Skip to main content

Proses menjaga bayi selepas lahir terutama pada minggu pertama kelahiran bukanlah satu masa yang mudah. Ini lebih sukar, terutama bagi ibu yang pertama kali melahirkan anak dan lebih sukar jika ibu melahirkan secara cesarean di mana ibu itu sendiri memerlukan penjagaan khas.

Ini bermakna sangat penting untuk mempunyai pasangan, iaitu suami di sisinya semasa proses melahirkan anak dan penjagaan selepas itu. Jadi, apabila seorang isteri bercuti melahirkan anak, adakah penting untuk suaminya juga mendapat cuti “paterniti”?

Ya, sangat penting bagi suami iaitu pekerja lelaki yang berkahwin diberikan cuti paterniti supaya mereka dapat bersama-sama isteri menyambut kelahiran anak, menjaga isteri yang baru melahirkan anak dan bayi yang baru dilahirkan serta menyelesaikan urusan tertentu seperti urusan pendaftaran anak.

Pindaan akta cuti paterniti

ambahan dengan itu, Pindaan Rang Undang-undang (RUU) Kerja (Pindaan) 2021 yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat memperuntukkan cuti paterniti tujuh hari bagi pekerja lelaki berkahwin telah diluluskan pada 21 Mac 2022. Cuti Paterniti ini juga termasuk Hari Rehat dan Hari Kelepasan Am.

Kelayakan cuti paterniti terhad kepada lima kali kelahiran tanpa mengira bilangan isteri dan cuti bermula pada hari isteri bersalin manakala syaratnya ialah pekerja lelaki telah bekerja sekurang-kurangnya 12 bulan dengan majikan sama.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hasim berkata, perubahan itu bertujuan memberi ruang kepada pekerja lelaki dimana isteri mereka yang melahirkan anak untuk menguruskan kelahiran anak dalam tempoh yang mencukupi.

Tambahnya, pemberian cuti paterniti amat penting bagi menenangkan emosi isteri yang masih belum stabil, selain peranan penting yang dimainkan sebagai suami atau bapa yang bertanggungjawab untuk menjaga perihal keluarga.

Oleh itu, dengan perubahan ini pekerja lelaki di sektor swasta turut akan menikmati faedah yang sama seperti penjawat awam.

Pindaan itu juga membabitkan pertambahan cuti melahirkan anak atau bersalin bagi pekerja wanita dari 60 hari kepada 98 hari selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Adakah wajar suami atau pekerja lelaki yang berkahwin mendapatkan cuti paterniti?

Timbalan Pengarah Eksekutif WAO, Yu Ren Chung yang memperjuangkan isu cuti paterniti selama tujuh hari sejak 2015, berkata adalah sangat penting bagi bapa memainkan peranan mereka sejak awal kehidupan anak-anak mereka. Bukan sahaja perkembangan anak, tetapi isteri dari segi kesembuhan dan kesanggupan kembali ke pejabat atau tempat mereka bekerja.

“Penjagaan keluarga merupakan isu terbesar dan penyebab kaum wanita berhenti bekerja. Sukar untuk mereka kembali semula bekerja sekalipun mereka mahu berbuat demikian. Kita perlu buat sesuatu untuk mengubah tetapan minda ini serta menghapuskan stereotaip gender yang mengehadkan kebebasan ekonomi wanita,” ulas beliau.

Walau bagaimanapun, sesetengah majikan terutamanya syarikat kecil, tidak dapat atau tidak mahu memberi pekerja mereka cuti paterniti lanjutan. Tinjauan WAO 2020 mendapati bahawa suami kepada 257 wanita yang mempunyai anak-anak, tidak dapat mengambil cuti paterniti yang sewajarnya atau diberi cuti kurang daripada seminggu. 

Keadilan buat pekerja di sesebuah organisasi

Sebahagian daripada masalah yang menyebabkan Malaysia tidak begitu bersedia untuk memberikan cuti bersalin yang lebih adil kepada ibu bapa adalah kerana tetapan minda tentang peranan gender dan penjagaan anak yang agak ketinggalan, iaitu kaum lelaki dilihat sebagai pencari nafkah sementara wanita bertanggungjawab menjaga dan membesarkan anak.

Perkara ini disokong oleh data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, yang menunjukkan penyertaan wanita dalam ekonomi pada 55.3%, antara yang terendah di Asia Tenggara. Kajian susulan mendapati ramai pekerja wanita bertindak untuk berhenti bekerja selepas melahirkan anak.

Jika lelaki dan wanita diberi peluang untuk menikmati faedah yang sama daripada manfaat cuti selepas melahirkan anak, penjagaan anak serta mereka dapat membahagikan tanggungjawab secara adil sesama mereka, maka masalah sedemikian akan dapat diselesaikan dan negara akan dapat membawa wanita kembali ke pasaran tenaga kerja.

Kepentingan cuti paterniti

Sememangnya cuti selama 3 hari sebelum ini untuk suami atau pekerja lelaki yang berkahwin ini tidak mungkin mencukupi buat isteri, kerana ia terlalu singkat.

Ramai di antara mereka mengambil cuti tambahan sama ada menggunakan cuti tahunan atau pun ada yang memang sanggup mengambil cuti selama beberapa hari atau minggu tanpa gaji.

Namun dengan Pindaan Rang Undang-undang (RUU) Kerja (Pindaan) 2021, telah memberi cuti paterniti selama 7 hari kepada suami dan pekerja lelaki yang berkahwin sedikit sebanyak memberi nafas lega semasa membantu proses menguruskan isteri dan anak.

Walaupun tempoh cuti paterniti selama 7 hari agak singkat, tetapi sekurang-kurangnya dalam tempoh yang singkat itu dapat membantu mengurangkan tekanan dan bebanan yang dihadapi isteri pada awal-awal kelahiran anak, terutama bagi pasangan yang pertama kali menimang cahaya mata.

Walaupun terdapat perkhidmatan penjagaan selepas bersalin yang ditawarkan oleh banyak agensi berbayar di luar sana. Namun, hakikat yang perlu disedari adalah bukan semua pasangan mampu untuk mendapatkan khidmat penjagaan selepas bersalin berbayar untuk menjaga isteri ketika dalam proses pantang. Malah lebih menyedihkan terdapat juga pasangan yang tidak dapat menyediakan keperluan bayi yang lengkap dan tertekan dengan kos perubatan yang semakin meningkat.

Jadi sebenarnya, kehadiran suami selepas proses kelahiran anak, bukan sahaja untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan antara ibu bapa dan anak, tetapi cuti tersebut sebenarnya sebagai bantuan untuk meringankan bebanan dan tekanan yang mungkin dihadapi isteri.

Kerajaan yang peka haruslah cakna mengenai kesejahteraan masyarakat, keputusan memperuntukkan cuti paterniti selama 7 hari kepada suami dan cuti paterniti selama 98 hari bagi isteri telah membuktikan keprihatinan atas kebajikan rakyat di negara ini.

Leave a Reply