Seringkali kita mendengar cerita pekerja yang tidak dibayar gaji oleh majikan mereka. Ini adalah situasi yang sangat tidak adil dan mengkhianati pekerja yang telah berhempas pulas menyiapkan kerja mereka. Pada yang tidak tahu, gaji anda seharusnya dibayar dalam tempoh 7 hari selepas hari terakhir tempoh gaji mengikut Seksyen 19 (1) Akta Kerja 1955.
Namun, jika anda mengalami situasi ini, anda harus tahu bahawa ada tindakan yang boleh diambil terhadap majikan yang tidak membayar gaji anda. Pertama sekali ialah dengan berbincang dengan pihak majikan supaya ada persefahaman bersama. Jika majikan anda memberikan alasan yang munasabah, anda mungkin dapat mencari penyelesaian yang dapat memuaskan kedua belah pihak.
Sekiranya rundingan tersebut tidak memuaskan, anda boleh mengambil tindakan undang-undang melalui langkah ini:
- Mengemukakan aduan secara bertulis dengan menghantar surat rasmi kepada Jabatan Tenaga Kerja melalui e-mel ke [email protected] atau melawat pejabat Jabatan Tenaga Kerja tempatan terdekat, atau menghubungi 03-8000 8000. Adalah digalakkan untuk melampirkan surat rasmi permohonan bersama permohonan.
- Membawa salinan dokumen sokongan seperti surat tawaran atau kontrak yang berkaitan dengan pekerjaan
- Menunggu notis selanjutnya daripada Jabatan Tenaga Kerja.
- Pegawai JTK akan menghubungi majikan untuk membicarakan tuntutan yang dibuat oleh pekerja. Sekiranya majikan menerima tuntutan dan bersetuju untuk membayar, maka kes itu dianggap selesai dan pekerja perlu menarik balik tuntutan yang dibuat. Namun, jika majikan mempertikaikan tuntutan tersebut, Pegawai JTK akan menetapkan tarikh untuk mendengar kes pekerja di Mahkamah Buruh.
- Kedua-dua pihak dikehendaki menghadiri sidang tersebut. Pejabat JTK akan mengeluarkan saman kepada majikan jika perlu.
- Pekerja boleh memilih untuk mewakili diri sendiri, atau diwakili oleh kesatuan sekerja, seorang peguam atau pegawai dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
- Pada akhir sidang, Pegawai Penguasa akan membuat suatu perintah secara lisan atau bertulis. Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Pegawai yang mengendalikan boleh merayu kepada Mahkamah Tinggi dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan itu.
- Sekiranya defendan (majikan) tidak merayu kepada Mahkamah Tinggi dan tidak mahu mematuhi perintah Mahkamah Buruh, Pejabat Buruh akan membantu menguatkuasakan perintahnya di Mahkamah Sesyen (Sivil) untuk mendapatkan semula wang yang dituntut.
Situasi di mana majikan enggan membayar gaji sememangnya menjadi sesuatu yang sangat menggeramkan! Walau bagaimanapun, jangan berputus asa dan mengundurkan diri begitu sahaja. Anda mempunyai hak untuk mempertahankan hak pekerja anda dengan cara yang sesuai dengan undang-undang yang berlaku. Ingat sebagai pekerja kita semua dilindungi oleh Akta Pekerja 1955 yang menjaga kebajikan pekerja di Malaysia. Sentiasa ingat bahawa anda berhak menerima gaji yang sepatutnya atas usaha keras yang telah anda lakukan!