Dalam alam pekerjaan istilah Conflict of Interest atau konflik kepentingan boleh berlaku tanpa disedari. Malah, ada sesetengah perbuatan pekerja walaupun kecil juga boleh dianggap sebagai konflik kepentingan jika ia beri kesan kepada syarikat.
Tidak kira sama ada seorang pekerja itu menggunakan barangan milik syarikat untuk tujuan peribadi atau buat kerja luar semasa waktu bekerja, ia adalah satu bentuk konflik kepentingan yang melanggar syarat kontrak kerja yang dipersetujui.
Maksud Conflict of Interest
Konflik kepentingan adalah bila seorang pekerja atau organisasi mendahulukan kepentingan peribadi, sehingga memberi kesan terhadap hubungan dengan syarikat. Ia berkait rapat dengan niat yang bercanggah antara satu pihak dengan pihak lain.
Sebenarnya konflik kepentingan boleh berlaku tanpa disedari atau secara sengaja oleh sesuatu pihak. Di dalam konteks tempat kerja, ia boleh berlaku tanpa mengira jawatan sama ada pekerja biasa atau ahli lembaga pengarah.
Pada kebanyakan kes, konflik kepentingan melibatkan wang seperti seorang pekerja menjual maklumat peribadi syarikat kepada syarikat persaing atau melibatkan pilih kasih seperti mengutamakan ahli keluarga dalam pengambilan pekerja.
Disebabkan itu, pekerja perlu beri butiran latar belakang keluarga dan maklumat bekas syarikat sebelum menandantangani kontrak kerja. Malah, ada syarikat yang meletakan klausa khas yang menghalang pekerja dari mengeluarkan sebarang kenyataan media.
Jenis Conflict of Interest
Seperti yang dinyatakan tadi, konflik kepentingan boleh berlaku tanpa mengira jawatan. Tetapi dalam kebanyakan kes, biasanya konflik kepentingan dicetus oleh individu yang memiliki kuasa dalam syarikat.
Antara jenis konflik kepentingan di tempat kerja yang sering terjadi adalah,
1. Nepotisme (Pilih Kasih)
Amalan pilih kasih dalam sesuatu organisasi syarikat bukan perkara baru. Perbuatan pilih kasih ini malah sering dipertontonkan dalam drama-drama televisyen di Malaysia. Konflik seperti ini akan mencetus rasa tidak senang hati dalam kalangan pekerja.
Contohnya, ketua pengarah yang meletak jawatan akan melantik anak-anaknya sebagai pengganti berbanding pekerja yang berkemahiran tentang selok-belok syarikat. Senang cerita pakai ‘cable’!
2. Pecah Amanah
Perbuatan pecah amanah ini besar konteksnya dalam dunia pekerjaan. Boleh jadi apabila pegawai kewangan seleweng duit syarikat atau pekerja menggunakan barangan milik syarikat untuk kegunaan peribadi.
Pada sesetengah kes, pecah amanah boleh terjadi bila pekerja terima hadiah untuk pihak syarikat tanpa pengetahuan majikan. Ia boleh mencetus perasaan hilang kepercayaan antara pekerja dan majikan.
3. Maklumat Orang Dalam
Situasi melibatkan orang dalaman membocorkan maklumat syarikat bukan benda baru. Selalunya pekerja akan menjual maklumat syarikat kepada syarikat persaing dengan syarat mendapat bayaran lumayan.
Pada sesetengah kes pula, pekerja mungkin tertiris maklumat ke pihak media secara sengaja atau tidak sehingga boleh menyebabkan kerugian kepada syarikat. Atas faktor itu syarikat ada meletakan klausa khas kerahsiaan (confidentiality) dalam kontrak kerja.
Cara Hadapi Conflict of Interest
Sebenarnya agak sukar untuk tentukan apa dan bila konflik kepentingan berlaku. Walaupun telah dinyatakan beberapa jenis konflik kepentingan di atas, ada pelbagai lagi bentuk konflik kepentingan yang berlaku dalam sesebuah organisasi syarikat.
Ingat, niat dan matlamat setiap individu adalah berbeza-beza walaupun bekerja di bawah satu bumbung yang sama!
Oleh itu, penting untuk setiap syarikat memiliki strategi dalam menghadapi konflik kepentingan di tempat kerja. Antara yang boleh dilakukan adalah seperti berikut:
- Pastikan setiap pekerja faham apa yang dikategorikan sebagai konflik kepentingan dalam kontrak kerja
- Pastikan syarikat amalkan etika kerja yang adil dan saksama termasuk para ahli lembaga pengarah syarikat
- Membuat laporan ke atas sebarang ketidakpuasan hati dan memperbaiki hubungan baik antara majikan dan pekerja
- Syarikat juga boleh mengamalkan ketelusan (disclosure) dalam organisasi bagi mencipta suasana harmoni di tempat kerja
Jadi tidak kira anda sebagai pekerj atau majikan, penting untuk anda faham apa itu konflik kepentingan agar tidak mencetus masalah dalam sesebuah organisasi.
Penting juga untuk anda merujuk kepada pegawai sumber manusia (HR) sebelum membuat suatu keputusan bagi memastikan sama ada ia akan memberi kesan kepada syarikat atau tidak.