Skip to main content

Setiap permulaan pasti ada pengakhiran begitu juga dalam dunia pekerjaan. Mungkin selepas beberapa tahun bekerja di bawah syarikat yang sama, sudah tiba masa untuk bergerak mencari ‘angin’ baru.

Tanpa mengira sebab anda membuat keputusan untuk ‘angkat kaki’ dari syarikat lama, sama ada untuk mendapatkan bayaran lebih tinggi atau ingin mencari tempat kerja yang lebih baik serta dekat dihati, terdapat prosedur perletakan jawatan yang perlu dipatuhi.

Pastinya semua sedia maklum prosedur perletakan jawatan yang terpakai oleh semua pekerja adalah dengan menghantar notis berhenti kerja atau membayar ganti rugi notis jika ingin berhenti segera, perkara ini telah ditetapkan dalam Akta Kerja 1955.

Tetapi persoalannya apakah yang perlu dibuat dalam tempoh sebelum dan selepas hantar notis tersebut? Bagaimana cara nak berhenti kerja tetapi secara profesional?

Tips Berhenti Kerja Secara Profesional

Kalau diikutkan majikan pasti tidak mahu pekerjanya berhenti kerja, lebih-lebih lagi jika individu itu sudah lama bersama dengan syarikat. Tetapi apabila sudah tiba masa majikan perlu melepaskan pekerjanya pergi.

Dan bagi pekerja pula keputusan untuk berhenti kerja pastinya merupakan satu cabaran yang besar, lebih-lebih lagi jika individu itu memiliki hubungan yang akrab dengan majikan. Seboleh-bolehnya pekerja pasti tidak mahu melukakan hati mana-mana pihak.

Jadi ada beberapa langkah sebelum dan selepas menghantar notis berhenti kerja yang pekerja perlu ambil perhatian untuk berhenti secara professional.

1. Bincangkan Keputusan Berhenti Kerja Dengan Pegawai HR dan Ketua Bahagian

Sebaik seorang pekerja itu membuat keputusan untuk berhenti kerja adalah penting untuk memaklumkan niat tersebut kepada pegawai sumber manusia (HR), ketua bahagian (HOD) atau supervisor terlebih dahulu.

Ini kerana individu-individu tersebut yang akan menjadi orang tengah dan membawa berita perletakan jawatan kepada majikan. Biasanya mereka ini lebih dekat dengan bos dan lebih faham cara untuk menyampaikan sesuatu berita kepada pihak atasan.

Bayangkan jika anda tidak memberitahu HOD atau supervisor akan keputusan untuk berhenti kerja, ia akan mencipta satu perasaan menikam belakang memandangkan mereka ini yang menjaga anda sepanjang tempoh perkhidmatan.

2. Hantar Notis Berhenti Kerja Mengikut Tempoh Yang Betul

Selepas menghantar surat berhenti kerja, maka ini menandakan pekerja sudah mula berada dalam tempoh notis. Umum mengetahui tempoh notis adalah masa untuk pekerja menyelesaikan tugas sebelum tinggalkan syarikat dan masa untuk majikan mencari pengganti.

Penghantaran dan perlaksanaan notis berhenti kerja ini telah digariskan dalam Akta Kerja 1955 jadi tanpa mengira sektor pekerjaan, pekerja perlu menghormatinya kerana kegagalan pematuhan oleh mana-mana pihak boleh dikenakan hukuman.

Oleh itu, jika penetapan mengatakan anda perlu menghantar notis 6 minggu sebelum tarikh akhir anda bekerja maka anda perlu mengikutinya. Atau jika anda membuat keputusan untuk berhenti segara, anda perlu membayar ganti rugi notis.

3. Kekalkan Prestasi Kerja Sehingga Hari Terakhir Bekerja

Kebanyakan pekerja kini anggap sebaik membuat keputusan untuk berhenti kerja, mereka sudah tidak bertanggungjawab terhadap tugasan syarikat. Perkara ini sebenarnya salah kerana walaupun anda telah menghantar notis, anda masih pekerja syarikat sehingga tarikh akhir meninggalkan syarikat.

Sebagai seorang pekerja yang profesional, anda seharusnya kekalkan prestasi kerja yang baik dan membantu urusan melatih pekerja baru yang menggantikan anda. Proses ini dikenal sebagai ‘handover’ yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab ketika berhenti kerja.

Malah, walaupun berhenti kerja serta-merta sekali pun anda masih perlu membantu proses handover kepada HOD atau supervisor kerana ia telah menjadi tanggungjawab sebagai seorang pekerja sehingga benar-benar meninggalkan syarikat.

4. Fahami Hak-Hak Berhenti Kerja

Perlu diingatkan sekali lagi proses berhenti kerja memerlukan penghantaran notis berhenti mengikut tempoh yang ditetapkan. Sebarang kegagalan pematuhannya boleh dikenakan hukuman.

Selain itu, pekerja yang ingin berhenti kerja perlu hadam hak-hak lain seperti gaji dan faedah percutian. Selalunya apabila pekerja yang hendak berhenti kerja dan masih ada baki cuti tahunan, syarikat akan membayar lebihan cuti tersebut jika tidak dipakai sehingga tarikh meninggalkan syarikat.

Tetapi pekerja juga perlu tahu bahawa mengikut Akta Kerja jika pekerja tidak menghabiskan baki cuti tahunan sebelum masuk tahun kalendar baru, maka cuti tersebut dikira ‘burn’. Jadinya fahami betul-betul hak pekerja berkaitan cuti ini supaya tidak perlu masalah kelak.

5. Jadi Profesional

Antara perkara penting sebelum dan selepas menghantar surat berhenti kerja adalah kekal professional dengan sebarang tugasan syarikat. Ini juga termasuk mengekalkan hubungan profesional bersama majikan dan rakan kerja.

Selagi anda di bawah tempoh notis dan belum meninggalkan syarikat, anda masih seorang pekerja syarikat dan perlu kekalkan sifat profesional. Balas balik kebaikan yang syarikat telah berikan kepada anda selama bertahun bekerja di sana.

Jangan sesekali tunjukkan anda tidak menghargai hubungan kerja yang dicipta semasa anda berkhidmat di syarikat lama. Anda juga dinasihatkan untuk berlaku jujur dalam memberi maklum balas tentang sebab meninggalkan syarikat semasa ditanya pegawai HR.

Walau apa pun yang terjadi ingat bahawa syarikat lama anda telah memberi tempat untuk menimba ilmu dan rezeki. Anda seharusnya menghargai tempat kerja lama dan bekas majikan walaupun berpindah ke syarikat baru.

Tips HR

Tips Urus Pekerja Introvert

Zahin ByondZahin ByondMarch 25, 2024

Leave a Reply