Skip to main content

Bayangkan jika kakitangan dalam jabatan sumber manusia (HR) membuat kerja-kerja berkaitan kedatangan pekerja, menguruskan tuntutan kerja lebih masa dan elaun, pengiraan cuti yang semuanya dilaksanakan secara manual. Jika sesebuah syarikat itu memiliki hanya lima pekerja,mungkin tiada masalah tetapi jika memiliki ratusan pekerja, jadi bayangkan tekanan dan bebanan kerja yang dilakukan oleh staf tersebut.

Bersandarkan permasalahan tersebut seiring dengan proses pemindahan urusan kerja kepada digitalisasi, syarikat bumiputera Byond Tech Global Berhad telah membangunkan perisian, MySyarikat pada tahun 2020 dengan misi untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) lebih berdaya saing, cekap pengoperasiannya dan mampu berkembang luas pada masa depan.

Air tangan, idea dan usaha gigih anak muda yang cukup berpengalaman dalam bidang pemasaran secara digital dan latihan, Al Malik Hassan Hairuddin, pengasas bersama syarikat berkenaan telah membangunkan empayar tersebut sehingga menjadikan ia sebaris dalam senarai lima syarikat terbaik serta mampu bersaing dengan syarikat bukan bumiputera dalam industri berkenaan di negara ini.

“Kami mahu menjadi ‘king of SME’ bukan untuk berkuasa atau jadi ketua tapi kami mahu membantu, menjaga PKS kerana kami tahu segalanya tentang PKS, malah menjadi aset kami untuk menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pembangunan PKS pada masa depan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

KOSMO!:Boleh jelaskan tentang MySyarikat?

Al Malik Hassan: Kami membangunkan sebuah ekosistem yang lengkap untuk membantu PKS dan PMKS mengurus dan melatih pekerja di bawah satu sistem dan melalui perisian ini, kami akan dapat membantu memudahkan segala urusan majikan sekali gus memberi manfaat baik kepada pekerjanya.

Ia juga akan menyediakan penyelesaian khususnya bagi HR daripada aspek kedatangan, gaji, memohon cuti hinggalah kepada pengeda­ran maklumat dalaman syarikat.

Bagaimana datangnya idea membangunkan MySyarikat?

Pada awalnya, kami adalah sebuah syarikat yang menawarkan latihan khusus kepada PKS dan PMKS dalam bidang pengurusan dan pentadbiran perniagaan yang dilaksanakan dalam bahasa Me­layu dari tahun 2014 hingga 2019.

Kemudian kami tawarkan penyelesaian HR menggunakan perisian daripada syarikat lain, dari situ kami terima sambutan yang baik daripada pelanggan.

Melalui pengalaman tersebut, kami dapati ramai usahawan yang tidak tahu tentang perisian untuk memudahkan kerja-kerja HR secara digital.

Sebelum ini, mereka juga menganggap perisian ini mahal, susah nak dioperasikan dan juga tidak cekap IT.

Kami telah menjadikan perisian tersebut terlalu mudah untuk digunakan serta mesra pelanggan malah perkhidmatan selepas jualan juga sangat cekap diamalkan kepada pelanggan kami sebaik sahaja mereka melanggannya.

Berapa lama syarikat membuat kajian untuk membangunkan perisian ini?

Kami ambil masa setahun sebelum dilancarkan pada suku pertama tahun 2020. Setahun sebelum itu, kami tawarkan secara percuma kepada pe­langgan kemudiannya mereka membayar langganan sehingga sekarang.

Sehingga kini, proses pembangunan perisian itu tetap diteruskan yang mana pada bulan September lalu kami beralih kepada versi dua manakala versi seterusnya bakal dilancarkan pada tahun depan.

Kami melancarkan MySyarikat tepat pada masanya kerana selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula, ia telah membataskan segala urusan pentadbiran syarikat dan ini membuatkan perisian kami amat penting digunapakai oleh pelanggan. Di situlah bermulanya trend migrasi daripada sistem manual kepada digitalisasi dalam pengurusan HR pelanggan.

