi.
Perkenalkan MySyarikat, sistem HRMS (Human Resource Management System) automasi yang membantu majikan:
- Mengautomasikan tugasan: Semua tugasan direkodkan secara digital untuk memudahkan semakan.
- Menguruskan pengurusan secara online: Sebarang tugasan kini boleh diakses dengan satu klik.
- Memastikan pematuhan: Sistem direka untuk mematuhi undang-undang kerja di Malaysia.
Tidak kira sama ada anda majikan SME atau syarikat besar, MySyarikat adalah penyelesaian lengkap untuk pengurusan sumber manusia anda!
Mari BOOK DEMO untuk dapatkan sistem MySyarikat sekarang!
