Kalau artikel sebelum ini kami menyentuh berkenaan cara kiraan gaji kepada pekerja, kali ini kami akan menjawab persoalan anda tentang caruman EPF dan SOCSO.
“Penting sangat ke caruman EPF dan SOCSO ini untuk pekerja? Kalau penting, adakah pihak majikan sahaja yang perlu mencarum? Dan berapa caruman yang wajib dikeluarkan? Sekiranya taknak mencarum, salah ke?“
Ha, kalau nak tahu semua jawapan untuk persoalan itu, kenalah baca sampai habis. Tak rugi ambil tahu kerana caruman ini sangat berguna untuk setiap pekerja dan juga majikan.
Apa Itu Caruman EPF?
Kita sering dengar EPF disebut, tetapi tahu tak apa itu caruman EPF?
EPF, caruman KWSP, iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja adalah caruman yang wajib dibayar oleh majikan dan pekerja mengikut yang tertakluk di dalam Seksyen 43(1), Akta KWSP 1991 yang mewajibkan pekerja dan majikan membayar caruman bulanan dengan amaun upah pada bulan itu mengikut kadar yang telah dinyatakan di dalam Jadual Ketiga.
Untuk pengetahuan anda, jumlah caruman majikan dan pekerja adalah berbeza. Majikan perlu membayar sebanyak 13% daripada gaji pokok pekerja, manakala 11% akan ditolak daripada gaji pokok pekerja tersebut.
“Aduhai, macam mana tu? Saya tak faham lah”
Baiklah, begini cara mudah untuk faham. Katakan gaji pokok seorang pekerja adalah RM3,000. Jadi, majikan perlu membayar sebanyak 13% daripada gaji pokok tersebut, manakala 11% pula akan dipotong daripada gaji pokok itu.
13% x RM3,000 = RM390 (Ini adalah syer majikan iaitu jumlah caruman yang perlu dibayar oleh majikan)
11% x RM3,000 = RM330 (Manakala ini pula adalah jumlah caruman yang akan dipotong daripada gaji pokok pekerja)
Lebih mudah untuk faham, bukan? Namun, kadar caruman ini perlu dirujuk kembali di Jadual Ketiga untuk jumlah yang lebih tepat.
Sebagai tambahan, jumlah caruman perlulah dibayar dalam nilai ringgit penuh dan tiada nilai sen yang dibenarkan. Dalam kata mudah, syer majikan dan pekerja tidak dibenarkan dibuat berdasarkan peratusan yang tepat kecuali mereka yang mempunyai kadar upah melebihi RM20,000. Ini bermakna, jumlah sen yang ada perlu digenapkan ke nilai ringgit berikutnya. Sebagai contoh,
13% x RM2,520 = RM327.60 (selepas dibundarkan akan mendapat sebanyak RM328)
Adakah pekerja warganegara sahaja perlu dicarum?
Tidak, untuk caruman EPF, pekerja bukan warganegara juga boleh mencarum dan dicarum oleh majikan. Walau bagaimanapun, caruman ke atas pekerja bukan warganegara adalah pilihan sahaja. Caruman ini boleh dibuat setelah kedua-kedua belah pihak majikan dan pekerja bersetuju untuk mencarum.
Dapat sesuatu?
Caruman SOCSO dan SIP
Kalau tadi caruman KWSP ada kadar caruman yang tetap, kan? Tetapi, untuk SOCSO pula carumannya mengikut tangga gaji pekerja. Bagaimana nak tahu? Kenalah baca dahulu sehingga habis.
Untuk pengetahuan anda, PERKESO, Pertubuhan Keselamatan Sosial adalah sebuah agensi kerajaan Malaysia yang ditubuhkan untuk menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja Malaysia di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja, 1969. Ada dua jenis caruman di bawah PERKESO, iaitu caruman SOCSO dan yang terbaru SIP.
Apa itu SOCSO?
SOCSO, atau Social Security Organisation adalah caruman di bawah PERKESO. Seperti yang dinyatakan tadi, SOCSO ini adalah berbeza sedikit dengan KWSP. Jumlah kadar caruman SOCSO adalah berdasarkan tangga gaji pekerja yang telah disediakan oleh PERKESO.
Kita ambil contoh gaji pokok RM3,000 tadi dan semak pada tangga gaji pekerja yang telah disediakan. Gaji tersebut termasuk di dalam kelompok ke-35 yang menetapkan syer majikan sebanyak RM53.35, manakala syer pekerja pula adalah RM15.25. Maka, kadar caruman tersebutlah yang perlu dicarum oleh pekerja dan juga majikan untuk caruman SOCSO.
Bagaimana pula dengan SIP?
Sistem Insurans Pekerja, SIP ini adalah caruman terbaru PERKESO yang menyediakan penggantian kepada Orang Berinsuran (OB) yang kehilangan pekerjaan. Caruman ini menetapkan kadar caruman syer majikan dan pekerja yang sama rata iaitu sebanyak 0.2% daripada gaji pokok pekerja. Katakan gaji pokok pekerja adalah sebanyak RM3,000.
