Topik berkaitan had umur bekerja di Malaysia sering menjadi tanda tanya, terutama bagi majikan, ibu bapa, dan anak muda yang mula memasuki alam pekerjaan. Bolehkah remaja boleh bekerja sambilan? Bila seseorang itu dianggap layak bekerja secara sah di sisi undang-undang?
Memahami had umur minimum bekerja adalah penting untuk memastikan pematuhan undang-undang dan melindungi golongan pekerja bawah umur daripada eksploitasi. Artikel ini akan membincangkan secara terperinci definisi umur mengikut akta berkaitan, had umur minimum, serta serta peraturan khas yang terpakai kepada kanak-kanak dan orang muda dalam bidang pekerjaan.
Definisi ‘Kanak-Kanak’ dan ‘Orang Muda’ di Bawah Undang-Undang
Bagi menjawab persoalan berapa umur minimum seseorang boleh bekerja secara sah, kita perlu merujuk kepada Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) atau lebih dikenali sebagai Children and Young Persons (Employment) Act 1966 (CAYPEA), yang telah dipinda pada tahun 2019.
Di bawah akta ini, ia telah menetapkan tiga kategori utama mengikut umur:
- Kanak-kanak: Individu yang berumur di bawah 15 tahun.
- Orang muda: Individu yang berumur 15 tahun hingga bawah 18 tahun.
- Dewasa: Individu berumur 18 tahun ke atas.
Perbezaan kategori ini penting kerana setiap kumpulan umur dikenakan peraturan dan sekatan kerja yang berbeza, terutama sekali untuk pekerja bawah umur.
Had Umur Minimum untuk Bekerja di Malaysia
Kanak-Kanak (bawah 15 Tahun)
Secara umumnya, kanak-kanak di bawah umur 15 tahun tidak dibenarkan bekerja. Namun, terdapat pengecualian khas untuk kanak-kanak berumur 13 tahun ke atas, tertakluk kepada syarat-syarat ketat. Mereka hanya dibenarkan menjalankan kerja ringan yang tidak memudaratkan kesihatan, keselamatan, atau perkembangan moral dan pendidikan mereka.
Antara syarat yang dikenakan:
- Bekerja tidak melebihi 6 jam sehari.
- Tidak dibenarkan bekerja pada waktu malam.
- Tidak bekerja lebih dari 3 jam berturut-turut tanpa waktu rehat.
Peraturan ini diwujudkan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak sentiasa terpelihara, walaupun dalam pekerjaan yang dianggap ringan.
Orang Muda (15 hingga <18 Tahun)
Golongan ini dibenarkan untuk bekerja secara lebih terbuka berbanding kanak-kanak, namun masih tertakluk kepada had masa kerja tertentu.
Antaranya:
- Tidak dibenarkan bekerja antara jam 8 malam hingga 6 pagi.
- Dikecualikan sekiranya bekerja dalam sektor seperti hiburan awam atau pertanian, tertakluk kepada kelulusan dan pengawasan yang sewajarnya.
Peraturan ini bertujuan melindungi orang muda daripada beban kerja berlebihan dan gangguan terhadap pendidikan atau pembangunan sosial mereka.
Dewasa (18 Tahun ke Atas)
Individu yang berumur 18 tahun dan ke atas dianggap sebagai dewasa dalam konteks pekerjaan di Malaysia. Mereka dibolehkan bekerja tanpa sekatan waktu khas seperti yang dikenakan terhadap kanak-kanak dan orang muda.
Bagi sektor kerajaan, umur minimum pelantikan secara rasmi ialah 18 tahun. Ini bermaksud individu yang berumur 18 tahun sudah layak memohon jawatan tetap dalam sektor perkhidmatan awam.
Had Umur Maksimum dan Persaraan di Malaysia
Di Malaysia, umur persaraan minimum telah ditetapkan pada 60 tahun, selaras dengan Akta Umur Persaraan Minimum 2012 (Akta 753). Ini bermaksud, seseorang pekerja dalam sektor awam mahupun swasta tidak boleh dipaksa bersara sebelum mencecah usia 60 tahun, kecuali jika terdapat klausa kontrak pekerjaan yang memperuntukkan persaraan awal secara sukarela atau melalui persetujuan bersama.
Walaupun 60 tahun merupakan umur persaraan rasmi, undang-undang di Malaysia tidak menetapkan had umur maksimum bekerja. Ini bermakna, seseorang masih boleh terus bekerja selepas usia 60 tahun sekiranya mereka sihat, berdaya saing, dan majikan masih memerlukan khidmat mereka.
Malah, pekerja dalam kategori ini masih layak menerima perlindungan di bawah Skim Bencana Kerja PERKESO, memberikan perlindungan sosial yang asas walaupun selepas bersara secara rasmi.
Baca juga: Kemas Kini Umur Persaraan Negara
Sebagai kesimpulan, had umur bekerja di Malaysia bergantung kepada kategori umur dengan sekatan ketat untuk kanak-kanak dan orang muda, serta kelonggaran yang lebih besar untuk golongan dewasa dan warga emas.
Bagi majikan, penting untuk memahami garis panduan undang-undang ini supaya tidak melanggar peraturan dan mengelakkan implikasi undang-undang. Sementara itu, pekerja muda dan ibu bapa juga perlu peka terhadap syarat kerja yang dibenarkan agar hak dan keselamatan tidak terabai.
Kesedaran terhadap had umur minimum dan maksimum bekerja bukan sahaja memelihara kebajikan pekerja, tetapi turut mencerminkan komitmen majikan terhadap prinsip keadilan sosial dan pematuhan terhadap undang-undang pekerjaan negara.
Pengurusan Pekerja Boleh Jadi Mencabar Tanpa MySyarikat!
Sebagai majikan, menguruskan pelbagai jenis pekerja boleh menjadi tugas yang rumit. Tanpa sistem yang teratur, risiko salah pengiraan, rekod bercelaru, atau ketidakpatuhan terhadap polisi adalah tinggi.
Perkenalkan MySyarikat, sistem HRMS (Human Resource Management System) automasi yang membantu majikan:
- Mengautomasikan tugasan: Semua tugasan direkodkan secara digital untuk memudahkan semakan.
- Menguruskan pengurusan secara online: Sebarang tugasan kini boleh diakses dengan satu klik.
- Memastikan pematuhan: Sistem direka untuk mematuhi undang-undang kerja di Malaysia.
Tidak kira sama ada anda majikan SME atau syarikat besar, MySyarikat adalah penyelesaian lengkap untuk pengurusan sumber manusia anda!
Mari BOOK DEMO untuk dapatkan sistem MySyarikat sekarang!
