Skip to main content

Cukai pendapatan adalah salah satu komponen terbesar yang menyumbang kepada kewangan kerajaan. Iaitu daripada 50% hasil kutipan cukai diperolehi setiap tahun membantu dalam membiayai pembangunan negara demi memastikan kesejahteraan rakyat.

Potongan Cukai Bulanan atau lebih dikenali sebagai PCB ialah jumlah yang dipotong daripada gaji pekerja setiap bulan. Kutipan cukai dibayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk tujuan membayar cukai pendapatan pekerja. Namun PCB hanya dikenakan bagi pekerja yang layak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan LHDN.

Sistem Potongan Cukai Bulanan secara dalam talian atau e-PCB adalah sistem yang disediakan berasaskan aplikasi web bagi membantu majikan yang tidak mempunyai sistem penggajian berkomputer untuk mengira dan menyemak PCB.

Selain itu juga, dengan menggunakan sistem ini di dalam syarikat atau organisasi dapat membantu majikan untuk menyimpan maklumat pekerja, saraan, potongan mahupun rebat.

PCB yang telah dibayar dan membolehkan majikan menghantar data bayaran PCB secara dalam talian (online) kepada LHDNM. Penggunaan e-PCB akan menjimatkan masa kepada majikan untuk mengira PCB pada setiap bulan dan memastikan PCB yang dikira adalah betul dan tepat. Sistem e-PCB boleh diakses melalui secara dalam talian.

1) Sistem e-CP39

Sistem e-CP39 merupakan satu kaedah terkini bagi majikan menghantar data Potongan Cukai Bulanan (PCB) pekerja dan membayar secara dalam talian. Bagi pengguna secara berdaftar, pengguna perlu mendaftar ID Pengguna dan Kata Laluan sebelum log masuk sistem e-CP39.

2) Sistem e-PCB

Sistem ini disediakan untuk kegunaan majikan yang tidak mempunyai sistem penggajian berkomputer bagi tujuan seperti berikut:

  • Menyimpan maklumat pekerja dan bayaran PCB/CP38.
  • Memastikan PCB yang dikira betul dan tepat.
  • Mengemukakan data bayaran PCB/CP38 secara dalam talian.

3) Sistem e-Data PCB

Sistem e-Data PCB tersedia untuk majikan menyemak format dan memuat naik fail teks CP39 secara atas talian. Sistem ini membantu majikan menyerahkan data yang memenuhi spesifikasi yang telah ditetapkan.

Pembayaran FPX

Bagi pengguna e-Data PCB boleh memilih untuk membuat bayaran secara dalam talian, menggunakan perkhidmatan FPX atau secara terus di bank terpilih.

  •  Tarikh terima bayaran adalah tarikh bayaran dibuat melalui FPX.
  •  Slip pengesahan bank merupakan resit pembayaran oleh majikan.

Apakah perbezaan sistem e-CP39, e-PCB dan e-Data PCB?

Berikut adalah perbezaan ketiga-tiga sistem tersebut:

  • e-PCB adalah untuk kegunaan majikan yang tidak mempunyai sistem penggajian berkomputer. Majikan perlu mendaftar sebagai pengguna untuk membolehkan majikan menyimpan maklumat pekerja, mengira PCB, menghantar data PCB pekerja dan membuat bayaran sama ada melalui dalam talian atau di kaunter bayaran bank yang terpilih.
  • e-Data PCB adalah untuk kegunaan majikan yang mempunyai sistem penggajian berkomputer. Majikan perlu mendaftar sebagai pengguna untuk membolehkan majikan menyemak format dan memuat naik fail teks CP39 secara dalam talian (online).
  • Sistem ini membantu majikan menghantar data PCB pekerja mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan membuat bayaran. Majikan boleh membuat bayaran sama ada melalui dalam talian atau di kaunter bayaran bank terpilih.
  • e-CP39 adalah untuk kegunaan majikan yang tidak mempunyai system penggajian berkomputer. Majikan mempunyai pilihan untuk log masuk dalam sistem sebagai pengguna berdaftar atau tidak berdaftar.
  • Pengiraan amaun PCB boleh dibuat melalui Jadual PCB, e Jadual atau Kalkulator PCB. Majikan boleh membuat bayaran sama ada melalui dalam talian atau di kaunter bayaran bank.

