Skip to main content

Sebelum seseorang pekerja itu secara rasminya mulakan tugasan bersama sesebuah syarikat, kontrak kerja akan diberikan dan pekerja perlu menurunkan tandatangan sebagai tanda persetujuan dengan segala syarat bekerja.

Namun, kebanyakan pekerja tidak membaca atau meneliti syarat-syarat yang diperuntukan dalam kontrak kerja. Selalu pekerja hanya mengimbas kontrak kerja yang diberikan sekali lalu atau hanya beri fokus kepada maklumat penting seperti gaji dan cuti sahaja.

Memang tidak boleh dinafikan isi kontrak kerja yang penuh dengan tulisan dan perenggan kurang menarik apatah lagi mudah untuk dibaca dengan penggunaan perkataan jargon perundangan yang sukar difahami oleh orang kebanyakan.

Atas faktor itu banyak berlakunya kes kekecewaan kontrak (frustration of contract) atau konflik kepentingan (conflict of interest) yang melibatkan pekerja melanggar persetujuan kontrak. Ia berpunca daripada ketidakfahaman pekerja berkaitan klausa-klausa dalam kontrak kerja.

Contoh salah satu klausa-klausa yang kurang diambil perhatian oleh pekerja adalah klausa anti-persaingan (non-compete clause) yang menyaksikan pekerja dilarang untuk bekerja dengan syarikat musuh atau syarikat persaing.

Tetapi persoalannya adakah benar-benar wujud klausa anti-persaingan dalam kontrak kerja di Malaysia? Dan sejauh manakah klausa anti-persaingan ini menghalang pekerja daripada bekerja dengan syarikat lain?

Klausa Anti-Persaingan

Secara umumnya apabila seseorang pekerja itu bekerja dengan sesebuah syarikat mereka bukan sahaja melaksanakan tugasan semata-mata, tetapi pada masa yang sama membawa rahsia syarikat seperti corak perniagaan dan operasi.

Disebabkan itu ada sesetengah syarikat meletakkan klausa anti persaingan atau non-compete clause yang boleh menghalang seseorang pekerja itu daripada bekerja dengan syarikat yang menjalankan corak perniagaan yang hampir sama dan boleh dianggap sebagai persaing.

Mungkin klausa anti-persaingan boleh menyebut bahawa;

“seorang pekerja selepas pemberhentian dilarang memberi khidmat selama beberapa bulan atau tahun dari tarikh penamatan bersama dengan syarikat lain yang menjalankan perniagaan serupa”

Contoh mudah untuk mengambarkan situasi ini adalah bila 2 syarikat gergasi yang bersaing antara satu sama lain akan menghalang para pekerjanya yang berhenti daripada bekerja dalam industri yang sama bagi mengelakkan kebocoran maklumat.

Dalam kebanyakan kes syarikat dalam industri teknologi biasanya mengamalkan klausa anti-persaingan ini sebagai langkah berjaga-jaga untuk menghalang kebocoran maklumat. Malah, industri seperti makanan juga ada klausa anti-persaingannya sendiri.

Sungguhpun begitu suka dimaklumakan bahawa setiap negara, termasuk Malaysia memiliki perundangan persaingan tersendiri bagi memastikan persaingan yang sihat dan kompetitif. Di Malaysia, rujukan perundangan persaingan boleh dibuat pada Akta Persaingan 2010.

Situasi Anti-Persaingan Di Malaysia

Maka, bagi menjawab persoalan sama ada wujudkah klausa anti-persaingan dalam kontrak kerja di Malaysia jawapannya ada tetapi TIDAK DILAKSANAKAN

Secara hakikatnya mungkin ada sesetengah syarikat di Malaysia peruntukan klausa anti-persaingan dalam kontrak kerja, namun perundangan di Malaysia tidak mengiktiraf perlaksanaan klausa tersebut.

Hal ini kerana Seksyen 28, Akta Kontrak 1950 ada menghuraikan bahawa sebarang perjanjian kontrak yang mencegah atau menghalang seseorang individu daripada memperoleh (mata pencarian) yang sah disisi perundangan adalah tidak sah.

Berdasarkan seksyen tersebut jelas bahawa anda sebagai pekerja boleh bekerja dengan syarikat persaingan bekas majikan selagi ia tidak melanggar sebarang perundangan yang dibenarkan untuk anda bekerja. 

Sebagai contoh anda bekerja dengan syarikat A, sebuah syarikat dalam industri teknologi pembuatan peranti pintar, kemudian anda berhenti bekerja dan menerima tawaran dari syarikat B yang datang dari industri yang sama.

Pada situasi ini walaupun syarikat A ada menyatakan klausa anti-persaingan, namun anda masih boleh bekerja dengan syarikat B tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang kerana anda sudah berhenti terlebih dahulu.

Situasinya mungkin berbeza jika anda menerima tawaran syarikat B sedangankan anda masih bekerja dengan syarikat A, kerana tindakan ini boleh dianggap sebagai conflict of interest akibat daripada kekecewaan kontrak.

Dalam pada itu penting untuk dimaklumkan juga bahawa berdasarkan situasi di atas, klausa anti-persaingan ini boleh dikatakan tidak salah di sisi undang-undang cuma penguatkuasannya sahaja tidak dilaksanakan di Malaysia.

Akan tetapi terdapat beberapa situasi di mana klausa anti-persaingan boleh berkuatkuasa, contohnya seperti perjanjian penjualan perniagaan bagi mengelak persaingan atau persetujuan untuk tidak bersaing setelah pembuburan.

Kata Putus Tentang Klausa Anti-Persaingan di Malaysia

Sebenarnya agak jelas di sini bahawa sesebuah syarikat boleh memasukkan klausa anti persaingan dalam kontrak kerja bagi menghalang pekerja daripada bekerja dengan sayrikat persaing, namun ia tidak dilaksanakan oleh undang-undang di Malaysia.

Pengenalan klausa anti-persaingan ini mungkin boleh dibuat bagi menghalang pekerja yang masih bekerja untuk pergi ke syarikat persaingan, namun jika pekerja sudah berhenti maka syarikat tidak boleh menghalang pekerja.

Kesimpulanya terdapat satu garis halus berkenaan klausa anti-persaingan ini namun andai ia tidak mencetus sebarang pelanggaran kontrak, maka ia tidak menjadi kesalahan untuk pekerja bekerja dengan syarikat persaing.

Pada akhir harinya ia bergantung kepada situasi dan pemahaman pekerja berkaitan klausa-klausa pada kontrak kerja. Jadinya anda sebagai pekerja dinasihatkan untuk meneliti kontrak kerja dan majikan perlu mendidik pekerja untuk fahami hak-hak mereka.

Umum

Fahami Konsep Work-Life Balance

Zahin ByondZahin ByondMarch 25, 2024

Leave a Reply