Setiap individu yang bekerja di Malaysia akan dikenakan cukai pendapatan, di mana hasil kutipan cukai yang diperolehi itu akan digunakan untuk membantu membiayai pembangunan negara bagi kegunaan rakyat.
Menurut syarat yang digariskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN), jika anda menerima gaji sebanyak RM34,000 setahun atau lebih kurang RM2,833.33 sebulan selepas potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), maka anda perlu membayar cukai pendapatan.
Syarat tersebut turut diguna pakai terhadap individu yang bekerja sebagai freelancer atau perniaga yang berpendapatan mencecah RM34,000 setahun. Perkara ini boleh dirujuk dalam Akta Cukai Pendapatan 1967 berkenaan hal-ehwal pentadbiran dan kutipan cukai pendapatan terhadap individu yang layak dikenakan cukai.
Apa itu Potongan Cukai Bulanan (PCB) dan Cara Pengiraan?
Apabila anda lihat penyata slip gaji pasti anda perasan terdapat empat jenis potongan yang akan dibuat iaitu KWSP, SOCSO, EIS dan Potongan Cukai Bulanan (PCB). PCB ialah potongan bulanan yang dikenakan terhadap gaji pekerja sebagai sebahagian daripada cukai pendapatan.
PCB ini juga diperkenalkan bagi meringankan beban pekerja yang layak untuk membayar sejumlah besar cukai sekaligus sepanjang tahun. Mudah cerita, PCB adalah cara untuk membayar cukai tahunan terlebih dahulu atau secara ansuran.
Syarat yang ditetapkan oleh LHDN bagi individu yang layak dikenakan PCB adalah:
- Individu Bujang berpendapatan RM2,851 ke atas selepas potongan KWSP
- Individu Sudah Berkahwin dan Pasangan Tidak Bekerja berpendapatan RM3,851 selepas potongan KWSP
Sungguhpun begitu, setiap individu dinasihatkan untuk melengkapkan penyata cukai secara atas talian (e-filing) terlebih dahulu, bagi mengenal pasti sama ada terdapat lebihan bayaran atau bayaran cukai tidak mencukupi sebelum membuat potongan PCB.
Mekanisme potongan PCB ini akan diuruskan oleh majikan setiap bulan selepas mengambil kira beberapa syarat yang dikeluarkan LHDN iaitu status pekerjaan pasangan pekerja, bilangan anak dan tanggungan pekerja, caruman KWSP pekerja serta potongan-potongan cukai lain oleh pekerja.
Di sini majikan akan mengira pendapatan bercukai tahunan pekerja dengan menolak sebarang potongan atau pelepasan yang layak diterima daripada jumlah pendapatan tahunan. Jumlah cukai tahunan itu akan dikira mengikut kadar cukai tahun cukai semasa dan dibahagikan dengan 12 untuk dapat kadar bulanan bagi potongan PCB yang perlu dijelaskan.
Apa itu sistem e-CP39,e-PCB dan e-Data PCB?
Bagi majikan yang tidak mempunyai sistem penggajian berkomputer, sebarang mengiraan dan semakan PCB boleh dibuat secara dalam talian melalui aplikasi web e-PCB. Penggunaan sistem ini juga dapat membantu majikan untuk menyimpan maklumat pekerja, saraan, potongan dan rebat.
Pengenalan e-PCB ini bukan sahaja dapat menjimatkan masa majikan untuk mengira PCB pekerja setiap bulan, malah dapat memastikan PCB yang dikira tepat dan betul. Ikuti ringkasan sistem e-PCB di bawah untuk lebih kefahaman.
- e-PCB – sistem atas talian untuk majikan yang tidak memiliki sistem penggajian berkomputer untuk menyimpan maklumat dan pembayaran PCB pekerja, mengira PCB dengan tepat dan mengemukakan data bayaran PCB.
- eCP39 – sistem atas talian untuk majikan yang tidak memiliki sistem penggajian berkomputer untuk menghantar dan membayar data PCB.
- e-Data PCB – sistem atas talian untuk majikan yang memiliki sistem penggajian berkomputer yang membolehkan majikan menyemak format dan muat naik fail teks CP39 yang lengkap.
Perbezaan CP38 dan CP39
Setakat ini jelas bahawa CP39 merujuk kepada penyata PCB yang setiap majikan perlu kemukakan kepada LHDN setiap 15th haribulan setiap bulan. Berkuat kuasa pada 1 September 2019, segala penyata CP39 perlu dibuat secara atas talian melalui e-PCB, e-Data PCB dan e-PCB39.
CP38 pula merujuk kepada potongan cukai tambahan yang dikeluarkan oleh LHDN, dan majikan perlu membuat potongan tambahan dalam bentuk ansuran bulanan daripada gaji pekerja mereka. Ia biasanya dikenakan untuk tujuan menyelesaikan cukai pendapatan yang belum dibayar pada tahun cukai sebelumnya.
Suka untuk diingatkan CP38 hanya dikenakan selepas LHDN mengeluarkan arahan kepada majikan untuk melaksanakan potongan pada jumlah tertentu bagi bulan-bulan tertentu, dan bagi mengimbangi cukai pendapatan yang masih belum dibayar. Sebarang makluman berkenaan cukai pendapatan boleh rujuk laman web LHDN untuk lebih kecerahan.
Sebagai rakyat yang layak dan bertanggungjawab, anda perlulah melaksanakan pembayaran cukai pendapatan ini kerana hasilnya akan kembali semula kepada anda dalam bentuk pembaharuan infrastruktur. Jika anda masih belum lagi membuat penyata cukai maka cepatlah berbuat sedemikian agar urusan pembayaran PCB anda berjalan lancar.