Di manakah pembayaran boleh dilakukan sekiranya menggunakan eCP39?

Bayaran boleh dilakukan di kaunter bank dengan menggunakan Nombor Akaun CP39/PCB yang dijana semasa pengesahan data dalam sistem e CP39.

1. Financial Process Exchange (FPX) di Portal Rasmi LHDNM (ezHASIL)

  • Melalui sistem e-CP39.

2. Internet banking

  • CIMB Bank Berhad
  • Selain CIMB Bank (IBG/RENTAS/Telegraphic Transfer(TT)/Pindahan Tunai)

3. Kaunter Bank atau Automated Teller Machine (ATM)

  • CIMB Bank Berhad – Tunai Sahaja
  • Selain CIMB Bank (IBG/RENTAS/Telegraphic Transfer(TT)/Pindahan Tunai)

4. Kiosk penerimaan cek (cheque deposit machine), dan mesin bayaran tunai

  • (Cash deposit machine) di rangkaian bank CIMB sahaja.
  • (Sila pastikan Nombor Akaun PCB (14 digit) ditulis di belakang cek sebelum dimasukkan ke dalam kiosk penerimaan cek)

Siapa yang perlu menggunakan e-PCB dan e-CP39?

Semua pendapatan yang diperoleh di Malaysia tidak kira sama ada bekerja sendiri atau pekerja yang makan gaji dan komisen, tetap boleh dikenakan cukai. Cukai ataupun bahasa barat yang kita panggil sebagai “tax” dibayar ke pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Undang-undang yang berkuat kuasa sejak tahun 2015 menyatakan bahawa individu yang bekerja di Malaysia dan memperoleh pendapatan gaji tahunan sebanyak RM34,000 (selepas potongan KWSP) perlu memfailkan cukai pendapatan.

Manakala sistem e-PCB dan e-CP39 yang diperkenalkan ini sangat sesuai digunakan oleh majikan yang tidak mempunyai sistem penggajian berkomputer dan sebelum ini hanya mengemukakan borang secara manual serta membuat bayaran potongan cukai bulanan di kaunter pusat bayaran LHDNM, melalui pos atau pun khidmat kurier.

Dengan beralih kepada sistem pembayaran cukai secara dalam talian, ianya dapat menguruskan cukai dengan lebih sistematik dan teratur serta boleh di akses di mana-mana sahaja.

Bagaimana untuk memfailkan cukai individu secara dalam talian?

Pertama sekali, bagi individu yang layak membayar cukai pendapatan perlu tahu adalah tarikh akhir penyerahan untuk Pulangan Cukai Pendapatan:

  • Individu tanpa sumber perniagaan: Pada atau sebelum 30 April setiap tahun
  • Individu yang mempunyai sumber perniagaan: Pada atau sebelum 30 Jun setiap tahun

Kemudian, terdapat beberapa perkara yang perlu disediakan terlebih dahulu:

  • Nombor Rujukan Cukai Pendapatan (SGXXXXXXX)
  • PIN e-Filing

Anda boleh mengunjungi pejabat LHDN berhampiran untuk memohon kedua-duanya. MySyarikat juga sedia membantu dan membimbing anda.

Pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan lebih lancar hasil daripada kutipan cukai. Ianya juga membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup terutama bagi mereka yang terkesan kerana kehilangan punca pendapatan secara tiba-tiba.

Sehubungan itu, cukai pendapatan bukan sahaja amalan berkongsi rezeki. Tetapi juga pembayar cukai berjaya menjalankan tanggungjawab dan melaporkan pendapatan tahunan secara telus.

Leave a Reply