Skip to main content

Sektor pekerja di Malaysia ada dua jenis iaitu sektor awam dan sektor swasta. Malah, setiap daripada sektor ini ada stereotaip tersendiri yang melekat dalam minda separa sedar masyarat kita.

Ada setengah anggap sektor awam ini kerjanya lebih ‘rileks’, manakala sektor swasta pula tawarkan lebih banyak faedah yang ‘komprehensif’. Tidak kira walau di mana sektor anda bekerja pasti ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Jika sebelum ini MySyarikat pernah kongsikan tentang faedah imbuhan yang sering syarikat di Malaysia tawarkan, kali ini kita akan sentuh bab faedah ‘asas’ yang kebanyakan syarikat beri kepada pekerja.

Sebelum pergi lebih jauh tentang faedah ‘asas’ yang kebanyakan syarikat beri kepada pekerja, penting untuk diingatkan yang setiap syarikat ada polisi tersendiri dan penawaran faedah yang berbeza-beza untuk pekerja.

Jika syarikat anda tidak tawarkan faedah yang sama, ini tidak bermakna majikan anda tidak bagus. Segala faedah bergantung kepada kemampuan yang boleh diberikan syarikat untuk keselesaan pekerja.

Faedah Asas Syarikat di Malaysia Tawarkan

Secara definisi faedah kerja adalah kelebihan atau pampasan yang layak pekerja terima, selain daripada gaji bila bekerja di sebuah syarikat. Ia boleh diberikan dalam pelbagai bentuk sama ada imbuhan wang atau manfaat lain yang berkaitan kerja.

Bila dilihat pada Akta Kerja 1955 pula faedah yang layak pekerja terima dan WAJIB syarikat berikan adalah,

  • Cuti Tahunan
  • Cuti Umum
  • Cuti Bersalin
  • Cuti Sakit dan Hospitalisasi
  • Faedah Pemberhentian Kerja

Walaupun tidak dinyatakan faedah lain, majikan digalakkan beri lebih banyak faedah yang melebihi apa yang digariskan dalam Akta Kerja 1955. Antara bentuk faedah lain yang sering syarikat di Malaysia tawarkan adalah seperti berikut:

1. Insurans Kesihatan

Faedah insurans kesihatan adalah penawaran standard yang kebanyakan syarikat berikan, tidak kira sama ada di sektor awam atau swasta. Ia adalah lanjutan daripada faedah Cuti Sakit dan Hospitalisasi yang memudahkan pekerja ketika sakit.

Bila pekerja jatuh sakit atau terlibat dalam kemalangan sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital, syarikat yang tawarkan insurans kesihatan kepada pekerjanya akan menanggung sebahagian daripada kos hospitalisasi itu. Senang cerita syarikat ‘cover insurans hospital pekerja’.

2. Waktu Kerja Fleksibel

Kelebihan waktu kerja felksibel telah digariskan dalam pindaan 2022 Akta Kerja 1955. Di bawahnya pekerja boleh buat permohonan kepada majikan untuk tukar waktu kerja; tempat kerja; dan hari bekerja. Rujukan lanjut boleh dibuat pada aturan kerja fleksibel.

Malah, sebelum pindaan akta dibuat ada sesetangah syarikat di Malaysia sudah mengamalkan aturan kerja feksibel seperti membenarkan bekerja dari rumah selang minggu atau stu minggu dalam sebulan.

3. Perbelanjaan Makanan

Untung jika syarikat anda sediakan makanan tengahhari. Faedah ini mungkin bukan semua syarikat amalkan tapi antara yang paling diminati pekerja kerana dapat jimat duit perbelanjaan pekerja.

Seperti yang dinyatakan di atas, ia bergantung kepada syarikat. Jika syarikat anda ada peruntukan untuk sediakan makanan maka baguslah, tetapi jika tidak ia bukan bermakna syarikat anda tidak bagus. Pasti ada faedah lain yang ditawarkan.

4. Elaun Perjalanan dan Pengangkutan Awam

Elaun perjalanan dan pengangkutan awam adalah inisiatif kepada pekerja yang disediakan majikan untuk kemudahan datang ke tempat kerja. Biasannya di Malaysia elaun perjalanan diberikan ketika pekerja pergi outstation.

Elaun pengangkutan awam pula biasanya diberi untuk kemudahan pekerja yang datang ke tempat kerja menggunakan pengangkutan awam. Kata kunci di sini adalah datang ke tempat kerja, jadi tidak boleh claim kalau anda gunakan untuk tujuan lain.

5. Kursus Latihan

Kursus latihan juga adalah satu bentuk inisiatif kepada pekerja oleh majikan untuk menambah kemahiran kerja. Biasannya pekerja akan di hantar untuk mengasah kemahiran atau untuk dapatkan skill tertentu bagi manfaat syarikat.

Norma di Malaysia pekerja dalam industri perkhidmatan makanan selalunya akan dihantar ke kursus latihan bagi dapatkan sijil tertentu untuk membolehkan pekerja terus bekerja dalam bidangnya dengan kemahiran yang diperlukan.

6. Bonus Tahunan

Penerangan tentang bonus ini pernah dibuat dulu. Bonus tahunan adalah sebahagian ganjaran kepada pekerja sebagai pembakar semangat atau hadiah atas prestasi kerja yang memberangsangkan.

Tanpa kira sektor swasta atau awam, bonus tahunan selalu diberi oleh majikan dalam bentuk sebulan gaji pekerja sama ada pada hujung tahun atau pada awal tahun bergantung keuntungan yang diperoleh.

7. Kenaikan Pangkat 

Peluang kenaikan pangkat merupakan faedah yang sering menjadi keutaman pekerja. Apabila sudah lama bekerja pasti anda mahu dinaikkan jawatan ke peringkat yang lebih tinggi, seterusnya gaji juga akan dinaikkan.

Bergantung kepada pengalaman dan sektor, anda boleh naik pangkat dalam masa yang singkat atau selepas berjaya melaksanakan ujian pernilaian syarikat.

Inilah antara faedah-faedah asal lain yang selalunya ditawarkan oleh syarikat di Malaysia. Tentunya pekerja sektor swasta menerima faedah asas KWSP, PERKESO dan EIS yang memang sudah jadi kewajipan.

Sekali lagi tanpa mengira mana-mana sektor anda bekerja, faedah yang ditawarkan ini berbeza mengikut syarikat dan tanpa mengira faedah yang diterima anda seharusnya bekerja dengan ikhlas untuk peroleh rezeki.

Leave a Reply