Skip to main content

Pernahkah anda lihat dalam kontrak pekerjaan, dan tempoh notis berhenti tertulis 2 minggu? Dalam kebanyakan keadaan notis berhenti kerja 2 minggu ini selalunya terpakai untuk mereka yang berada dalam tempoh percubaan atau pekerja baharu.

Tetapi bukankah notis berhenti sekurang-kurangnya perlu 4 minggu notis, seperti yang ditetapkan dalam Akta Kerja? 

Mari kita fahami dengan lebih jelas tentang apakah sebenarnya notis berhenti kerja, bagaimana ia ditetapkan, dan apakah garis panduan yang ditetapkan dalam undang-undang kerja di Malaysia.

Apa Itu Notis Berhenti Kerja?

Notis berhenti kerja merupakan satu bentuk pemberitahuan rasmi daripada pekerja kepada majikan (atau sebaliknya) yang menyatakan hasrat untuk menamatkan hubungan pekerjaan.

Fungsi utama notis ini adalah untuk memberikan masa persediaan yang wajar kepada kedua-dua pihak, majikan boleh mula mencari pengganti, manakala pekerja pula boleh menyusun langkah seterusnya tanpa tergesa-gesa.

Secara amnya, tempoh notis berhenti kerja ini ditetapkan dalam kontrak pekerjaan. Kontrak tersebut akan menyatakan dengan jelas berapa lama notis perlu diberikan oleh pekerja atau majikan sekiranya ingin menamatkan pekerjaan.

Garis Panduan Tempoh Notis Mengikut Akta Kerja 1955

Menurut Akta Kerja 1955, jika tiada kontrak pekerjaan atau tempoh notis tidak dinyatakan secara spesifik, maka tempoh notis minimum adalah seperti berikut:

  • Kurang daripada 2 tahun perkhidmatan: 4 minggu notis
  • 2 tahun hingga kurang 5 tahun perkhidmatan: 6 minggu notis
  • Lebih daripada 5 tahun perkhidmatan: 8 minggu notis

Garis panduan ini memberikan perlindungan kepada kedua-dua pihak agar proses penamatan kerja berlaku secara berhemah dan profesional.

Notis 2 Minggu: Sah atau Tidak?

Secara teknikal, notis berhenti kerja selama 2 minggu memang wujud dan boleh dianggap sah, tetapi dengan syarat tertentu. 

Pertama sekali, ia mestilah termaktub dalam kontrak pekerjaan. Jika kontrak menyatakan bahawa pekerja hanya perlu memberikan notis 2 minggu untuk berhenti kerja, maka tempoh ini adalah sah dan boleh dikuatkuasakan.

Selain itu, persetujuan bertulis daripada majikan juga memainkan peranan penting. Sekiranya majikan bersetuju menerima notis 2 minggu, walaupun kontrak menyatakan tempoh yang lebih panjang, maka tiada isu dari sudut perundangan. 

Namun, adalah penting untuk memastikan persetujuan ini direkodkan secara rasmi (dalam bentuk e-mel atau surat rasmi) bagi mengelakkan sebarang salah faham pada masa akan datang.

Bilakah Notis 2 Minggu  Tidak Sah?

Sebaliknya, notis 2 minggu tidak sah dalam beberapa keadaan tertentu:

  • Jika bercanggah dengan kontrak pekerjaan yang telah ditandatangani.
  • Jika majikan tidak bersetuju dengan tempoh notis lebih singkat.
  • Jika bercanggah dengan Akta Kerja 1955 yang menetapkan tempoh minimum lebih panjang.

Bagaimana Notis 2 Minggu Digunakan di Malaysia?

Walaupun secara teknikal notis 2 minggu bergantung kepada kontrak dan persetujuan, amalan di sektor swasta Malaysia sering kali lebih fleksibel. Tempoh notis ini menjadi norma terutamanya bagi pekerja:

  • Yang masih berada dalam tempoh percubaan (probation)
  • Yang bekerja dalam persekitaran kerja tidak formal atau sektor kecil dan sederhana (PKS)
  • Yang mempunyai peranan berisiko rendah dan lebih mudah digantikan

Dalam konteks ini, notis 2 minggu dianggap munasabah dan memberi cukup masa kepada majikan untuk membuat persediaan, serta pekerja untuk menamatkan tugas secara profesional. Fleksibiliti dan keperluan praktikal sering kali menjadi pertimbangan utama dalam menentukan tempoh notis sebenar, walaupun tidak sepenuhnya selaras dengan Akta.

Apa Berlaku Jika Langgar Tempoh Notis?

Jika seseorang pekerja memilih untuk berhenti kerja lebih awal daripada tempoh notis yang ditetapkan, mereka perlu membayar ganti notis kepada majikan. Ini selalunya bersamaan dengan gaji bagi tempoh notis yang tidak dipenuhi. 

Misalnya, jika kontrak menetapkan 4 minggu tetapi pekerja hanya beri notis 2 minggu, maka baki 2 minggu perlu dibayar. Kaedah ini adalah sah dari segi undang-undang dan membolehkan pekerja berhenti lebih awal tanpa menjejaskan kontrak atau mencetuskan pertikaian undang-undang.

Namun begitu, langkah meninggalkan kerja tanpa memenuhi tempoh notis atau tanpa membayar ganti rugi boleh menjejaskan rekod pekerjaan anda. Ini termasuk:

  • Rujukan negatif daripada majikan terdahulu
  • Sukar mendapat pekerjaan baharu, terutama jika bakal majikan melakukan semakan latar belakang
  • Potensi kehilangan faedah akhir atau pampasan yang sepatutnya diterima

Sebab itu penting untuk memahami bahawa notis berhenti kerja bukan sekadar formaliti, tetapi instrumen undang-undang dan profesionalisme dalam dunia pekerjaan.

Baca juga: Importance of Notice Period When Resigning

Kesimpulannya, notis berhenti kerja 2 minggu memang wujud dan ada sesetengah syarikat mengamalkan, terutamanya bagi pekerja dalam tempoh percubaan. Dalam apa jua keadaan, rujuk kontrak pekerjaan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk berhenti kerja. Jika kontrak tidak jelas atau tiada, maka Akta Kerja 1955 akan menjadi rujukan utama.

Pengurusan Pekerja Boleh Jadi Mencabar Tanpa MySyarikat!

Sebagai majikan, menguruskan pelbagai jenis pekerja boleh menjadi tugas yang rumit. Tanpa sistem yang teratur, risiko salah pengiraan, rekod bercelaru, atau ketidakpatuhan terhadap polisi adalah tinggi.

Perkenalkan MySyarikat, sistem HRMS (Human Resource Management System) automasi yang membantu majikan:

  • Mengautomasikan tugasan: Semua tugasan direkodkan secara digital untuk memudahkan semakan.
  • Menguruskan pengurusan secara online: Sebarang tugasan kini boleh diakses dengan satu klik.
  • Memastikan pematuhan: Sistem direka untuk mematuhi undang-undang kerja di Malaysia.

Tidak kira sama ada anda majikan SME atau syarikat besar, MySyarikat adalah penyelesaian lengkap untuk pengurusan sumber manusia anda!

Mari BOOK DEMO untuk dapatkan sistem MySyarikat sekarang!

MySyarikat - sistem HRMS/ HR software terbaik di Malaysia

Leave a Reply