Bermula 1 Januari 2023 lagi, bawah pindaan pada Akta Kerja 1955, pekerja boleh buat permohonan untuk menukar waktu bekerja; hari bekerja; tempat kerja; dan ketiga-tiganya sekaligus kepada majikan.
Benar, perkara ini digariskan pada Bahagian 9C, Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 di bawah Aturan Kerja Fleksibal (AKF). Jadi artikel kali ini akan mengupas hak-hak pekerja serta majikan berkaitan AKF.
Trend Bekerja di Malaysia
Ramai masih ingat dengan kemudahan kerja hybrid yang diamalkan pada tahun 2020 kerana penularan Covid-19? Ketika waktu itu trend kerja dari rumah atau remote working diamalkan oleh kebanyakan syarikat di dalam dan di luar Malaysia.
Ekoran itu, bekas Menteri Sumber Manusia, M. Saravanan memasukkan AKF dalam pindaan Akta Kerja 1955. Malah, Menteri Sumber Manusia pada ketika itu, V. Sivakumar turut menggalakkan pindaan tersebut bagi meningkatkan ekonomi dan kualiti hidup pekerja.
Rentetan itu, banyak syarikat amalkan polisi hybrid secara menyeluruh dan tidak kurang ada melaksanakannya secara berkala. Tapi ada juga sesetengah syarikat memilih untuk tidak mengaplikasikannya atas faktor tidak sesuai dengan jenis perniagaan.
Penting untuk difahamkan bahawa tidak menjadi kesalahan jika syarikat tidak mengamalkan AKF kerana pindaan yang diperkenalkan adalah digalakkan sahaja dan bukan paksaan.
Aturan Kerja Fleksibel, Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022
Betul ke wujud Aturan Kerja Fleksibel dalam Akta Kerja?
Pada Bahagian 9C, Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 menerangkan bahawa AKF diwujudkan bagi memenuhi keperluan semasa dan dalam keadaan yang diperlukan. Pada bahagian 9C ini juga ada menerangkan bahawa seorang pekerja boleh memohon mana-mana 3 bentuk AKF iaitu:
- Perubahan waktu bekerja
- Perubahan hari bekerja
- Perubahan tempat kerja
Mudah katanya pekerja boleh memohon kepada majikan untuk sama ada menukar waktu bekerja, hari bekerja, tempat bekerja atau ketiga-tiganya sekali. Ini merupakan satu kemudahan yang mungkin ramai pekerja serta majikan terlepas pandang!
Hak Pekerja dan Majikan untuk Aturan Kerja Fleksibel
Tapi macam mana nak mohon AKF ini?
Anda mungkin terbayang permohonan AKF perlu mengisi borang khas dan mendapatkan cop dari pihak kerajaan tetapi sebaliknya anda hanya perlu membuat permohonan secara tertulis sahaja kepada majikan sahaja!
Ini bermakna anda hanya perlu menulis surat rasmi kepada majikan untuk memohon mana-mana bentuk AKF tersebut. Tentunya, anda perlu kemukakan sebab serta alasan yang kukuh untuk permohonan AKF dan bukannya kerana suka-suka.
Kemudian, majikan perlu memberi maklum balas terhadap permohonan AKF sama ada lulus atau tidak dalam tempoh 60 hari daripada tarikh penerimaan. Di sini majikan juga perlu mengeluarkan notis secara bertulis berkenaan keputusan yang dibuat.
Suka diingatkan bahawa majikan boleh memutuskan untuk menolak permohonan AKF pekerja tetapi dengan alasan yang kukuh. Hal ini kerana, pelaksanaan AKF bukanlah satu paksaan tetapi lebih kepada satu galakan bersifat perundangan seperti yang dijelaskan oleh Menteri Sumber Manusia sebelum ini.
Selain itu, jika majikan meluluskan permohonan AKF ia tidak bermaksud pekerja itu kehilangan hak untuk cuti rehat dan cuti tahunannya seperti yang digariskan dalam Akta Kerja. Tetapi majikan boleh menentukan tempoh AKF yang diberikan seperti pelaksanaan AKF untuk 6 bulan atau 3 bulan.
Kesesuaian dan Keperluan Aturan Kerja Fleksibel
Mungkin ramai beranggapan perlaksanaan AKF perlu dilaksanakan oleh semua industri, tetapi suka untuk diingatkan bahawa ia adalah satu saranan yang digalakkan sahaja. Pada awal pengenalannya, pindaan ini telah ditangguhkan beberapa kali bagi memberi masa untuk setiap syarikat melalui proses pemulihan dan adaptasi.
Mengikut budi bicara majikan, AKF mungkin boleh dilaksanakan dalam industri bukan pengeluaran seperti bahagian Pemasaran atau Teknologi Maklumat (IT). Tetapi AKF dilihat kurang sesuai untuk diamalkan dalam industri perkhidmatan dan perhotelan kerana sifat kerja tersebut memerlukan pekerja berada di lokasi kerja.
Memang tidak dinafikan AKF boleh memberi manfaat kepada pekerja dari segi keseimbangan hidup dan kerja (work-life balance) yang lebih baik, selain dapat meningkatkan moral pekerja apabila bekerja dalam persekitaran yang selesa.
Bagi pihak majikan pula AKF dapat bantu mengurangkan kos di pejabat, selain meningkatkan produktiviti pekerja apabila pekerja berasa lebih bersemangat untuk bekerja dengan adanya fleksibiliti yang ditawarkan oleh majikan.
Jadinya manfaatkan peluang AKF jika majikan membenarkan anda untuk mengambilnya. Jangan sesekali mengambil kesempatan terhadap kemudahan yang telah diberikan ini untuk ponteng kerja pula!
Naik Taraf Pengalaman Bekerja Syarikat Anda dengan MySyarikat!
Sebagai majikan, menguruskan pelbagai jenis pekerja boleh menjadi tugas yang rumit. Tanpa sistem yang teratur, risiko salah pengiraan, rekod bercelaru, atau ketidakpatuhan terhadap polisi adalah tinggi.
Perkenalkan MySyarikat, sistem HRMS (Human Resource Management System) automasi yang membantu majikan:
- Mengautomasi tugasan: Semua tugasan direkodkan secara digital untuk memudahkan semakan.
- Menguruskan pengurusan secara online: Sebarang tugasan kini boleh diakses dengan satu klik.
- Memastikan pematuhan: Sistem direka untuk mematuhi undang-undang kerja di Malaysia.
Tidak kira sama ada anda majikan SME atau syarikat besar, MySyarikat adalah penyelesaian lengkap untuk pengurusan sumber manusia anda!
Mari BOOK DEMO untuk dapatkan sistem MySyarikat sekarang!
