Antara pengenalan awal kepada alam pekerjaan bagi kebanyakan individu adalah semasa melakukan latihan industri (internship). Walaupun tempoh melakukan internship pendek, tetapi ia sangat bermakna dalam memberi pendedahan kepada bakal pekerja.
Bagi sesiapa yang pernah baca artikel hak-hak pelajar internship sebelum ini pasti sedia maklum bahawa pelatih latihan industri (intern) tidak dianggap sebagai pekerja. Ini secara tidak langsung bermakna mereka tidak layak terima faedah yang digariskan dalam Akta Kerja 1955.
Jadi jika intern tidak dianggap sebagai pekerja, maka tiada relevan untuk mereka lakukan internship, bukan? Mari pihak MySyarikat menjawab persoalan itu dengan menerangkan sebab internship diperkenalkan dan manfaatnya kepada tenaga kerja negara pada artikel kali ini.
Tujuan Internship Diperkenalkan
Sama ada anda memanggilnya latihan industri atau internship atau praktikal, ia tetap merujuk kepada satu definisi yang sama iaitu tempoh seorang graduan menjalankan tugasan kerja sementara dalam sektor pekerjaan kompetatif.
Bagi konteks syarikat internship juga boleh didefinisikan sebagai mana-mana program rasmi atau formal yang memberikan pengalaman secara praktikal (hands-on) kepada bakal pekerja sebelum menceburinya secara profesional.
Durasi, lokasi, waktu dan sektor untuk lakukan internship ini berbeza mengikut syarat yang ditetapkan pihak universiti serta perjanjiannya dengan pembekal tempat latihan (turut disebut sebagai syarikat).
Antara sebab utama internship ini diperkenalkan kepada adalah:
- Pendedahan dan pengalaman
Pada saat ini anda mungkin sudah lali dengan penggunaan perkataan ‘pendedahan’ dan ‘pengalaman’ apabila menyebut tentang internship. Tetapi realitinya 2 perkara tersebut merupakan sebab utama ia diperkenalkan.
Maksud pendedahan di sini adalah memberi peluang kepada bakal pekerja lihat sendiri bagaimana alam pekerjaan berfungsi dan pengalaman pula bagi mengajar pelajar cara menghadapai cabaran industri yang sebenar.
- Kenal pasti kerjaya yang dipilih
Apabila melakukan sesuatu secara hands on, ia memberikan anda idea lebih jelas tentang sesuatu perkara ini. Melaluinya juga anda dapat belajar cara berinteraksi dengan masalah yang timbul dan apa yang diperlukan untuk berjaya.
Jadi melalui internship ia dapat membantu bakal pekerja lebih memahami laluan kerjaya yang dipilih. Berbeza dengan tempoh percubaan (probation period), ketika melakukan intenrship pelajar masih boleh pilih untuk tugas bidang kerja selepas habis jalani program.
- Menguji teori melalui praktial
Sama berkait dengan penerangan di atas, apa yang dipelajari melalui syarahan dan buku sangat berbeza dengan situasi dunia sebenar. Bayangkan anda memiliki ilmu tetapi tidak pernah diamalkan, apabila terjadi sesuatu pasti mudah mendatangkan panik.
Oleh itu, internship ini menjadi medan penting yang dapat membantu pekerja menguji teori-teori yang dipelajari. Melaluinya juga bakal pekerja akan dapat lebih memahami ilmu yang dipelajari dan menyesuaikannya mengikut kemampuan diri.
- Menambah kredit calon pekerja
Dalam industri kerja semasa pengalaman adalah perkara pertama yang dilihat para majikan berbanding ilmu. Apabila calon pekerja memiliki pengalaman ia dapat meningkatkan kelayakan calon untuk dipilih bekerja.
Selain itu, internship juga berfungsi untuk calon pekerja mengembangkan kemahiran tambahan untuk dimasukan ke dalam resume. Memiliki senarai kemahiran yang luas dapat membantu tinggatkan kebolehpekerjaan calon.
Manfaat Internship Kepada Kerjaya
Tentunya, terdapat banyak manfaat melalukan internship ini selain yang dinyatakan pada penerangan di atas. Antara manfaat melalukan internship secara dasarnya adalah seperti berikut:
- Membina Keyakinan Diri
Salah satu manfaat internship yang sering terlepas pandang adalah ia dapat membina keyakinan diri kepada calon pekerja. diperolehi melalui pendedahan kepada dunia sebenar apabila bercampur dengan lebih ramai orang-orang profesional yang dapat bantu anda lebih memahami cara tugasan kerja itu dibuat.
- Tingkatkan Kemahiran Komunikasi
Apabila bercampur dengan mereka yang profesional, calon pekerja akan dapat belajar cara berkomunikasi yang betul. Perlu diingatkan bahawa dunia pekerja memiliki ‘bahasa korporat’ yang dituturkan dan anda boleh belajarnya melalui pengalaman internship.
- Kembangkan Peluang Rangkaian (Networking)
Mungkin salah satu manfaat utama melakukan internship adalah peluang untuk mengembangkan network kerja anda. Semakin banyak pendedahan seseorang itu kepada alam pekerja sebenar, semakin tinggi rangkaian kenalan yang diperolehi dan seterusnya menambah network sedia ada.
- Mengajar Sifat Profesionalisme
Seperti dinyatakan pada awal tadi dunia pekerjaan adalah satu medan yang berbeza dan ia penuh dengan profesionalisme. Melalui internship ia dapat membantu calon pekerja kenal pasti dan megajar sifat profesionalisme kepada diri sebagai persediaan sebelum tempuhi alam pekerjaan sebenar.
- Memupuk Semangat Kerja
Manfaat terbesar dalam melakukan internship tentunya ia dapat memupuk semangat kerja dalam jiwa. Apabila anda ingin mendalami sesuatu perkara sementinya melalui pengenalan, maka internship menawarkan peluang untuk anda kenali laluan kerja yang dipilih dan seterusnya membuatkan anda lebih bermotivasi untuk mula bekerja.
Kelebihan Internship Kepada Majikan
Pastinya internship ini tidak hanya memberi manfaat kepada pelajar atau calon pekerja semata-mata. Ia juga dapat memberi banyak faedah kepada syarikat apabila ada mereka yang melakukan internship seperti:
- Tingkatkan kesedaran jenama syarikat di kalanagan komuniti tempatan
- Tingkatkan produktiviti kerja dengan intern diberi tugasan kecil yang lebih ringan
- Tingkatkan jumlah tenaga kerja syarikat tanpa perlu mengambil pekerja penuh masa
- Tingkatkan pengalaman syarikat untuk menguruskan pekerja dari pelbagai latarbelakang
Jadi secara kesimpulannya internship ini bukan sahaja bermanfaat kepada pelajar tetapi pada masa yang sama turut memberi kelebihan kepada syarikat. Walaupun internship tidak disebut dalam Akta Kerja namun ia adalah peluang baik kepada pelajar untuk mendalami dunia pekerjaan kompetatif.