Skip to main content

Bermula 1 Mei 2022 kadar gaji minimum pekerja swasta telah ditetapkan pada RM1,500 bagi majikan yang menggajikan 5 orang pekerja atau lebih dalam satu syarikat. Penetapan ini boleh dirujuk pada Perintah Gaji Minimum 2022 yang digazetkan kerajaan pada 27 April 2022.

Namun, isu berbangkit daripada Perintah Gaji Minimum 2022 adalah berkenaan penetapan kadar gaji minimum bagi majikan yang menggajikan kurang dari 5 orang pekerja. Perintah asal yang sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 ditangguhkan kepada 1 Julai 2023.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan penangguhan penetapan kadar gaji minimum RM1,500 bagi majikan yang menggajikan kurang 5 pekerja ini, antaranya desakan pelbagai pihak berkepentingan yang menghadapi cabaran ekonomi serta kewangan pada 2023.

Walau bagaimanapun, semasa sambutan Hari Buruh (1 Mei 2023) Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ada mengeluarkan kenyataan yang mengatakan mesyuarat Kabinet pada bulan depan bakal mencapai penyelesaian ‘muktamad sepenuhnya’ berkenaan isu ini.

Sebelum keputusan berkenaan kadar gaji minimum RM1,500 bagi majikan yang menggajikan kurang 5 pekerja ini dimuktamadkan, adalah lebih baik untuk anda tahu berkenaan hal-hal lain berkaitan kadar gaji minimum di bawah Perintah Gaji Minimum 2022.

Penting untuk anda ambil maklum berkenaan isi kandungan dalam Perintah Gaji Minimum 2022 ini agar hak anda sebagai pekerja terjaga dan tidak ditindas oleh majikan kelak.   

Kadar Gaji Minimum 2023

Merujuk Seksyen 2, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] gaji minimum didefinisikan sebagai gaji pokok tanpa ditambah sebarang elaun, insentif atau bayaran lain. Kadar gaji pokok minimum pada 2023 telah ditetapkan pada RM1,500.

Penetapan kadar gaji minimum ini telah dipinda dalam Perintah Gaji Minimum 2022, dan berkuat kuasa pada 1 Mei 2022. Ia terpakai kepada semua pekerja di sektor swasta yang bekerja di bawah kontrak perkhidmatan kecuali perkhidmat domestik.

Rujukan lanjut mengenai golongan pekerja swasta yang dimaksudkan boleh dilihat pada Jadual Pertama Akta Kerja 1955, Jadual Ordinan Buruh Sabah dan Jadual Ordinan Buruh Sarawak.

Antara tumpuan utama yang terkandung dalam Perintah Gaji Minimum 2022 tentunya tentang tarikh perlaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 bagi majikan yang mengambil 5 orang pekerja atau lebih iaitu pada 1 Mei 2022. 

Turut digariskan juga bahawa perlaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 ini terpakai kepada majikan yang menjalankan aktiviti profesional di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO), diselia oleh Kementerian Sumber Manusia tanpa mengira bilangan pekerja majikan itu.

Satu perkara menarik tentang kadar gaji minimum ini adalah ia mula dibentangkan oleh bekas Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak di bawah dasar Inisiatif Gaji Minimum Kebangsaan dalam Belanjawan 2010.

Tujuan dasar ini diperkenalkan adalah untuk memastikan pekerja dapat memenuhi keperluan asas dan menyediakan suasana sesuai untuk industri dalam meningkatkan nilai rantaian pengeluaran.

Ia juga merupakan instrumen dasar Model Baru Ekonomi yang dirangka untuk jadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi yang terangkum dan mampan menjelang 2020.

Penalti Kepada Majikan yang Gagal Patuh

Berbalik kepada Perintah Gaji Minimum 2022, majikan yang membuat keputusan untuk tidak patuh kepada penetapan kadar gaji minimum ini boleh kenakan penalti memandangkan ia sudah digazetkan sebagai satu undang-undang.

Bentuk penalti yang akan dikenakan kepada majikan yang tidak patuh kadar gaji minimum yang ditetapkan dalam Perintah Gaji Minimum 2022 adalah:

  • Kesalahan Pertama – Denda tidak melebihi RM10,000 untuk setiap pekerja. Mahkamah boleh memerintahkan majikan untuk bayar kepada setiap pekerjanya perbezaan di antara kadar gaji minimum dengan gaji pokok
  • Penalti Am – Denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap kesalahan jika tiada penalti diperuntukan
  • Penalti bagi Kesalahan Berterusan – Denda harian tidak melebihi RM1,000 bagi kesalahan yang berterusan selepas sabitan
  • Penalti bagi Kesalahan Berulang – Denda tidak melebih RM20,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun 

Tapi macam mana pula jika terdapat persetujuan diantara pekerja dan majikan untuk dibayar gaji pokok yang rendah?

Jawapannya adalah TIDAK BOLEH kerana penetapan kadar gaji ini telah menjadi satu bentuk perundangan yang sah dan sebarang tindakan bertentangan daripadanya boleh disabitkan kepada penalti. 

Sehubungan dengan itu, para majikan perlu memastikan penetapan Perintah Gaji Minimum 2022 ini dilaksanakan dengan teliti dan menyeluruh andai ia menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Ingat, kegagalan untuk mematuhinya bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh dianggap sebagai satu bentuk penindasan oleh majikan terhadap pekerja.

Jadi para majikan perlu ambil maklum tentang penetapan ini dan para pekerja yang merasakan penetapan gaji minimum ini tidak dilaksanakan ditempat kerja anda, segera membuat aduan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Hargai dan cerna hak-hak anda sebagai pekerja dan majikan di bawah Perintah Gaji Minimum 2022 ini agar persekitaran kerja di Malaysia akan menjadi lebih majmuk dan lebih berdaya saing di peringkat global.

2 Comments

Leave a Reply