Skip to main content

Wang adalah motivasi utama kepada seorang pekerja untuk berikan perkhidmatannya. Mereka yang bekerja di bawah majikan akan menerima wang dalam bentuk gaji bulanan, sementara yang bekerja sendiri pula akan dapat wang dalam bentuk upah atau keuntungan.

Atas faktor itu kebanyakan syarikat dan majikan kini menawarkan julat gaji yang kompetitif untuk menarik perhatian pekerja. Namun, tidak semua mampu menawarkan gaji tinggi kepada pekerja lebih-lebih lagi bagi syarikat pemula.

Jadi di sini syarikat akan menawarkan faedah bukan kewangan (non-monetary benefit) atau faedah sampingan untuk menarik perhatian pekerja. Jadi mari lihat apakah bentuk-bentuk non-monetari yang syarikat di Malaysia sering tawarkan.

Faedah Monetari dan Faedah Bukan Monetari

Monetari atau dalam bahasa English monetary bermaksud duit atau mata wang, istilah yang sering digunakan dalam pelaburan bagi mengambarkan imbuhan atau sesuatu dasar polisi.

Dalam konteks pekerjaan monetari adalah faedah kewangan dan penambahan perkataan ‘non‘ kepada monetari merujuk kepada faedah bukan kewangan atau faedah sampingan. Ringkasan untuk perbezaan faedah monetari dan faedah bukan monetari adalah seperti berikut:

  • Faedah Monetari
    • Insentif kewangan yang diberikan majikan sebagai rangsangan kepada pekerja
    • Berbentuk wang tunai, bonus, komisen, kenaikan gaji, keuntungan dan hadiah yang boleh dikira nilainya
  • Faedah Bukan Monetari
    • Insenfitf bukan kewangan yang diberikan majikan sebagai penambahan kepada pekerja
    • Berbentuk cuti, polisi kerja fleksibel, aktiviti riadah, makanan dan minuman, penghargaan dan ganjaran yang tidak boleh dikira nilainya

Jenis Faedah Monetari dan Faedah Bukan Monetari

Seperti yang dijelaskan di atas, perbezaan ketara antara faedah monetari dan faedah bukan monetari adalah bentuknya. Di sini anda perlu faham istilah bentuk digunakan berbanding nilai kerana ada sesetengah faedah bukan monetari memiliki nilai lebih tinggi daripada wang.

Untuk seorang majikan memberi faedah monetari, biasanya ia bergantung kepada prestasi kerja pekerja. Jika pekerja menunjukkan tahap prestasi yang memuaskan, maka majikan boleh beri faedah monetari kepadanya.

Antara contoh faedah monetari yang sering majikan berikan adalah:

  • Pembayaran bonus tahunan atau bonus prestasi
  • Komisen atas penjualan yang dibuat pekerja
  • Kenaikan gaji pekerja mengikut nilai pasaran
  • Sebahagian keuntungan yang diberi syarikat atau unit saham
  • Kad hadiah dan elauan perbelanjaan

Sebaliknya, untuk seorang majikan berikan faedah bukan moneteri pula biasanya diukur melalui kepuasan kerja, persekitaran tempat kerja dan keperluan pekerja. Jenis faedah ini adalah untuk beri penghargaan dan nilai kepercayaan antara pekerja serta majikan.

Beberapa contoh faedah bukan monetari yang sering diberikan syarikat adalah:

  • Faedah kerja fleksibel seperti kebenaran untuk bekerja dari rumah
  • Faedah riadah atau aktiviti syarikat yang dibuat oleh syarikat
  • Faedah program kesihatan seperti kaunseling percuma
  • Peluang menghadiri khusus di bawah tanggungan syarikat
  • Sijil penghargaan atau kenaikan pangkat dalam syarikat

Kelebihan Faedah Monetari dan Faedah Bukan Monetari

Terdapat banyak sebenarnya kelebihan suatu syarikat itu menawarkan faedah monetari dan faedah bukan monetari. Tentunya penawaran faedah berbentuk wang akan menarik perhatian lebih ramai pekerja untuk bekerja dengan syarikat.

Tetapi jangan pula dipandang rendah dengan faedah bukan monetari ini. Bagi sesetengah pekerja mereka mungkin mahukan kebebasan bekerja fleksibel dan syarikat yang menawarkan faedah seperti ini semakin mendapat perhatian.

Sungguhpun begitu, sebarang faedah ini sebenarnya bergantung kepada polisi syarikat. Mungkin ada syarikat yang mampu tawarkan elaun tambahan selain gaji, tetapi mungkin ada pula syarikat yang mampu tawarkan fleksibiliti bekerja.

Jadinya anda sebagai majikan perlu kenal pasti kemampuan syarikat untuk menawarkan jenis faedah yang mana, jika syarikat mampu tawarkan faedah monetari digalakkan tetapi jika tidak boleh sahaja beri faedah bukan monetari.

Cuma yang penting di sini adalah majikan wajib membayar gaji pekerja kerana pembayaran gaji bukannya faedah tetapi adalah upah tetap yang tidak boleh diubah berdasarkan polisi.

Leave a Reply