Adakah PKS dan PMKS peka tentang pentingnya penggunaan perisian ini yang mana ia memudahkan kerja-kerja HR demi meningkatkan kecekapan dan kualiti kerja?

Kami pernah membuat tinjauan dengan melibatkan sejumlah 40,000 syarikat sebagai pangkalan data dan mendapati, 88 peratus daripada PKS dan PMKS telah melaksanakan kerja-kerja HR secara manual yang melibatkan kertas kerja dan slip gaji.

Ada kes dalam kajian kami mendapati, seorang majikan te­lah menghabiskan masa selama 48 jam untuk menyiapkan kerja berkaitan HR sedangkan dia sebagai pemilik syarikat perlu buat perkara yang lebih penting dalam mengoperasikan perniagaan dan memikirkan masa depan syarikat.

Siapa yang perlu melanggan MySyarikat?

Sebenarnya dalam sesebuah syarikat itu, jabatan HR adalah antara aset terpenting dan sekiranya bahagian tersebut tidak cekap dalam urusannya berhubung kedatangan pekerja, tuntutan elaun, kerja lebih masa, mendapatkan atau memberhentikan pekerja serta banyak lagi perkara lain, maka ia akan membantutkan perkembangan syarikat.

Disarankan, PKS dan PMKS yang hanya memiliki lima pekerja sepatutnya melanggan perisian ini. Ia juga kritikal bagi mereka yang terlibat dalam perniagaan kedai makan, klinik, tadika, kedai runcit, perjabat bersaiz kecil, apatah lagi bagi restoran yang memiliki beberapa cawangan.

Sebagai contoh, melalui perisian ini, ia akan memudahkan mereka memantau kedatangan pekerja hanya dengan menggunakan te­lefon pintar masing-masing.

Berapa bayaran jumlah langganan MySyarikat?

Kadar yang dikenakan adalah serendah RM10 seorang sebulan untuk memiliki sebuah sistem bersepadu yang akan memudahkan majikan dan kakitangan. Ia ditawarkan kepada dua bahagian iaitu website dan juga aplikasi.

Berapa ramai pelanggan syarikat apa sasaran syarikat tahun depan?

Buat masa sekarang, kami memiliki kira-kira 14,000 syarikat dan kebanyakannya berada di Lembah Klang. Kami sasarkan untuk menambah kira-kira 6,000 syarikat pada tahun depan dan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM20,000 syarikat.

Selepas menggunakan perisian ini, apakah impak kepada syarikat?

Kualiti kerja dan kecekapan akan meningkat sehingga 80 pe­ratus dan dalam masa yang sama, apabila kakitangan HR yang sebelum ini terbeban dengan kerja-kerja secara manual beralih kepada digital yang lebih cekap akan membuatkan mereka berasa lebih tenang, produktiviti makin bertambah sekali gus memberi petunjuk kepada majikan untuk terus berkembang lagi.

Apa perancangan syarikat pada masa depan?

Kami dalam pelan untuk ­menyenaraikan syarikat di Bursa Malaysia. Kami juga akan memperkukuhkan perniagaan di pasaran domestik dan juga di Indonesia yang mana kami te­lahpun membuka pejabat di sana serta mendapat sokongan yang baik daripada pelabur.

Untuk tahun depan juga, kami bercadang untuk membuka cawangan baharu di Brunei. Kami juga bercadang untuk meneroka bidang fintech yang mana kami bakal bekerjasama dengan institusi kewangan untuk penawaran kad debit dan menaik taraf sistem yang akan memudahkan pelanggan memohon pinjaman peribadi daripada perisian itu.

Sumber dari KOSMO! ONLINE

Umum

Fahami Konsep Work-Life Balance

Zahin ByondZahin ByondMarch 25, 2024

One Comment

Leave a Reply