Selok-belok dunia perniagaan ini bukannya mudah, kadang-kadang sehingga sampai satu tahap syarikat mungkin terpaksa mengambil keputusan yang sukar dan melakukan pemberhentian atau retrenchment pekerja secara besar-besaran.
Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada keputusan syarikat membuat pemberhentian atau retrenchment , salah satunya mungkin kerana ketidakmampuan syarikat untuk menampung perbelanjaan akibat kerugian sehingga terpaksa menggurangkan tenaga kerja (downsizing).
Walau apa pun faktornya, keputusan yang dibuat syarikat atau majikan untuk downsizing perlu adil kepada pekerja dan mengikuti penetapan syarat perundangan yang ada dalam buku peraturan kerja Malaysia iaitu Akta Kerja 1955.
Jadinya apabila bercakap tentang pemberhentian atau retrenchment juga pasti tidak akan lari dari membincangkan topik berkenaan Skim Pemisahan Sukarela atau Voluntary Separation Scheme (VSS) dan Skim Pemisahan Wajib atau Mandatory Separation Scheme (MSS).
Oleh itu, artikel MySyarikat kali ini akan menerangkan secara ringkas dan mudah untuk anda faham berkenaan pemberhentian atau retrenchment, Skim Pemisahan Sukarela atau Voluntary Separation Scheme (VSS) dan Skim Pemisahan Wajib atau Mandatory Separation Scheme (MSS).
Apa Itu Pemberhentian, VSS dan MSS?
Ringkasan penerangan tentang pemberhentian, Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dan Skim Pemisahan Wajib (MSS) adalah seperti berikut:
Pemberhentian (Retrenchment)
Kes pemberhentian ini sering berlaku apabila syarikat melepaskan lebihan tenaga kerja atau kakitangan, namun ini tidak bermakna syarikat itu muflis mahupun ditutup. Kata kuncinya di sini adalah memberhentikan sebilangan pekerja.
Penetapan perundangan berkenaan pemberhentian boleh dirujuk pada Seksyen 12 (3), Akta Kerja 1955 yang menerangkan situasi pemberhentian yang dibenarkan adalah seperti,
- Majikan berhenti atau berhasrat menghentikan perniagaannya yang diambil bekerja
- Majikan berhenti atau berhasrat menghentikan perniagaannya di tempat pekerja itu berada
- Keperluan untuk kerja yang dilakukan pekerja berhenti atau dijangka berhenti atau berkurang
- Keperluan untuk kerja yang dilakukan pekerja di tempat pekerja diambil berhenti atau dijangka berhenti atau berkurang
- Pekerja enggan ke tempat kerja lain kecuali kontraknya menghendaki dia menerima pertukaran
- Terdapat perubahan pemilikan dalam perniagaan
Skim Pemisahan Sukarela atau Voluntary Separation Scheme (VSS)
Kes untuk Skim Pemisahan Sukarela (VSS) pula merujuk kepada keadaan di mana majikan atau syarikat menawarkan pilihan kepada pekerja untuk mengundurkan diri secara sukarela tanpa diberhentikan.
Dalam skim ini pekerja biasanya akan dibayar pampasan secara adil atas keputusan mereka untuk mengundur diri secara sukarela. Kata kuncinya di sini adalah sukarela dan atas pertimbangan pekerja itu sendiri, bukan paksaan.
Skim Pemisahan Wajib atau Mandatory Separation Scheme (MSS)
Untuk Skim Pemisahan Wajib atau Mandatory Separation Scheme (MSS) pula ia terjadi apabila majikan atau syarikat bersama-sama pekerja membuat perjanjian untuk berhenti dan menamatkan kontrak kerja.
Pada kes MSS ini selalunya perjanjian yang dibuat atas rundingan majikan dan pekerja itu mestilah adil dari segi faedah serta pampasan yang diterima oleh kedua-dua belah pihak. Kata kuncinya di sini adalah rundingan bersama.
Perbezaan Pemberhentian, VSS dan MSS
Pada bahagian ini akan diterangkan perbezaan diantara ketiga-tiga pemberhentian, Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dan Skim Pemisahan Wajib (MSS) beserta prosedur ringkasnya.
Suka diingatkan bahawa terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada keputusan syarikat untuk buat pemberhentian, Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dan Skim Pemisahan Wajib (MSS). Ia bergantung kepada situasi yang dihadapi oleh syarikat dan keadaan ekonominya.
Ini antara perbezaan antara pemberhentian, VSS dan MSS:
- Sebab Dilakukan
- Pemberhentian (Retrenchment): Keperluan di bawah Seskyen 12 (3), Akta Kerja 1955
- Skim Pemisahan Sukarela (VSS): Bagi menyelaraskan tenaga kerja syarikat
- Skim Pemisahan Wajib (MSS): Kedua-dua pihak memutuskan untuk menamatkan kontrak bersama
- Status Pekerja
- Pemberhentian: Pekerja tiada pilihan
- Skim Pemisahan Sukarela (VSS): Pekerja boleh memilih untuk kekal bekerja atau berhenti
- Skim Pemisahan Wajib (MSS): Pekerja dan majikan bersetuju atas syarat rundingan
- Prosedur
- Pemberhentian: Majikan perlu patuh prinsip ‘last in, first out (LIFO)’ di mana urutan pemberhentian berlaku dari pekerja baru masuk kepada pekerja lama
- Skim Pemisahan Sukarela (VSS): Tawaran dibuka kepada semua pekerja atas kerelaan sendiri tanpa ada paksaan
- Skim Pemisahan Wajib (MSS): Tiada tawaran diberikan, sebaliknya ia berlaku atas persetujuan rundingan dari kedua-dua belah pihak pekerja dan majikan
- Pampasan Atas Pemberhentian Tidak Adil
- Pemberhentian: Tertaklut kepada penetapan dalam Akta Kerja 1955
- Skim Pemisahan Sukarela (VSS): Tiada pampasan jika berlaku atas kerelaan kecuali terjadi paksaan, ancaman atau ugutan
- Skim Pemisahan Wajib (MSS): Tiada pampasan jika berlaku atas persetujuan kecuali terjadi penipuan atau ketidakpatuhan kontrak
Laporkan Jika Berlaku Pemecatan Tidak Adil
Tidak kira walau apa pun keputusan yang dibuat syarikat atau majikan untuk pemberhentian pekerja, sama ada menerusi Skim Pemisahan Sukarela (VSS) atau Skim Pemisahan Wajib (MSS), ia perlu dibuat secara adil dan diberi tempoh waktu secukupnya kepada pekerja.
Jika anda sebagai pekerja mendapati pemecatan yang dibuat majikan atau pemberhentian dilakukan secara tidak adil sehingga menganiayai hak pekerja, anda boleh buat laporan di Pejabat Buruh.
Kesimpulannya, pekerja memiliki hak walaupun dalam situasi pemberhentian atau, Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dan Skim Pemisahan Wajib (MSS) untuk dapat pampasan.