Skip to main content

Pertubuhan Keselamatan Sosial, atau lebih dikenali sebagai PERKESO merupakan sebuah agensi kerajaan Malaysia yang ditubuhkan dibawah Kementerian Sumber Manusia dengan bertujuan menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja melalui skim-skim perlindungan yang telah ditetapkan di Malaysia berteraskan Akta Keselamatan Sosial Pekerja (1969) dan Peraturan-Peraturan Am Keselamatan Sosial Pekerja 1971.

Untuk pengetahuan anda, PERKESO telah berubah menjadi sebuah Badan Berkanun berkuatkuasa mulai 1 Julai 1985 dan pada 1 Januari 1992 pula, Sistem Saraan Baru PERKESO diperkenalkan. Pekerja di Malaysia wajib dicarum oleh majikan mengikut kadar yang telah ditetapkan.

Berpegang dengan moto ‘PERKESO itu Prihatin, Prihatin itu PERKESO’ menjadikannya sebuah agensi yang paling dipercayai untuk perlindungan pekerja di Malaysia.

Tujuan Penubuhan PERKESO

Seperti yang telah kita bincangkan pada permulaan artikel ini, penubuhan PERKESO ini bertujuan melindungi para pekerja di Malaysia dengan skim-skim perlindungan yang ditetapkan oleh PERKESO berpandukan akta. Sebagai tambahan, PERKESO ditubuhkan untuk memberi bantuan dari segi perubatan dan juga kewangan terutamanya kepada pekerja yang mengalami kemalangan atau jatuh sakit.

Kemalangan tersebut sama ada berlaku semasa sedang bekerja, berada di tempat kerja atau dalam perjalanan ke tempat kerja. Misal kata kemalangan tersebut membawa kemudaratan sehingga pekerja tidak dapat lagi bekerja, menghalang kebolehan seseorang untuk terus bekerja atau menyebabkan kepada kematian, PERKESO juga menawarkan bantuan pada ahli tanggungan pekerja melalui pencen.

Pekerja Warganegara Sahajakah Yang Dilindungi Skim Ini?

Jangan risau, telah dinyatakan di dalam Akta ini bahawa pekerja Malaysia, tidak kira sama ada warganegara mahupun warga asing turut akan dilindungi oleh skim ini. Untuk pengetahuan anda, warga asing juga wajib dicarum oleh majikan selagi dia bekerja di Malaysia. Kenyataan ini berketapatan di dalam Akta ke-4 yang mewajibkan pencaruman ke atas pemastautin tetap, pemastautin sementara dan warganegara asing.

Jadi, tiada alasan untuk majikan culas mencarum skim PERKESO untuk pekerja di bawahnya tidak kira warganegara mahu pun warga asing.

Skim-Skim Perlindungan Di Bawah PERKESO

Skim-skim perlindungan di bawah PERKESO ini terbahagi kepada lima, iaitu: Skim Keselamatan Sosial Pekerja Bermajikan, Skim Keselamatan Sosial Pekerja Asing, Skim Keselamatan Sosial Pekerja Domestik, Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri, dan yang terakhir adalah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah.

Setiap skim-skim ini mempunyai faedah tersendiri dan istimewa untuk skim pekerja yang dicarum. Kali ini kita akan bincangkan mengenai Skim Keselamatan Sosial Pekerja Bermajikan. Jom kita ketahui lebih lanjut!

Skim Keselamatan Sosial Pekerja Bermajikan

Di bawah skim ini, semua pekerja berstatus warganegara mahu pun warga asing layak dicarum oleh majikan. Walau bagaimanapun, pekerja yang dikecualikan daripada akta ini adalah seperti berikut:

  • Penjawat awam negeri atau persekutuan dengan status tetap
  • Bekerja sendiri, kecuali pemandu teksi, pemandu bas dan juga mereka yang menjalankan perkhidmatan e-hailing seperti Grab dan sebagainya.
  • Pemilik tunggal atau perkongsian suatu perusahaan.

Skim perlindungan ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu, Skim Bencana Pekerjaan, Skim Keilatan dan Sistem Insurans Pekerja.

Sistem Insurans Pekerja (SIP)

Sistem Insurans Pekerjaan adalah mengikut Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 yang mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2018. Akta ini menetapkan semua pekerja yang berusia 18 tahun hingga 60 tahun perlu dicarumkan dengan kadar liputan caruman yang tertakluk kepada had siling gaji yang diinsuranskan. Walau bagaimanapun, sama seperti skim tadi, insurans pekerjaan ini terkecuali untuk penjawat awam dan juga mereka yang bekerja sendiri seperti yang tertera di atas.

Skim Bencana Pekerjaan

Skim Bencana Pekerjaan ini memberi perlindungan kepada pekerja yang ditimpa kemalangan atau penyakit yang berpunca dari pekerjaannya. Perlindungan ini meliputi:

  • Kemalangan semasa menjalankan pekerjaan: kemalangan yang berlaku semasa sedang bekerja atau berada di tempat kerja.
  • Kemalangan semasa dalam perjalananan: mengikut laluan kediaman ke tempat kerja dan perjalanan semasa waktu rehat yang telah ditetapkan.
  • Kemalangan semasa kecemasan: berada di kawasan kemalangan dan menyelamatkan mangsa bencana atau membantu mengurangkan bahaya semasa kecemasan.
  • Penyakit khidmat: berpunca daripada pekerjaannya (Jadual Kelima, Akta Keselamatan Sosial Pekerja, 1969) seperti hilang pendengaran berpunca dari tekanan bunyi tinggi yang berterusan serta penyakit asma yang disebabkan oleh terdedah pada habuk atau sedutan bahan kimia di kawasan tempat kerja.

