Tempoh hari MySyarikat ada terbitkan sebuah artikel tentang tutorial pendaftaran dan pembaharuan lesen perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Pada artikel tersebut juga telah dibincangkan berkenaan kepentingan mendaftarkan syarikat.
Jadi pada artikel kali ini pula akan dibincangkan tentang jenis-jenis syarikat yang digariskan SSM untuk mendaftar di bawahnya. Bagi rujukan lebih lanjut untuk jenis syarikat yang wajib didaftarkan dengan SMM, anda boleh layari laman rasmi SSM sendiri.
Kenali Jenis-Jenis Syarikat di Malaysia
Jika anda seorang perusaha perniagaan atau pemilik syarikat, anda mungkin sudah tahu kewajipan untuk mendaftar dengan SSM. Tujuan pendaftaran bukan sahaja untuk memastikan syarikat anda mematuhi undang-undang, tetapi bagi memastikan perniagaan anda beroperasi mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Berdasarkan kenyataan di atas ini juga bermakna perniagaan dari rumah ataupun membuat jualan but kereta (carboot sale) turut dinasihatkan untuk mendaftar dengan SSM. Kegagalan mana-mana perusaha perniagaan untuk mendaftar dengan SSM boleh dikenakan kompaun.
Sebelum masuk topik jenis-jenis perniagaan yang wajib didaftarkan seperti yang digariskan oleh SSM, mari kenali dahulu jenis entiti perniagaan yang ada di Malaysia.
- Pemilikan Tunggal
Jenis perniagaan ini adalah yang paling mudah untuk ditubuhkan, dan hanya warganegara atau penduduk tetap sahaja yang boleh mendaftarkan entiti ini. Perniagaan ini selalunya memiliki satu pemilik dan liabilitinya tidak terhad.
- Perkongsian
Jenis perniagaan ini berfokuskan 2 orang atau lebih, maksimum 20 orang pemilik terhadap entitinya. Selalunya corak perniagaan ini akan menggabungkan sumber semua pihak untuk raih keuntungan. Ia juga terbuka kepada warganegara atau penduduk tetap sahaja.
- Sendirian Berhad (Sdn Bhd)
Jenis perniagaan ini adalah entiti yang terpisah dari pemiliknya, di mana pemilik hanya bertanggungjawab terhadap jumlah pegangan yang disumbangkan kepada syarikat sahaja. Ia boleh ditubuhkan dengan minimun seorang ahli dan maksimum 50 ahli.
- Berhad Awam (Bhd)
Jenis perniagaan ini sama seperti Sdn Bhd namun saham syarikat entiti ini boleh ditawarkan kepada orang awam, dan ini bermakna ia boleh disenaraikan di Bursa Saham Malaysia. Selalunya ia memiliki minimum 2 pemegang saham dan jumlah ahli tidak terhad.
- Sendirian Tanpa Had (Sdn)
Jenis perniagaan ini menawarkan liabiliti tanpa had kepada ahli dan pemegang sahamnya. Andai berlaku kerugian atau bebanan hutang, maka ahli dan pemegang sahamnya yang perlu bertanggungjawab bersama-sama.
- Syarikat Asing
Jenis perniagaan ini bukan dimiliki oleh warganegara tetapi membuka cawangan mereka untuk beroperasi di dalam Malaysia. Ia membenarkan entiti asing menjalankan perniagaan mereka tanpa memerlukan pemiliknya mendiami sesuatu negara itu.
- Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT)
Jenis perniagaan ini adalah kombinasi antara ciri-ciri entiti perkongsian dan Sdn Bhd. Ia adalah badan korporat dan merupakan entiti undang-undang yang berasingan dari rakan kongsinya. Pemiliknya mesti 2 orang tetapi tiada jumlah maksimum untuk ahlinya.
Senarai Perniagaan Yang Wajib Daftar SSM
Kini, mari kenali jenis-jenis entiti perniagaan yang wajib didaftarkan dengan SSM. Suka dimaklumkan pendaftaran bersama SSM ini berkuatkuasa dan terpakai untuk semua jenis perniagaan di Semenanjung, manakala di Sabah dan Sarawak pula dikawal selia oleh pihak berkuasa tempatan.
Antara jenis syarikat yang perlu didaftarkan dengan SSM adalah seperti berikut:
- Pemilikan Tunggal atau Enterprise
Seperti diterangkan pada bahagian atas, pendaftaran entiti pemilikan tunggal ini tertakluk di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956. Kos pendaftaran juga adalah rendah iaitu sekitar RM30 jika menggunakan nama sendiri dan sekitar RM60 jika guna mana tred.
Antara kelebihan menubuhkan Enterprise ini adalah ia memerlukan modal kecil, proses pendaftaran yang pantas, dikenakan cukai yang rendah dan sebarang keuntungan yang diperoleh adalah milik persendirian.
- Rakan Kongsi
Dengan saiz maksimum tidak lebih 20 orang, entiti perniagaan rakan kongsi ini perlu didaftarkan dengan SSM dan ia tertakluk di bawah Akta Perkongsian 1961. Kos pendaftaran juga tidak terlalu mahal iaitu sekitar RM100 tahunan.
Kelebihan utama entiti perkongsian ini adalah ia dapat kumpul lebih banyak modal, boleh ditubuhkan dengan minimum 2 orang, memiliki sumber dari rakan kongsi lain dan cukai yang dikenakan boleh diagih bersama rakan kongsi yang lain.
- Syarikat Sendirian Berhad (Sdn Bhd)
Tertakluk di bawah Akta Syarikat 1965 dan terbaharu Akta Syarikat 2016, entiti perniagaan ini juga perlu didaftarkan dengan SSM. Hal ini kerana ia membuka ruang untuk ahlinya menjual dan membeli pegangan dalam syarikat. Anggaran kos pendaftaran sekitar RM1,000 tahunan tetapi bergantung kepada saiz perniagaan.
Jenis perniagaan ini lebih mudah untuk ditubuhkan berbanding syarikat awam berhad (Bhd), penyata kewangannya tidak perlu diumumkan kepada orang awam, jangka hayat perniagaan lebih terjamin dan sumber modal jauh lebih besar dari pemilikan tunggal.
- Perkongsian Liabiti Terhad
Penguatkuasaan pendaftaran bagi jenis entiti ini adalah yang terbaharu diperkenalkan oleh SSM pada 2012 iaitu pada Akta Perkongsian Liabiti Terhad 2012. Kos pendaftaran untuk perniagaan perkongsian liabiliti terhad ini bermula setikar RM500.
Bentuk perniagaan ini juga sesuai untuk pemula (startup) memandangkan ia tiada nilai maksimum untuk jumlah perkongsian, kos permulaan yang agak murah dan menawarkan perjanjian yang fleksibal antaran rakan kongsi yang lain.
Pilihan Jenis Perniagaan Dan Daftar Dengan SSM
Kesimpulannya, penting untuk anda kenal pasti jenis perniagaan yang dijalankan kemudian daftarkan dengan SSM segera. Ingat, pendaftaran dengan SSM ini penting bagi memastikan perniagaan anda mematuhi standard perniagaan yang ditetapkan. Kegagalan mendaftar bukan sahaja boleh dikenakan kompaun tetapi turut boleh menyebabkan perniagaan anda digantung.
Salam sejahtera.
Saya ingin bertanya, klinik swasta yang sole proprietor adakah wajib mendaftar SSM?
Ya, semua jenis perniagaan yang berjalan di Malaysia perlu mendaftar dengan SSM.