Skip to main content

Sebelum ini kami ada menyentuh bab Potongan Cukai Bulanan (PCB) dan cara pengiraan cukai tersebut.

Kami yakin anda semua pastinya sudah tahu bahawa pembayaran cukai adalah sangat penting untuk pendapatan negara, menjamin kemakmuran dan kesejahteraan kita semua sebagai rakyat Malaysia. Untuk artikel kali ini, kami dedahkan istimewa untuk anda terutamanya yang masih belum tahu tentang jenis potongan cukai dan rebat yang boleh dituntut sebagai pekerja.

Rugilah kalau dah diberi peluang tetapi tidak digunakan.

Definisi Cukai dan Rebet

Sebelum kita pergi lebih mendalam kepada jenis-jenis yang ada, adalah lebih baik untuk kita tahu maksud cukai dan rebat ini terlebih dahulu. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, cukai membawa maksud bayaran yang dikenakan ke atas orang perseorangan, manakala rebat pula potongan daripada sejumlah bayaran yang kena dibayar atau pemulangan sebahagian daripada amaun yang telah dibuat sebagai bayaran.

Jenis Potongan Cukai

Potongan cukai ini terbahagi kepada dua, iaitu Potongan Cukai Wajib dan Potongan Cukai Pilihan.

Mari kita lihat Potongan Cukai Wajib terlebih dahulu.

1. Potongan Cukai Individu

Potongan cukai jenis ini adalah berjumlah RM9,000.00 yang akan dipotong secara individu dan akan diberikan secara automatik kepada individu itu sendiri termasuklah tanggungannya.

2. Potongan Cukai Pasangan

Bagi cukai pasangan ini pula, pasangan anda akan menerima potongan RM4,000.00 dengan syarat masih hidup bersama pada tahun asas dan memenuhi syarat lain seperti berikut:

  • tidak mempunyai sumber pendapatan/jumlah pendapatan;
  • atau memilih untuk penilaian bersama.

3. Potongan Cukai Kanak-kanak

Jangan terkejut pula, anda juga berhak untuk menuntut cukai bagi anak-anak yang masih di bawah tanggungan. “Anak” yang ditakrifkan menurut Akta Cukai Pendapatan 1967 adalah, anak sah atau anak tiri yang belum berkahwin, termasuklah juga anak angkat. Jika anak-anak tersebut sudah mempunyai pendapatan sendiri dan jumlah pendapatan mereka (tidak termasuk biasiswa atau geran) melebihi jumlah potongan cukai yang layak dipotong.

Jumlah potongan cukai untuk anak-anak anda adalah berbeza mengikut yang ditetapkan akta.

  • Di bawah umur 18 tahun: Jumlah tuntutan adalah sebanyak RM2,000 setahun.
  • 18 tahun dan ke atas (bukan dalam pengajian tinggi): Setiap anak anda yang berusia 18 tahun dan ke atas yang menuntut di dalam pengajian sepenuh masa (A-level, tahun asas dan setaraf), jumlah tuntutan adalah sebanyak RM2,000 setahun.
  • 18 tahun dan ke atas (dalam pengajian tinggi): RM8,000 (diploma, ijazah sarjana muda, atau lebih tinggi di Malaysia dan di luar Malaysia).
  • Kanak-kanak kelainan upaya: Anda boleh menuntut RM6,000 setahun tanpa mengira usia, manakala untuk yang mengikuti pengajian tinggi, penuntutan adalah sebanyak RM14,000 setiap tahun.

Disamping itu, sebagai ibu bapa, anda juga layak menuntut pelepasan cukai sebanyak RM2,000 jika anak-anak anda berusia enam tahun ke bawah dan dihantar ke pusat asuhan kanak-kanak atau pra-sekolah yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

4. Sumbangan Kepada KWSP

Jumlah sebanyak RM4,000 juga boleh dituntut oleh pekerja bagi pembayaran caruman KWSP. Masih ingat lagi tak tentang potongan KWSP, SOCSO yang kami dedahkan tempoh lalu? Tetapi, PERKESO tidak termasuk di dalam cukai yang wajib dipotong ya.

5. Orang Kelainan Upaya

Jumlah pelepasan cukai adalah sama seperti jumlah potongan ke atas kanak-kanak kelainan upaya, iaitu sebanyak RM6,000 setiap tahun.

6. Pasangan Kurang Upaya

Potongan tambahan sebanyak RM3,500 diberikan kepada individu yang tinggal bersama pasangan kelainan upaya.

Potongan Cukai Pilihan

Kalau tadi kita senaraikan jenis potongan cukai yang wajib ke atas pekerja, sekarang jom kita lihat pula cukai yang boleh dipilih oleh para pekerja.

1. Rawatan Perubatan, Keperluan Khas, atau Perbelanjaan Penjagaan Ibu Bapa

Potongan cukai adalah terhad kepada RM5,000 pada tahun asas untuk rawatan perubatan, keperluan khas, atau perbelanjaan penjagaan ibu bapa. Antara perbelanjaan perubatan yang layak untuk potongan adalah:

  • penjagaan dan perubatan serta rawatan yang disediakan oleh rumah penjagaan; dan
  • rawatan pergigian seperti rawatan cabut gigi, pengisian gigi (filling), scaling dan pembersihan gigi tetapi tidak termasuk rawatan pergigian kosmetik.

