Skip to main content

Selalunya apabila majikan meminta pekerja untuk bekerja pada hari cuti rehat mingguan atau hari cuti umum, pekerja itu layak untuk menerima bayaran kerja lebih masa (overtime). Perkara ini telah ditetapkan dalam perundangan kerja negara Akta Kerja 1955.

Malah, pihak MySyarikat juga sudah banyak kali mengeluarkan artikel berkenaan hak-hak cuti pekerja yang digariskan Akta Kerja 1955 dan isu pembayaran kerja lebih masa ini. Tetapi tahukah anda bahawa pekerja yang tidak layak menerima bayaran overtime boleh mendapatkan hari cuti ganti?

Cuti Penggantian (Time-Off in Lieu)

Secara umumnya, bermula 1 Januari 2023 Akta Kerja 1955 menetapkan bahawa pekerja yang menerima gaji bulanan sehingga RM4,000 layak untuk buat dan terima bayaran overtime. Sebaliknya, jika menerima gaji RM4,000.01 ke atas pekerja boleh menolak untuk membuat OT.

Tetapi bagi kes di mana majikan masih meminta pekerja yang menerima gaji melebihi RM4,000.01 membuat kerja tambahan atas sebab tertentu, maka mengikut polisi syarikat pekerja itu layak untuk memohon cuti penggantian (time-off in lieu).

Menurut definisi, time-off in lieu ini adalah kelayakan pekerja untuk menerima cuti berbayar sebagai pampasan untuk bekerja lebih masa dan bukannya dibayar kadar overtime. Contohnya majikan minta pekerja bekerja pada hari Ahad (hari rehat) maka pekerja layak untuk dapat hari cuti ganti pada hari Isnin.

Pada sesetengah kes pula time-off in lieu juga boleh diberikan kepada mereka yang bekerja melebihi tempoh waktu kerja minimum yang ditetapkan dalam Akta Kerja seperti berikut:

  • Pekerja tidak boleh bekerja 5 jam berturut-turut tanpa rehat sekurang-kurang 30 minit
  • Pekerja tidak boleh bekerja kurang 8 jam dalam satu hari
  • Pekerja tidak boleh bekerja lebih tempoh 10 jam dalam satu hari
  • Pekerja tidak boleh bekerja lebih 45 jam dalam seminggu

Bagaimana Time-Off in Lieu Berfungsi?

Suka diingatkan bahawa cuti penggantian ini tidak disebut pada mana-mana bahagian dalam Akta Kerja 1955 sebaliknya Ia diamalkan berdasarkan polisi syarikat semata-mata. Maka, ini bermakna majikan memiliki hak untuk tentukan sama ada pekerja layak menerima time-off in lieu atau tidak.

Tetapi polisi ini hanya terpakai kepada pekerja yang menerima gaji melebihi RM4,000.01 sahaja kerana mereka tidak layak untuk dibayar overtime seterusnya berhak untuk menolak melakukan kerja lebih masa yang diminta majikan.

Namun, bagi pekerja yang menerima gaji kurang dari RM4,000.01 pula mereka secara terang-terangan layak untuk dibayar overtime apabila melakukan kerja lebih masa seterusnya tiada keperluan untuk time-off in lieu.

Melainkan pada sesetengah kes di mana pekerja yang terima gaji kurang RM4,000.01 tetapi diminta kerja lebih masa namun syarikat tidak mampu membayar overtime, maka pekerja itu boleh diberikan time-off in lieu.

Akan tetapi sekali lagi diingatkan bahawa polisi time-off in lieu ini tidak ditetapkan dalam Akta Kerja 1955, jadi untuk melaksanakannya majikan dan pekerja perlu mencapai persetujuan bersama yang beri manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Kelebihan dan Kekurangan Time-Off in Lieu

Kelebihan Time-Off in Lieu

Terdapat beberapa manfaat time-off in lieu ini sebenarnya untuk syarikat dan pekerja. Antara kelebihannya adalah,

  • Kurangkan Kos Overtime

Seperti yang ditetapkan dalam Akta Kerja, pekerja yang bekerja lebih masa layak untuk terima bayaran overtime. Namun dengan pengenalan polisi cuti ganti ini ia dapat mengurangkan kos pembayaran overtime syarikat terutama kepada pekerja yang tidak layak.

  • Pekerja Dapat Cuti Ganti

Bagi pekerja yang tidak layak terima bayaran overtime, polisi cuti ganti ini dapat membantu mereka mengimbangi tempoh waktu kerja seperti yang sepatutnya. Ia juga berperanan untuk menjadi faedah syarikat kepada pekerja terutama yang menerima gaji besar.

Kekurangan Time-Off in Lieu

Sungguhpun begitu, masih terdapat juga beberapa kekurangan polisi time-off in lieu ini terutama bagi pihak pekerja. Kekurangan yang jelas adalah,

  • Tiada Bayaran Tambahan

Tentunya sebagai pekerja apabila diminta untuk bekerja melebihi masa yang ditetapkan anda pasti mahu dibayar pampasan berbanding diberi cuti gantian. Sayangnya bagi pekerja yang tidak layak dibayar overtime anda tidak akan dibayar walaupun kerja lebih masa.

  • Salah Guna Polisi Yang Ada

Masalah yang syarikat hadapi apabila menggunakan polisi time-off in lieu ini adalah kemungkinan pekerja sengaja membuat kerja melebihi masa walaupun tidak diminta supaya dapat memohon faedah hari cuti yang lebih panjang.

Cara Tetapkan Polisi Time-Off in Lieu

Jadi bagi mengatasi masalah pekerja memanipulasi faedah time-off in lieu, anda dinasihatkan untuk mencipta satu garis panduan polisi yang lengkap yang memenangkan kedua-dua belah pihak. Antara perkara yang perlu dititk beratkan dalam mencipta polisi ini adalah,

  • Definisikan siapa yang berhak dan layak untuk ambil time-off in lieu
  • Tetapkan jumlah atau kuota time-off in lieu yang dibenarkan untuk pekerja
  • Senaraikan peraturan dan syarat minimum untuk pekerja ambil time-off in lieu
  • Fikirkan apa yang boleh dibuat jika terdapat time-off in lieu terkumpul

Kesimpulannya, dalam melaksanakan polisi time-off in lieu ini majikan atau pegawai di bahagian sumber manusia (HR) perlu tahu terlebih dahulu apakah hak-hak pekerja yang ditulis dalam Akta Kerja 1955.

Selepas memahaminya baru mula merangka polisi time-off in lieu yang bersesuaian dengan syarikat. Pastinya ada tidak mahu pekerja memanipulasi faedah yang ada untuk kepentingan peribadi mereka sendiri.

Bagi pihak pekerja pula anda juga perlu fahami kelayakan anda untuk menerima bayaran overtime atau diberi cuti penggantian selepas membuat kerja lebih masa. Sayang jika akan mengorbankan cuti sepatutnya tanpa menerima sebarang pampasan atas usaha yang anda berikan.

beza rest day dan off day
Asas HR

Beza Antara Rest Day dan Off Day

Zahin ByondZahin ByondDecember 6, 2024

Leave a Reply