0.2% x RM3,000 = RM6
Maka, jumlah kadar caruman syer majikan dan pekerja tersebut adalah sebanyak RM6 sahaja.
Tempoh Pembayaran Kadar Caruman
Majikan perlu membayar kadar caruman yang telah ditetapkan selewat-lewatnya 15 hari bulan bagi caruman untuk bulan sebelumnya. Contoh, caruman untuk bulan Januari perlu diselesaikan selewat-lewatnya 15 hari bulan pada bulan Februari.
Tempoh pembayaran adalah sama untuk caruman EPF, SOCSO dan SIP.
Majikan Terlambat Membayar Kadar Caruman atau Tertunggak
Kegagalan atau kelewatan membayar kadar caruman adalah dianggap sebagai caruman tertunggak.
Untuk caruman EPF KWSP, caj lewat bayar akan dikenakan kepada majikan. Kadar caj lewat dikenakan berdasarkan dividen terendah antara Simpanan Konvesional dan Simpanan Shariah bagi setiap tahun berkenaan dengan kadar penambahan satu peratus. Jumlah minimum caj tersebut adalah sebanyak RM10 dan jika terdapat sen pada caj tersebut, jumlahnya perlu digenapkan ke nilai ringgit yang lebih tinggi.
Manakala untuk SOCSO dan SIP pula, faedah caruman lewat bayar akan dikenakan sebanyak 6% setahun bagi setiap satu hari caruman tidak dibayar dalam tempoh pembayaran yang telah ditetapkan.
Kemudahan Sistem MySyarikat
Setelah caruman telah dijumlahkan untuk pekerja anda. Pastikan anda merekodkan setiap kredit dan debit kewangan syarikat anda untuk memastikan tiada masalah akan dihadapi kelak. Nak lebih mudah dan cepat?
Minta sahaja bantuan dari kami di MySyarikat. Sistem kami yang teratur memudahkan anda untuk menggunakan setiap fungsi dan ciri yang ada. Dah tak perlu lagi key-in satu persatu data milik pekerja anda. Hanya satu klik, semuanya direkodkan!
Jom, berdaftar dengan MySyarikat sekarang!
Hi, saya nak tanya. Boleh ke sesebuah syarikat atau seorang majikan membuat caruman Socso tanpa mencarum Kwsp pekerjanya ?
Caruman KWSP dan PERKESO merupakan sebahagian daripada potongan wajib pada gaji pekerja. Ini bermakna majikan wajib membuat caruman ke dalam KWSP dan PERKESO.
hai saya nak tanya, kalau seseorang cuti tanpa gaji, adakah kita perlu untuk meneruskan pembayaran kwsp dan socso untuknya?
Akta Kerja 1955 menetapkan bahawa gaji pekerja adalah wajib untuk ditolak caruman seperti KWSP, PERKESO dan SIP.
hai, saya nak tanya mana nak dapat jadual pembayaran untuk socso tu? atau ade % yang ditetapkan untuk menolakan/pembayaran socso tu dibuat?
Untuk penerangan lanjut mengenai jumlah caruman atau pembayaran PERKESO boleh dirujuk pada laman rasmi PERKESO.
Adakah majikan perlu byr kwsp pada pekerja belum confirm? Adakah wajib dibayar pada pekerja Sembilan?
Perlu. Bayaran caruman KWSP, PERKESO dan SIP adalah wajib tanpa mengira status sama ada pekerja percubaan mahupun pekerja sambilan. Selagi pekerja memasuki kontrak perkhidmatan dengan majikan mereka layak untuk dicarum.
kerja untuk hari ahad atau cuti umum bagi pekerja yang bergaji bulan perlu kira sekali ke kwsp?
Ya, perlu!
Macamana pula dgn pekerja yg baru masuk bekerja tetapi x cukup sebulan..berapa kadar potongan yg dikenakan
Potongan akan dibuat berdasarkan jumlah gaji yang diterima pada bulan tersebut.
Hi, jika gaji pekerja kurang dari gaji minimum iaitu bawah 1500, adakah majikan wajib mencarum SOCSO & SIP untuk pekerja?
Perlu mencarum ke dalam EPF, SOCSO dan EIS.
EPF saya tak dapat mencarum untuk pekerja bawah gaji 1500 kerana sistem tolak dan tak bagi proceed.
hai saya awalnya adalah pekerja sementara dari nov 2021 dan masih lagi berstatus pekerja sementara sehingga ni. Gaji saya masih lagi dibawah rm1500. majikan saya tidak pernah mencarum apa2 seperti epf, Socso dan eis sehingga sekarang. boleh berikan nasihat kepada saya apa yang perlu saya lakukan?
Dinasihatkan untuk berbincang mengenai status Tuan/Puan dengan majikan dan pegawai HR. Selain itu caruman EPF, SOCSO dan EIS adalah wajib dan kegagalan untuk mencarum boleh dikenakan tindakan.
hi, di dalam payslip gaji telah ditolak untuk epf tetapi bila check account kwsp tiada. apa yang perlu saya lakukan?
Boleh buat laporan ke pihak KWSP untuk tindakan susulan.