Ibu bapa mestilah merupakan pemastautin di Malaysia dan tuntutan hanya boleh disokong oleh peramal perubatan bertauliah yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia dengan menyatakan keadaan ibu bapa memerlukan rawatan perubatan atau keperluan khas atau penjaga (dibuktikan dengan pensijilan bertulis, resit, atau salinan permit kerja penjaga – penjaga tidak termasuk individu tersebut, suami, isteri atau anak individu tersebut).

2. Penjagaan Ibu Bapa

Potongan adalah sebanyak RM1,500 untuk setiap ibu atau bapa (jumlah RM3,000 untuk kedua-duanya sekali) tertakluk kepada beberapa syarat:

  • pembayar cukai tidak menuntut perbelanjaan dan perawatan ibu atau bapa;
  • ibu dan bapa adalah pemastautin yang berumur 60 tahun ke atas;
  • ibu bapa mempunyai pendapatan tahunan tidak lebih RM24,000 setiap tahun;
  • ibu bapa yang sah atau ibu bapa angkat yang sah mengikut undang-undang dengan maksimum 2 orang; dan
  • boleh dikongsi bersama adik-beradik lain tetapi jumlah pelepasan yang dituntut tidak boleh melebihi RM1,500 untuk setiap ibu bapa.

3. Peralatan Bantuan Asas

Dalam tahun asas, tuntutan peralatan sokongan termasuklah mesin hemodialisis, kerusi roda, kaki buatan, dan alat pendengaran (tidak termasuk kanta optik dan cermin mata) boleh dipotong sebanyak RM6,000 sama ada untuk kegunaan sendiri (jika individu tersebut adalah orang kelainan upaya), anak, ibu atau bapa, dan suami/isteri.

4. Yuran Pengajian Tinggi (Individu)

Bagi mana-mana kursus pengajian di institusi atau badan profesional di Malaysia yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia atau diluluskan oleh Menteri Kewangan untuk tujuan meningkatkan kemahiran atau kelayakan individu, bayaran yuran tahunan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM7,000.

5. Perbelanjaan Perubatan Terhadap Penyakit Serius

Penyakit yang termasuk di dalam tuntutan adalah rawatan sindrom kekurangan daya tahan tubuh (AIDS), Parkinson, kanser, kegagalan buah pinggang, leukemia, serangan jantung, hipertensi pulmonari, penyakit hati kronik, hepatitis virus fulminan, trauma kepala dengan defisit neurologi, tumor otak atau kecacatan vaskular, luka bakar major, pemindahan organ utama atau amputasi utama anggota badan. Jumlah yang boleh dicukaikan ke atas diri sendiri, anak atau suami/isteri adalah sebanyak RM6,000 (maksimum).

6. Pemeriksaan Perubatan Lengkap

Cukai yang boleh ditolak adalah sebanyak RM500 sahaja setiap tahun (maksimum). Amaun ini boleh ditolak untuk diri sendiri, suami/isteri atau anak. Jika anda telah menolak sebanyak RM5,900 untuk perbelanjaan perubatan terhadap penyakit serius sebelum ini (rujuk penulisan atas ini), anda hanya boleh menuntut sebanyak RM100 untuk pemeriksaan lengkap.

7. Jumlah Deposit Dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)

Potongan ini maksimum RM8,000 setahun untuk pendidikan anak-anak dan terhad kepada jumlah bersih yang didepositkan sahaja.

Rebat Cukai, Rebat Zakat, dan Rebat Individu Berpendapatan Kurang RM35,000

Rebat cukai tidak seperti potongan cukai yang diproses melalui pendapatan bercukai anda, malah rebat cukai hanyalah pengurangan dalam jumlah cukai yang anda bayar selepas pengiraan cukai tahunan anda.

Manakala rebat zakat boleh ditolak dari imbuhan pekerja dengan syarat-syarat tertentu.

Bagi kategori terakhir ini pula iaitu, rebat bagi individu berpendapatan bercukai kurang RM35,000, individu tersebut layak menerima rebat sebanyak RM400 dengan tambahan sebanyak RM400 lagi sekiranya pasangan tiada sumber pendapatan atau dinilai bersama.

Uruskan Kiraan Cukai Di MySyarikat

Sekarang mesti anda dah faham tentang cukai yang wajib di tolak dan cukai yang anda boleh membuat pilihan sama ada ditolak atau tidak. Sebagai tambahan informasi untuk anda, senarai cukai pilihan yang telah kami nyatakan di atas tidak meliputi semua jenis yang terdapat di dalam akta. Anda boleh ikuti kami untuk maklumat lanjut mengenai cukai ini pada penulisan yang akan datang.

Sekiranya anda merupakan seorang majikan yang masih menguruskan penolakan cukai dan sebagainya secara manual, anda amat dialu-alukan oleh MySyarikat untuk melanggan servis dan khidmat kami yang semestinya memberi kepuasan maksimum untuk sistem syarikat anda.

Jom daftar dengan MySyarikat sekarang!

Leave a Reply