Skip to main content

Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 secara rasminya berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 dan terdapat beberapa perubahan diperkenalkan yang memberi manfaat kepada pekerja di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Antara pindaan baharu yang diperkenalkan adalah penambahan jumlah Cuti Bersalin kepada 98 hari untuk pekerja wanita dan jumlah Cuti Paterniti dinaikkan kepada 7 hari untuk pekerja lelaki. 

Cadangan pindaan untuk jumlah Cuti Bersalin dan Cuti Paterniti ini telah dipersetujui sebulat suara di Parlimen dan ia dirangka supaya selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Ceraian SR.5.4.2 yang menitikberatkan konsep mengutamakan keluarga.

Ini merupakan satu berita baik kepada para pekerja di Malaysia terutamanya kaum wanita yang bimbang tidak diberi tempoh rehat yang mencukupi selepas bersalin untuk menjaga diri sendiri dan anak yang baru dilahirkan. 

Namun, apakah manfaat Cuti Paterniti 7 hari diperkenalkan kepada pekerja lelaki bergelar bapa? Teruskan membaca artikel ini untuk ketahui hak-hak anda sebagai pekerja yang bergelar bapa dan keperluan jumlah cuti tersebut diperkenalkan.

Cuti Paterniti Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022

Seiring penambahan jumlah Cuti Bersalin untuk pekerja wanita, jumlah Cuti Paterniti untuk pekerja lelaki turut dinaikkan daripada 3 hari kepada 7 hari. Ini bermakna pekerja lelaki sektor swasta akan menerima faedah yang sama seperti penjawat awam di bawah pindaan baru ini.

Tujuan Cuti Paterniti ini diperkenalkan adalah sebagai kemudahan untuk pekerja lelaki menjaga isteri dan anak yang baru dilahirkan, serta memberi masa untuk menguruskan hal-hal berkaitan kelahiran seperti pendaftaran kelahiran. 

Menariknya, Cuti Paterniti ini adalah cuti berbayar. Merujuk Seksyen 60FA Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022, terdapat beberapa syarat yang telah ditetapkan untuk seorang pekerja itu layak menerima bayaran semasa Cuti Paterniti iaitu: 

  • Seorang pekerja itu mesti SAH berkahwin dengan pasangannya
  • Seorang pekerja itu telah bekerja sekurang-kurangnya 12 bulan dengan majikan yang sama
  • Seorang pekerja itu perlu maklumkan kepada majikannya sekurang-kurangnya 30 hari sebelum isterinya bersalin atau seawal mungkin selepas kelahiran
  • Kelayakan Cuti Paterniti berbayar ini terhad kepada 5 kali kelahiran tanpa mengira bilangan isteri pekerja itu.

Di sini penting untuk anda faham bahawa syarat kelayakan Cuti Paterniti berbayar terhad kepada 5 kali kelahiran tanpa mengira bilangan isteri bermaksud jika seseorang itu memiliki 2 orang isteri dan kedua-duanya bersalin dalam tahun yang sama, maka ia dikira sebagai dua (2) kali kelahiran.

Tetapi kes ini berbeza pula jika terdapat anak kembar di mana ia akan dianggap sebagai satu (1) kelahiran. Jika terdapat anak kembar 3 mahupun 4 atau 5 dalam satu masa ia tetap akan dianggap sebagai satu (1) kelahiran.

Satu lagi syarat yang ditetapkan dalam seksyen ini adalah tempoh waktu Cuti Paterniti ini termasuk dalam hari rehat mingguan, Cuti Sakit dan Cuti Umum. Turut digariskan juga cuti 7 hari ini bersifat berterusan. Ini bermakna seorang pekerja itu tidak boleh ambil cuti pada Isnin kemudian Selasa masuk kerja dan Rabu cuti semula.

Keperluan Cuti Paterniti

Keperluan Cuti Paterniti ini tidak boleh diambil ringan oleh mana-mana pihak. Hal ini kerana kehadiran suami dan bapa adalah sangat penting kepada ibu serta bayi terutamanya dalam minggu pertama selepas kelahiran.

Wanita yang baru lepas bersalin biasaanya akan mengalami perubahan hormon yang drastik sehingga mengganggu emosi. Semasa dalam tempoh ini seorang wanita itu akan kerap berasa lesu dan memerlukan masa 4 ke 6 minggu untuk kembali pulih. Pada sesetengah kes ia boleh membawa kepada kemurungan dan risiko untuk mencederakan diri serta bayi.

Di sinilah kehadiran para suami amat penting bukan sahaja untuk membantu dari segi sokongan emosi kepada isteri, malah bantuan dari segi fizikal untuk menguruskan hal-hal berkaitan bayi yang baru sahaja dilahirkan.

Walaupun jumlah cuti yang diperuntukan hanya 7 hari, tetapi ia amat bermakna dan sangat diperlukan oleh semua pihak. Jadi kepada pekerja lelaki yang bergelar bapa ingatlah bahawa selain tanggungjawab bekerja dan mencari rezeki, anda juga memiliki tanggungjawab terhadap keluarga.

Manfaatkan kelebihan Cuti Paterniti yang diberi untuk menguruskan segala hal berkaitan isteri dan anak kerana mereka adalah satu amanah yang menjadi tanggungjawab kepada anda untuk dijaga.

Leave a Reply