Skip to main content

Jika lihat pada artikel cuti rehat dan GCR sebelum ini ada dinyatakan bahawa penjawat awam adalah yang paling banyak menerima faedah cuti.

Dari cuti yang diberikan atas sebab perkhidmatan; cuti atas sebab perubatan; cuti tidak berekod ke cuti lain-lainnya; pegawai kerajaan yang layak boleh bercuti dengan menerima gaji penuh atau separuh atau tidak menerima gaji langsung.

Cuti Belajar

Setiap individu mengimpikan untuk sambung belajar ke peringkat lebih tinggi, menambah pengetahuan sedia ada bagi menyiapkan diri sebelum tempuhi alam pekerjaan. Ini kerana ada sesetengah syarikat meletakkan penanda aras pendidikan pada jawatan tertentu.

Namun, kelayakan taraf pendidikan ini bergantung kepada polisi syarikat sebenarnya kerana ada sesetengah yang mementingkan pengalaman lebih daripada pendidikan.

Kebiasaannya dalam budaya kerja di Malaysia lagi tinggi jawatan, lagi tinggi taraf pendidikan yang diperlukan. Atas faktor itu ada pekerja yang buat keputusan untuk berhenti dan sambung belajar bagi melayakan diri dapat jawatan yang lebih tinggi.

Tapi tahukah anda penjawat awam yang ingin melanjutkan penggajian boleh buat permohonan Cuti Belajar tanpa kehilangan jawatan yang disandang oleh mereka?

Dalam Perintah Am Bab C 1974, Cuti Belajar disebut sebagai Cuti Berkursus. Ia adalah cuti yang diluluskan oleh Kerajaan kepada penjawat awam yang mengikuti kursus jangka sederhana atau panjang secara sepenuh masa.

Ini bermakna dalam tempoh cuti tersebut penjawat awam dibenarkan untuk meninggalkan tugasan atau jawatan mereka tanpa dikira sebagai putus perkhidmatan (berhenti kerja) semasa jalani kursus.

Definisi kursus jangka sederhana ini pula merujuk kepada tempoh melebihi 3 bulan tetapi tidak lebih 12 bulan dalam kalendar, sementara kursus jangka panjang adalah tempoh melebihi 12 bulan dalam kalendar.

Kemudahan Cuti Belajar

Seperti yang dinyatakan awal tadi, penjawat awam yang bercuti khas layak untuk menerima gaji sama ada bergaji penuh, separuh atau tidak bergaji. Dalam kes Cuti belajar ini penjawat awam layak untuk menerima tiga jenis kemudahan iaitu,

  • Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP)
    • Diluluskan Kerajaan kepada penjawat yang mengikuti kursus atau pengajian dengan pembayaran gaji, imbuhan dan elaun lain secara penuh di bawah syarat serta peraturan yang ditetapkan
  • Cuti Belajar Separuh Gaji (CBSG)
    • Diluluskan Kerajaan kepada penjawat yang mengikuti kursus atau pengajian dengan pembayaran gaji, imbuhan dan elaun lain secara separuh di bawah syarat serta peraturan yang ditetapkan
  • Cuti Belajar Tanpa Gaji (CBTG)
    • Diluluskan Kerajaan kepada penjawat yang mengikuti kursus atau pengajian tanpa pembayaran gaji, imbuhan dan elaun lain di bawah syarat serta peraturan yang ditetapkan

Suka diingatkan bahawa kelulusan untuk Cuti Belajar termasuk kemudahan di atas berada dalam bidang kuasa Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) kecuali bagi Kementerian/ Jabatan yang diwakilkan kuasa oleh KPPA.

Dalam pada itu, Cuti Belajar ini juga berkuatkuasa kepada pegawai yang melanjutkan penggajian sama ada di dalam atau luar negara.

Selain itu, bagi penjawat awam yang mengikuti pengajian atas pembiayaan Badan Swasta, Badan Bukan Kerajaan, Badan Antarabangsa atau Negara Asing turut boleh diberi kemudahan Cuti Belajar mengikut kelayakan masing-masing.

Sungguhpun begitu, andai penjawat yang mengikuti pengajian didapati gagal kerana kelemahan akedemik maka kemudahan cuti belajar yang diberikan boleh ditukar contohnya dari CBSG ke CBTG.

Jelas di sini bahawa tanpa mengira sektor sebenarnya pendidikan adalah perkara penting yang menjadi penanda aras kepada kemajuan kerjaya seorang pekerja. Mungkin pengalaman itu penting tetapi pengalaman tanpa pengetahuan sukar untuk berjaya.

Jadinya pekerja yang berpeluang untuk menyambung pengajian dan masih bekerja perlu manfaatkannya sebaik mungkin untuk perkembangan diri sendiri termasuk syarikat.

beza rest day dan off day
Asas HR

Beza Antara Rest Day dan Off Day

Zahin ByondZahin ByondDecember 6, 2024

Leave a Reply