Antara faedah yang bakal diperoleh di bawah skim ini adalah seperti berikut:

  • Faedah perubatan: pekerja yang ditimpa penyakit atau kemalangan boleh merujuk ke klinik panel PERKESO secara percuma atau di klinik/hospital kerajaan sehingga pulih.
  • Faedah hilang upaya sementara (HUS): faedah ini dibayar kepada pekerja setelah disahkan oleh doktor sekurang-kurang 4 hari termasuk hari kemalangan.
  • Faedah hilang upaya kekal (HUK): boleh dituntut oleh pekerja yang hilang upaya kekal dalam tempoh 12 bulan dari tarikh akhir hilang upaya sementara.
  • Elaun layanan sentiasa: pekerja yang menerima faedah hilang upaya kekal layak menerima faedah ini sekiranya tidak berdaya dengan teruknya dan memerlukan layanan seseorang tertakluk kepada pengesyoran oleh Jemaah Doktor (khas mahu pun rayuan).
  • Kemudahan pemulihan jasmani/vokasional: pemulihan jasmani termasuklah fisioterapi, bekalan-bekalan yang diperlukan untuk proses penyembuhan serta latihan dalam bidang tertentu mengikut syarat yang telah ditetapkan oleh PERKESO.
  • Faedah orang tanggungan (FOT): orang tanggungan layak menerima faedah ini sekiranya pekerja meninggal akibat bencana pekerjaan.
  • Faedah pengurusan mayat: Amaun sebanyak RM2000.00 akan diberikan kepada waris-waris yang layak.
  • Faedah pendidikan: faedah ini akan diberikan kepada anak tanggungan sekiranya pekerja meninggal dunia atau menerima faedah hilang upaya kekal.

Skim Keilatan

Seseorang itu dianggap menghidap keilatan apabila mengalami suatu keuzuran yang berkekalan sama ada tidak boleh diubati atau tidak boleh sembuh sehingga menyebabkan keterbatasan untuk mencari nafkah. Skim ini memberikan perlindunga 24 jam kepada pekerja dari keilatan atau kematian yang bukan disebabkan oleh pekerjaannya.

Antara faedah yang bakal diperolehi oleh pekerja dari keilatan ini adalah:

  • Pencen Ilat
  • Bantuan Ilat
  • Elaun layanan sentiasa
  • Pencen penakat
  • Kemudahan pemulihan jasmani/vokasional/return to work/dialisis
  • Faedah pengurusan mayat
  • Faedah pendidikan

Kadar Caruman

Kadar caruman maksimum yang ditetapkan adalah berdasarkan had siling gaji sepertimana yang diinsuranskan sebanyak RM5000.00 sebulan. Majikan perlu mencarum setiap bulan mengikut kadar yang telah ditetapkan dibawah akta dan terbahagi kepada dua jenis caruman:

1. Caruman Jenis Pertama: Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan

Pekerja dibawah umur 60 tahun dikategorikan di bawah caruman ini kecuali mereka yang hanya mula mencarum pada usia 55 tahun ke atas. Kadar caruman di bawah kategori ini adalah sebanyak 1.75% bagi syer majikan dan 0.5% bagi syer pekerja berdasarkan gaji bulanan pekerja itu serta mengikut Jadual Kadar Caruman yang telah ditetapkan.

2. Caruman Jenis Kedua: Skim Bencana Pekerjaan Sahaja

Caruman ini layak untuk pekerja yang berumur 60 tahun ke atas dan pekerja baru yang berusia 55 tahun. Bagi caruman ini, hanya majikan sahaja yang akan mencarum iaitu sebanyak 1.25% dari gaji pekerja dan mengikut Jadual Kadar Caruman yang telah ditetapkan.

Secara keseluruhannya, hanya 0.5% perlu dicarum oleh pekerja bagi Skim Bencana Kerja dan 0.2% bagi Sistem Insurans Pekerjaan tertakluk kepada pendapatan bulanan dan kelayakan pekerja.

MySyarikat Penyelesaian Mudah Untuk Rekod Maklumat Syarikat Anda

Sebagai pekerja yang mencarum, anda perlu cakna secara terperinci mengenai caruman yang telah dibuat kerana semua ini adalah hak anda. Untuk majikan pula, sekiranya sumber untuk anda rekod maklumat syarikat dan pekerja anda sangat sukar untuk digunakan, mari beralih kepada sistem MySyarikat yang lebih sistematik dan mudah digunakan.

Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini dengan rakan-rakan dan keluarga anda!

Semoga bermanfaat!

pengiraan levy/cukai/dana hrd corp
CukaiFakta HR

Pengiraan Levy HRD Corp

Zahin ByondZahin ByondNovember 20, 2024

Leave a Reply