Skip to main content

Tahukah anda bermula 1 Januari 2023 anda boleh memohon kepada majikan untuk mengubah sama ada waktu bekerja, hari bekerja, tempat kerja atau ketiga-tiganya sekaligus?

Perkara ini mungkin ramai terlepas pandang tetapi ia termaktub pada Bahagian 9C, Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 di bawah Aturan Kerja Fleksibal (AKF).

Bagi yang masih tidak perasan dengan kewujudan AKF pada Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022, artikel ini akan memberi penerangan tentangnya dan menjelaskan hak-hak pekerja serta majikan berkaitan aturan baru ini.

Aturan Kerja Fleksibel, Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022

Pasti ramai masih ingat dengan kemudahan kerja hibrid yang diperkenalkan pada tahun 2020 ekoran penularan Covid-19. Ketika waktu itu trend kerja dari rumah atau work from home (WFH) jadi pilihan penyelesaian utama oleh kebanyakan syarikat.

Mungkin ada yang menyukai WFH dan mungkin ada yang tidak, tetapi trend tersebut dilihat semakin popular di Malaysia dengan beberapa syarikat dilihat masih lagi mengamalkannya walaupun penularan Covid-19 kian reda.

Selaras dengan trend WFH bekas Menteri Sumber Manusia, M. Saravanan telah memasukkan AKF ke dalam pindaan Akta Kerja 1955. Malah, Menteri Sumber Manusia yang baru iaitu V. Sivakumar turut mengekalkan bentuk pindaan ini dalam usaha untuk meningkatkan ekonomi dan kualiti hidup pekerja.

Pada Bahagian 9C dalam Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 ada menerangkan bahawa AFK telah diwujudkan bagi memenuhi keperluan semasa dan dalam keadaan yang diperlukan seperti bagi membendung penularan Covid-19.

Pada bahagian 9C ini juga ada menerangkan bahawa seorang pekerja boleh memohon mana-mana 3 bentuk AFK iaitu:

  • Perubahan waktu bekerja
  • Perubahan hari bekerja
  • Perubahan tempat kerja

Hak-Hak Pekerja dan Majikan untuk Aturan Kerja Fleksibel

Tapi macam mana nak mohon AKF ini?

Anda mungkin terbayang permohonan AKF perlu mengisi borang khas dan mendapatkan cop dari pihak kerajaan tetapi sebaliknya, anda hanya perlu membuat permohonan secara tertulis sahaja kepada majikan sahaja.

Ini bermakna anda hanya perlu menulis surat rasmi kepada majikan untuk memohon mana-mana bentuk AKF tersebut. Tentunya, anda perlu kemukakan sebab serta alasan yang kukuh untuk memohon AKF dan bukannya secara suka-suka.

Kemudian, majikan perlu memberi maklum balas terhadap permohonan AKF sama ada lulus atau tidak dalam tempoh 60 hari daripada tarikh penerimaan. Di sini majikan turut perlu mengeluarkan notis secara bertulis berkenaan keputusan yang dibuat.

Suka diingatkan bahawa majikan boleh memutuskan untuk menolak permohonan AKF pekerja tetapi dengan alasan yang kukuh. Hal ini kerana, perlaksanaan AKF bukanlah satu paksaan tetapi lebih kepada satu galakan bersifat perundangan seperti yang dijelaskan oleh Menteri Sumber Manusia sebelum ini.

Selain itu, jika majikan meluluskan permohonan AKF ia tidak bermaksud pekerja itu kehilangan hak untuk cuti rehat dan cuti tahunannya. Tetapi majikan boleh menentukan tempoh AKF yang diberikan seperti perlaksanaan AKF untuk 6 bulan atau 3 bulan.

Kesesuaian dan Keperluan Aturan Kerja Fleksibel

Mungkin ramai beranggapan perlaksanaan AFK perlu dilaksanakan oleh semua industri, tetapi suka untuk diingatkan bahawa ia adalah satu saranan yang digalakkan oleh kerajaan sahaja. Pada awal pengenalannya, pindaan ini telah ditangguhkan beberapa kali bagi memberi masa untuk setiap syarikat melalui proses pemulihan dan adaptasi.

Mengikut budi bicara majikan, AKF mungkin boleh dilaksanakan dalam industri bukan pengeluaran seperti bahagian Pemasaran atau Teknologi Maklumat (IT). Tetapi AKF dilihat kurang sesuai untuk diamalkan dalam industri perkhidmatan dan perhotelan kerana sifat kerja tersebut memerlukan pekerja berada di lokasi kerja.

Memang tidak dinafikan AKF boleh memberi manfaat kepada pekerja dari segi keseimbangan hidup dan kerja yang lebih baik, selain dapat meningkatkan moral pekerja apabila bekerja dalam persekitaran yang selesa.

Bagi pihak majikan pula AKF dapat bantu mengurangkan kos di pejabat, selain meningkatkan produktiviti pekerja apabila pekerja berasa lebih bersemangat untuk bekerja dengan adanya fleksibiliti yang ditawarkan oleh majikan.

Jadinya manfaatkan peluang AFK jika majikan membenarkan anda untuk mengambilnya. Jangan sesekali mengambil kesempatan terhadap kemudahan yang telah diberikan ini untuk ponteng kerja pula!