Skip to main content

Dalam dunia pekerjaan professional terdapat 2 jenis kontrak kerja yang berbeza dan cara untuk mengenal pastinya adalah melalui ejaan huruf sahaja. Mungkin kedengaran kelakar, namun akibat kegagalan membezakannya berlaku banyak kes pekerja tidak berpuas hati atau melanggar persetujuan kontrak.

Kontrak-kontrak tersebut adalah Contract of Service dan Contract for Service yang dibezakan melalui penggunaan perkataan ‘of’ atau ‘for’. Pada dasarnya kedua-dua kontrak tersebut berfungsi sebagai pengikat persetujuan perkhidmatan yang sah di sisi undang-undang.

Namun terdapat berbezaan dari segi sifat dan penggunaannya yang masih ramai keliru walaupun untuk mereka yang sudah ada pengalaman bekerja. Oleh itu, artikel kali ini akan membincangkan perbezaan antara Contract of Service dan Contract for Service serta kepentingannya kepada pekerja.

Apa Itu Contract of Service?

Kita mulakan dengan membincangkan tentang Contract of Service atau Kontrak Perkhidmatan. Seperti nama yang dicadangkan kontrak jenis ini turut disebut sebagai kontrak pekerjaan atau kontrak perkhidmatan

Sifat kontrak ini adalah untuk mengikat persetujuan antara pekerja dan majikan yang sah di sisi undang-undang, di mana ia boleh diberikan kepada pekerja tetap atau pekerja tidak tetap (part-time) bagi situasi pekerjaan sepenuh masa dan sambilan.

Mudah kata kontrak jenis ini adalah kontrak kerja yang biasanya diberikan oleh majikan kepada pekerja semasa menyertai syarikat. Isi kandunganya mesti lengkap dengan segala penerangan hak-hak pekerja seperti yang ditetapkan oleh Akta Kerja 1955.

Apa Itu Contract for Service?

Untuk Contract for Service atau Kontrak untuk Perkhidmatan ini pula ia tidak semestinya dikelaskan sebagai kontrak pekerjaan. Hal ini kerana perjanjian bagi kontrak jenis ini tidak menyebut pemberi khidmat sebagai pekerja, sebaliknya ia sering disebut sebagai pelanggan.

Berbeza dengan jenis kontrak di atas, Contract for Service ini menyaksikan pelanggan bersetuju untuk membayar sejumlah wang, yuran atau caj sebagai pembayaran atas perkhidmatan yang diberikan sama ada kepada individu atau syarikat.

Contoh mudah untuk menerangkan Contract for Service ini adalah pekerja freelance yang bersetuju beri khidmat dengan pelanggannya ataupun kontraktor pembersihan yang tidak terikat kepada mana-mana syarikat dan organisasi semasa bekerja.

Perbezaan Contract of Service dan Contract for Service

Kini anda sudah mendapat gambaran awal tentang perbezaan Contract of Service dan Contract for Service. Seperti yang dikatakan pada awal tadi kedua-dua jenis kontrak ini pada dasarnya adalah sama iaitu untuk mengikat persetujuan yang sah di sisi undang-undang.

 Agak sukar sebenarnya untuk membezakan kedua-dua pada mata kasar, namun ini pihak MySyarikat senaraikan beberapa perbezaan yang mudah untuk kenal pasti sama ada kontrak tersebut jenis of service atau for service.

  1. Contract of Service
  • Individu yang beri khidmat disebut sebagai pekerja dan organisasi yang tawar khidmat disebut sebagai syarikat
  • Pihak majikan mempunyai kawalan terhadap pekerja dan berkuasa untuk memberi arahan
  • Tempoh kontrak boleh jadi tetap atau tidak tetap, dan boleh ditawarkan kepada pekerja secara sepenuh masa atau separuh masa
  • Kebiasaannya diberikankan kepada pekerja semasa mula menyertai syarikat untuk mengikat pekerja
  • Sebarang keuntungan atau kerugian syarikat tidak dikongsi bersama pekerja
  • Proses menamatkan kontrak perlu mengikut aturan tempoh notis seperti ditetapkan Akta Kerja 1955
  1. Contract for Service
  • Individu yang beri khidmat dan organisasi yang tawar khidmat disebut sebagai pelanggan
  • Pihak pelanggan mempunyai kawalan terhadap tugasan tanpa tunduk kepada sebarang arahan
  • Tempoh kontrak berdasarkan persetujuan pembayaran yang ditetapkan kedua-dua belah pihak sebelum mulakan tugasan
  • Kebiasaannya ditawarkan kepada pelanggan selepas persetujuan dicapai tanpa perlu mengikat mereka kepada organisasi
  • Sebarang keuntungan atau kerugian akan memberi kesan kepada pelanggan bergantung atas persetujuan
  • Proses menamatkan kontrak atas persetujuan bersama tanpa perlu mengikut penetapan tempoh notis Akta Kerja 1955

Kepentingan Bezakan Contract of Service dan Contract for Service

Jelas bahawa sebenarnya terdapat beberapa perbezaan antara Contract of Service dan Contract for Service ini. Walaupun secara dasar kedua-dua kontrak ini sama, namun sifat dan tujuannya diberikan bergantung kepada situasi.

Dalam pada itu suka diingatkan untuk anda membaca dan cuba mengenal pasti kontrak kerja yang diberikan sebelum menurunkan tandatangan. Pada sesetengah kes mungkin ia akan nyatakan terus sama kontrak tersebut of Service atau for Service secara jelas tetapi jika tiada anda dinasihatkan untuk bertanya.

Kesimpulannya, tidak kira jenis kontrak mana yang ditawarkan ia terdapat kelebihan dan kekurangan masing-masing. Sebagai individu yang menerima pendapatan dari hasil kerja, anda dinasihatkan untuk tidak lupa mencarum kepada KWSP dan PERKESO walaupun diberikan Contract for Service.

One Comment

Leave a Reply