Skip to main content

Setiap pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) perlu jalani latihan industri atau praktikal (internship). Ia merupakan sebahagian silibus pembelajaran dan pendedahan awal kepada sesetengah individu berkenaan alam pekerjaan.

Namun, tular awal tahun ini apabila sebuah syarikat pertikai keperluan membayar gaji kepada pelajar praktikal. Malah, syarikat itu turut mencadangkan pelajar yang sepatutnya bayar kepada syarikat kerana beri tempat untuk timba pengalaman.

Persoalannya kini adakah pelajar yang membuat praktikal tidak dilindungi Akta Kerja 1955? Dan apakah keperluan membayar gaji kepada pelajar yang membuat praktikal?

Pelajar Praktikal dan Akta Kerja 1955

Secara asasnya, pelajar praktikal TIDAK disebut dalam Akta Kerja 1955 kerana pelatih industri tidak dikategorikan sebagai ‘pekerja’.

Menurut Seksyen 2(1) Akta Kerja 1955, pekerja adalah individu yang menandatangani kontrak perkhidmatan bersama majikan.

Pada seksyen sama juga ada menerangkan berkenaan kontrak perantisan (apprenticeship contract) yang menerangkan kontrak persetujuan antara majikan untuk melatih seorang perantis dalam melebihi tempoh 2 tahun.

Memandangkan tempoh praktikal kebiasanya berlangsung selama 3 ke 6 bulan, jadi pelajar praktikal tidak dikategorikan sebagai perantis ataupun pekerja.

Malah, tempat pelajar membuat praktikal juga tidak dipanggil sebagai ‘majikan’ tetapi sebagai ‘pembekal tempat latihan’.

Oleh itu, jelas bahawa pelajar praktikal tidak dilindungi oleh Akta Kerja 1955 dan tidak layak menerima gaji minimum yang ditetapkan dalam Perintah Gaji Minimum 2022 yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2023.

Di sini juga perlu difahamkan bahawa memandangkan pelajar praktikal tidak dilindungi Akta Kerja 1955, maka pelajar praktikal tidak layak menerima faedah cuti dan peraturan tempoh masa bekerja maksimum seperti pekerja tetap.

Hak-Hak Pelajar Praktikal

Sungguhpun pelajar pratikal tidak dilindungi oleh Akta Kerja 1955 ini tidak bermaksud hak mereka diabaikan. Selalunya pihak IPT ada menyediakan garis panduan dan perjanjian latihan industri bersama syarikat-syarikat bagi membantu pelajar menjalani praktikal.

Walaupun tidak menerima gaji, pelajar praktikal biasanya ditawarkan elaun tetapi amaunnya bergantung kepada budi bicara pembekal tempat latihan.

Sebagai makluman elaun adalah sejumlah wang yang diberikan pada masa yang tetap untuk tujuan tertentu. Ia disediakan oleh majikan untuk tujuan membuat kawalan di tempat kerja kepada pekerja membelanjakannya bagi tujuan tertentu.

Terdapat 2 jenis elaun yang biasanya ditawarkan iaitu:

  • Elaun Monetari – peruntukan wajib berupa gaji bulanan ke atas semua pekerja
  • Elaun Benefit – peruntukan tambahan berupa wang untuk tujuan kemudahan tertentu 

Selain itu, memandangkan pelajar praktikal tidak dikategorikan sebagai pekerja maka mereka tidak perlu memberi notis sekiranya ingin berhenti menjalani latihan industri.

Ini bermakna pelajar pratikal tidak terikat untuk membayar ganti rugi notis dan syarikat juga tidak perlu membayar ganti rugi notis kepada pelatih industi yang ingin berhenti.

Kadar Elaun Semasa Untuk Pelajar Praktikal

Berbalik kepada soal gaji dan pelajar praktikal, seperti yang dinyatakan di atas bahawa pelajar pratikal layak menerima elaun tapi bergantung kepada budi bicara pembekal tempat latihan.

Walau bagaimanpun bermula 1 September 2019, mereka yang membuat latihan industri di kementerian, jabatan dan agensi kerajaan diperuntukan kadar elaun sebanyak RM5 sejam.

Ini bermakna pelajar pratikal kerajaan boleh menerima elaun sehingga RM900 sebulan bagi tempoh 90 hari berbanding RM300 sebulan sebelum ini.

Bagaimana pula nasib pelajar praktikal yang membuat latihan industri di syarikat swasta?

Pada Belanjawan 2022 lalu bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ada menyeru agar pihak swasta memperuntukan elaun sekurang-kurang RM900 kepada pelajar praktikal.

Malah, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pada awal tahun ini juga akan menyarankan galakkan sektor swasta contohi pihak kerajaan dengan memberi elaun sekurang-kurangnya RM900 kepada pelajar yang membuat latihan industri.

Mungkin bagi sesetengah syarikat keperluan elaun kepada pelajar praktikal ini dipandang ringan, namun perlu diingatkan bahawa pelajar juga adalah manusia yang memerlukan wang untuk jalani kehidupan.

Imbuhan elaun yang diberikan ini boleh dianggap sebagai pembakar semangat kepada pelajar praktikal dan gambaran awal berkenaan gaji sebelum mereka melangkah masuk ke alam pekerjaan sebenar.

2 Comments

  • Saiful says:

    Adakah pelajar yang menjalani latihan industri dimestikan atau dibokehkan untuk bekerja secara shift

    • Zahin Byond says:

      Latihan industri (Internship) tidak dinyatakan dalam Akta Kerja 1955. Ini bermakna sebarang tempoh waktu bekerja dan pemberian elaun tertakluk kepada persetujuan dicapai pelajar dan tempat latihan termasuk perjanjian dengan pihak universiti.

Leave a Reply