Skip to main content

Mungkin ramai di antara kita yang melakukan kerja sambilan atau separa masa untuk menyahut idea kerajaan dengan melakukan dua kerja betul atau tidak? Lagi pun siapa sahaja yang tidak pernah buat kerja sambilan sewaktu zaman persekolahan atau selepas SPM dulu kan? Sambil-sambil hendak tunggu keputusan SPM, bosan-bosan duduk rumah baik lah cari kerja sambilan boleh juga dapat duit sampingan.

Boleh dikatakan ramai rakyat Malaysia pernah melakukan kerja sambilan atau separa masa, tidak kira lah kerja apa sekalipun.

Definisi Pekerja Sambilan atau Pekerja Separa Masa

Pekerja sambilan atau pekerja separa masa ialah orang yang bekerja di bawah kontrak perkhidmatan dengan majikan, iaitu jam kerjanya antara 30% hingga 70% daripada pekerja sepenuh masa dengan majikan yang sama. Pekerja sambilan boleh diambil bekerja secara tetap atau secara kontrak dalam jangka masa yang ditetapkan.

Oleh itu, pekerja sambilan mesti mempunyai kontrak perkhidmatan yang sah dan tidaklah hanya sekadar meminta mereka mengisi borang atau mengikat perkhidmatan mereka secara lisan semata-mata. Ini kerana bagi mengelakkan pertikaian sebarang isu di kemudian hari.

Akta Kerja 1955 dan Peraturan-Peraturan Kerja 2010

Ramai di antara kita masih tidak jelas tentang status undang-undang pekerja sambilan atau pekerja separa masa, sama ada mereka dilindungi oleh statut atau , sama ada terma dan syarat pekerjaan mereka hanya tertakluk kepada persetujuan bersama antara mereka dan majikan mereka sahaja.

Pekerja sambilan tidak dilindungi di bawah Akta Kerja 1955. Walau bagaimanapun, pekerja sambilan dilindungi di bawah Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010. Peraturan tersebut adalah sebahagian daripada Akta Pekerjaan 1955. Ini bermakna, selain daripada perlindungan yang diberikan kepada mereka di bawah Peraturan 2010, mereka juga dilindungi oleh Akta Pekerjaan.

Jika mengikut peraturan kerja di bawah klause “masa kerja normal”, ianya membawa maksud masa kerja yang telah dipersetujui dalam kontrak perkhidmatan atau yang ditentukan bawah peraturan 4. Selain daripada itu, mereka juga mungkin terikat dengan terma dan syarat am perkhidmatan yang berkaitan syarikat majikan mereka.

Tambahan itu juga, pekerja sambilan dibayar dengan kadar bayaran mengikut jam dan sebab itu jugalah kadang-kadang orang ramai merasakan yang kerja sambilan ni lumayan bayarannya. Tetapi anda perlu cakna bahawa pekerja sambilan tidak boleh bekerja lebih masa daripada pekerja tetap.

Kadar Bayaran

Demikian dengan itu, jika majikan meminta untuk anda bekerja lebih masa daripada yang ditetapkan mungkin sebab atas alasan kedai terlampau banyak pelanggan pada hari kejadian dan mereka kekurangan tenaga pekerja. Pastikan anda menerima bayaran yang setimpal. Kadar bayaran kepada pekerja separa masa adalah seperti berikut:

(a) Tidak kurang daripada kadar bayarannya ikut jam untuk setiap jam atau sebahagian daripadanya yang melebihi masa kerja normal sebagai pekerja sambilan, tetapi tidak melebihi masa kerja normal bagi seseorang pekerja sepenuh masa yang bekerja dalam kapasiti dan syarikat atau tempat kerja yang sama.

(b) Tidak kurang daripada satu setengah kali ganda kadar bayaran ikut jam pekerja sambilan untuk setiap jam atau sebahagian daripadanya yang melebihi masa kerja normal seseorang pekerja sepenuh masa yang bekerja dalam kapasiti dan syarikat atau tempat kerja yang sama.

Bagi majikan yang tidak membayar pekerja sambilan untuk waktu kerjanya yang melebihi masa normal mengikut kadar yang ditetapkan, ianya menjadi satu kesalahan besar yang boleh dikenakan tindakan undang-undang yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.

Adakah pekerja sambilan layak mendapat cuti hari kelepasan?

Setiap pekerja separa sambilan adalah berhak mendapat hari kelepasan berbayar pada kadar bayaran biasanya pada hari yang berikut dalam mana-mana satu tahun kalendar.

  1. Hari Kebangsaan.
  2. Hari Ulang Tahun Yang di-Pertuan Agong.
  3. Hari Ulang Tahun Raja atau Yang di-Pertua Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan bergantung kepada lokasi tempat kerja bagi pekerja sambilan tersebut. Hari Wilayah Persekutuan, jika pekerja sambilan yang bekerja di Wilayah Persekutuan.
  4. Hari Pekerja.
  5. Atau mana-mana hari yang diumumkan sebagai hari kelepasan am di bawah seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 [Akta 369].

Katakan lah hari kelepasan am tersebut jatuh pada hari rehat atau hari cuti pekerja, maka hari bekerja yang berikutnya atau keesokan harinya akan menjadi hari kelepasan berbayar bagi menggantikan hari kelepasan am tersebut.

Jadi jika majikan katakan yang cuti anda sudah terkira kerana sama tarikh dengan cuti am, jangan terpedaya. Anda sepatutnya mendapat cuti pada keesokan harinya dan cuti berbayar.

Demikian adalah antara kandungan dalam Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separuh Masa) 2010 dan ianya adalah sahih disisi undang-undang. Maka jangan ingat yang anda hanya pekerja sambilan sahaja, anda tiada hak dari segi cuti dan hari pelepasan. Tetapi, anda sebenarnya berhak mendapat apa yang sewajarnya.

Isu semasa berkaitan pekerja sambilan

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) merayu campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membela nasib 958 pekerja sambilan harian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang ditamatkan kontrak pada 31 Disember 2022 yang lalu.

Setiausaha Agung, Kamarul Baharin Mansor berkata semua pekerja berkenaan ditamatkan perkhidmatan selepas operasi lembaga berkenaan beralih kepada digital.

Yakin dengan keprihatinan Perdana Menteri, Kamarul Baharin berkata, ia berikutan tindakan LHDN itu membabitkan pekerja bawahan yang mendapat gaji RM65 sehari.

Disini kita dapat lihat apabila pekerja ini diberhentikan kerja, mereka ini terputus sumber pendapatan. Sedangkan rata-rata di antara mereka bekerja demi sesuap nasi bagi menampung kelangsungan hidup.

Oleh itu, penting bagi pekerja sambilan untuk memahami akta yang berkaitan dan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separuh Masa) 2010 agar dapat memastikan hak kalian sebagai pekerja diterima dan dilindungi dengan baik. Selamat bekerja semua!

Leave a Reply