Skip to main content

Bagi pengusaha perniagaan di Malaysia anda wajib untuk mendaftarkan syarikat atau perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Tujuan pendaftaran ini bukan sahaja untuk mendapatkan lesen kebenaran beroperasi tetapi juga bagi memastikan syarikat mematuhi undang-undang korporat negara.

Tentunya jika anda masih baru dan ingin memulakan perniagaan, anda dinasihatkan untuk mendaftar dengan SSM segera, sementara bagi mereka yang sudah lama beroperasi pula anda dinasihatkan untuk memperbaharui lesen perniagaan.

Ini kerana kegunaan lesen SSM bukan sahaja menandakan syarikat anda dibenarkan untuk beroperasi di Malaysia, tetapi sebagai sebagai lambang pematuhan perniagaan terhadap perundangan korporat kepada orang awam.

Atas faktor itu artikel kali ini akan membantu anda pengusaha baru dalam proses mendaftar dengan SSM dan pada masa yang sama mengajar anda prosedur pembaharuan lesen SSM.

Apa Itu SSM?

Secara asasnya, Suruhajaya Syarikat Malaysia (SSM) adalah sebuah badan berkanun yang dibentuk daripada penggabungan Pejabat Pendaftaran Syarikat (ROC) dan Pejabat Pendaftaran Perniagaan (ROB) untuk mengawal selia syarikat serta perniagaan di Malaysia.

SSM mula beroperasi pada 16 April 2002 dan ditubuhkan bagi menyelaraskan pemerbadanan syarikat dan pendaftaran perniagaan, selain turut membekalkan maklumat syarikat serta perniagaan kepada orang awam di Malaysia.

Skop utama SSM adalah untuk memastikan pematuhan undang-undang korporat dan pendaftaran perniagaan syarikat melalui aktiviti penguatkuasaan serta pemantauan komprehensif bagi memastikan perkembangan positif sektor korporat dan perniagaan negara.

Ini juga bermakna SSM bertanggungjawab untuk mengawal selia perundangan berikut dalam memastikan semua syarikat di Malaysia mematuhinya.

  • Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001
  • Akta Syarikat 2016 (Akta 777)
  • Akta Skim Kepentingan 2016 (Akta 778)
  • Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Akta 197)
  • Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012
  • Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100)
  • Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28)
  • peraturan-Peraturan Skim Kepentingan 2017
  • Peraturan-Peraturan Syarikat 2017
  • Kaedah-Kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957
  • Peraturan-Peraturan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (Perlesenan Setiausaha 2017)
  • Peraturan-Peraturan Perkongsian Liabiliti Terhad 2012

Selain itu, SSM juga melaksanakan tanggungjawab mentadbir pembayaran-pembayaran caj yang ditetapkan oleh perundangan korporat negara. Ini juga termasuk memantau tatacara syarikat yang berdaftar dengannya.

Mudah kata SSM ini berurusan dengan segala perkara berkaitan syarikat dari segi pendaftaran, penubuhan, pengawalseliaan, pemberi makluman kepada orang awam berkenaan syarikat dan tadbir urus segala urusan pengurusan syarikat secara umumnya.

Prosedur Daftar dan Pembaharuan Lesen SSM

Seperti dikatakan pada awal tadi semua pengusaha perniagaan di Malaysia WAJIB mendaftar dengan SSM dengan memohon lesen perniagaan. Kegagalan untuk berdaftar dengan SSM membolehkan pengusaha didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun.

Kata kuncinya di sini adalah semua pengusaha dari semua jenis perniagaan, maka jika anda berniaga walaupun jualan carboot anda sepatutnya mendaftarkan perniagaan dan memperolehi lesen SSM.

Sebelum itu penting juga untuk anda tahu berkenaan jenis-jenis lesen perniagaan yang ditawarkan SSM. Antara jenis lesen yang ditawarkan adalah,

  • Lesen Perniagaan Enterprise Persendirian/ Perkongsian
  • Lesen Perniagaan PLT/LLP
  • Lesen Perniagaan Sendirian Berhad
  • Lesen Perniagaan Berhad  

Syarat pendaftaran perniagaan pula adalah seperti berikut:

  • Pemilik warganegara atau penduduk tetap
  • Pemilik berumur 18 tahun ke atas
  • Pemilik atau rakan kongsi sahaja dibenarkan buat permohonan
  • Pendaftaran perniagaan baru boleh dibuat dalam masa 1 tahun tetapi tidak lebih 5 tahun
  • Jenis lesen perniagaan mesti mematuhi keperluan undang-undang yang ditetapkan
  • Pemilik perlu dapatkan lesen, permit atau surat kebenaran dari pihak berkuasa untuk jalankan aktiviti perniagaan walaupun selepas berdaftar dengan SSM

Tentunya cara mandaftar sekarang ini sangat mudah dan boleh dibuat secara atas talian (online) melalui ezBiz. Atau anda juga boleh melawat ke pejabat SSM sendiri untuk pendaftaran dan mendapatkan maklumat.

Pengguna boleh ‘Sign Up’ perniagaan pada laman ezBiz kemudian melengkapkan butiran yang diperlukan. Selepas mendaftar dengan ezBiz pengguna boleh terus mendaftar perniagaan dengan melawat SSM untuk pengaktifan kemudian mengisi maklumat diminta.

Perlu diingatkan bahawa pendaftaran perniagaan dengan SSM akan dikenakan fi sebanyak RM30 untuk pemilikan tunggal, RM60 untuk perkongsian, RM5 untuk pendaftaran cawangan dan RM10 untuk cetakan maklumat perniagaan.

Bagi tujuan pembaharuan lesen pula pengguna boleh buatnya secara manual di kaunter SSM atau secara atas talian (online) melalui ezBiz. Suka diingatkan pembaharuan lesen SSM perlu dibuat sebelum tarikh luput tempoh pendaftaran.

Untuk memperbaharui lesen melalui ezBiz, pengguna boleh pilih bahagian ‘Renewal by Owners’ kemudian mengisi butiran yang diperlukan dan lengkapkan borang Pembaharuan Pendaftaran Perniagaan (Borang A1). Akhir sekali membuat pembayaran dan tunggu pengesahan.

Andai kata pengusaha gagal memperbaharui lesen SSM selepas tamat tarikh luput, maka pendaftaran semula perlu dibuat dan jika bernasib baik nama perniagaan belum digunapakai jadi pengusaha boleh menggunakan nama tersebut semula.

Kesimpulannya, para pengusaha wajib untuk mendaftar dan memperbaharui lesen SSM bagi memastikan perniagaan dapat beroperasi secara sah di sisi undang-undang. Pendaftaran ini hanya sekali seumur hidup dan perlu diperbaharui apabila tamat tempoh.

Sebagai pengusaha yang cemerlang, anda dinasihatkan untuk segara memperbaharui lesen SSM jika menghampiri tarikh luput. Sebarang kegagalan pematuhan boleh menyebabkan anda didenda atau dipenjarakan jika disabit kesalahan.

Tips HR

Tips Urus Pekerja Introvert

Zahin ByondZahin ByondMarch 25, 2024

Leave a Reply