Skip to main content

Bulan Mac dan April adalah antara bulan terpenting yang dikenali sebagai musim cukai pendapatan. Hal ini kerana individu yang layak dikenakan cukai pendapatan perlu isytiharkannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebelum 30 April setiap tahun.

Dalam tempoh 2 bulan tersebut pasti anda akan terdengar tentang EA form. Tapi apa sebenarnya EA form? Apa kaitan EA form dengan LHDN?

Jangan risau, artikel ini akan beri penerangan tentang EA form kepada anda. Jadi pastikan anda baca sampai habis untuk tahu berkenaan kepentingan EA form ini.

Apa Itu EA Form?

Bagi yang tidak tahu, EA form adalah penyata gaji setahun/ saraan imbuhan setahun bagi pekerja yang bekerja di sektor swasta. Pekerja yang bekerja di bawah agensi kerajaan pula memanggilnya sebagai EC form.

EA form ini biasanya mengandungi maklumat pekerjaan berkaitan gaji, bonus, komisen, faedah, elaun, potongan cukai bulanan (PCB) dan caruman KWSP. Senang cerita ia memiliki segala maklumat berkaitan manfaat yang disediakan majikan kepada pekerja.

Di sini penting untuk anda faham bahawa EA form ini bukan borang pengisytiharan cukai. Ia adalah borang yang merumuskan semua jumlah gaji berserta imbuhan yang diterima selama setahun.

Jadi jangan ingat dapat EA form ni maksudnya majikan sudah isytiharkan cukai untuk anda. Tanggungjawab pengisyatiharan dan pemfailan cukai adalah tanggungjawab sendiri!

Satu perkara menarik tentang EA form adalah ia merupakan dokumen yang diperlukan dalam urusan permohonan pinjaman kereta atau pinjaman perumahan.

Biasanya pihak bank akan minta peminjam untuk menyediakan EA form kerana borang ini mengandungi maklumat penggajian setahun yang lengkap untuk seseorang pekerja itu.

Mana Nak Dapat EA Form?

Mengikut Seksyen 83 (1A) Akta Cukai Pendapatan 1967, pihak majikan perlu mengeluarkan EA form untuk pekerja bermula sebelum 1 Mac setiap tahun kerana tarikh akhir untuk pemfailan cukai pendapatan individu adalah pada 30 April.

Jika majikan tidak menyediakan EA form, majikan boleh dikenakan denda RM200 sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekaligus. Denda yang sama juga boleh dikenakan kepada pekerja yang gagal membayar cukai pendapatan mereka.

Jadinya dekat sini apabila memasuki musim cukai pendapatan, segera minta kepada majikan EA form bagi memudahkan urusan pemfailan anda bersama LHDN.

Apa Kepentingan EA Form?

Bagi individu yang pertama kali membuat pemfailan cukai pendapatan, penting untuk anda dapatkan EA form ini terlebih dahulu sebelum mengisi borang cukai pendapatan (e-Filing)

Hal ini kerana selepas anda selesai mendaftar bersama LHDN, anda perlu mengisi pada sistem e-Filing dengan merujuk segala maklumat yang terkandung dalam EA form.

Penting untuk anda pastikan segala amaun yang dimasukkan semasa e-Filing adalah sama dengan amaun yang terdapat pada EA form untuk dapat jumlah baki cukai pendapatan yang perlu dibayar.

Selain itu, tujuan e-Filing ini dibuat juga adalah untuk mengenal pasti jika terdapat lebihan pembayaran PCB yang melayakkan anda untuk terima semula lebihan bayaran tersebut.

Suka diingatkan bahawa PCB ialah potongan bulanan yang dikenakan pada gaji pekerja sebagai sebahagian daripada cukai pendapatan. Rujukan lanjut berkenaan PCB boleh dibuat pada artikel CP39 dan CP38 yang pernah dikeluarkan sebelum ini.

Berbalik kepada tajuk asal, keperluan EA form ini tidak boleh diambil ringan oleh mana-mana pihak termasuk majikan dan pekerja. Ia bukan sahaja digunakan dalam urusan permohonan pinjaman tetapi amat diperlukan untuk proses pencukaian.

Jika majikan masih belum mengeluarkan EA form selepas 1 Mac, segera mintanya dengan pihak pengurusan dan andai majikan gagal mengeluarkannya pula anda boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Pastikan anda menjalankan tanggungjawab anda sebagai rakyat Malaysia untuk membayar cukai kerana hasil kutipan cukai yang diperolehi akan kembali semula kepada anda dalam pelbagai bentuk seperti pembiayaan pembangunan negara.

Leave a Reply