Skip to main content

Sebagai rakyat Malaysia anda memilik tanggungjawab terhadap negara. Salah satunya adalah dengan membayar cukai pendapatan bagi mereka yang layak dikenakan cukai. Kepentingan cukai pendapatan ini tidak boleh diambil ringan oleh mana-mana pihak.

Cukai pendapatan yang dibayar merupakan antara sumber utama pendapatan kerajaan yang akan digunakan bagi membiayai pelbagai pembangunan, perkhidmatan dan kebajikan untuk kesejahteraan rakyat serta negara.

Jadi maksudnya individu yang menerima pendapatan bersifat hasil seperti keuntungan perniagaan, penggajian, dividen, faedah atau diskaun, sewa, royalti atau premium di dalam Malaysia perlu membayar cukai.

Tapi persoalannya bagaimana pula dengan dengan pendapatan yang diterima dari luar negara? Adakah pendapatan yang diterima dari luar negara juga mesti dikenakan cukai?

Sistem Pencukaian Di Malaysia

Sebelum sentuh tentang cukai pendapatan yang diterima dari luar negara, anda perlu faham terlebih dahulu tentang sistem percukaian yang di amalkan dalam Malaysia.

Sistem cukai pendapatan yang diamalkan Malaysia bersifat progresif, ini bermakna kadar cukai yang dikenakan terhadap seseorang individu itu meningkat ikut jumlah pendapatan yang diperolehi.

Hasil jumlah pendapatan itu boleh diperolehi sama ada dari dalam Malaysia atau dari luar Malaysia pada setiap tahun taksiran, dan individu itu mesti mendaftar sebagai pembayar cukai di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Terdapat dua jenis cukai di Malaysia iaitu Cukai Langsung yang dikenakan terhadap pendapatan individu atau perniagaan, dan Cukai Tidak Langsung yang dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan yang diimport serta dijual dalam negara.

Menariknya, individu yang layak dikenakan cukai boleh membuat Potongan Cukai Bulanan (PCB) daripada gaji yang bertujuan untuk meringankan beban pembayar cukai secara ansuran.

Tempoh pembayaran cukai pendapatan pula adalah antara bulan Mac dan April setiap tahun, maka bulan-bulan ini juga dikenali sebagai musim cukai pendapatan. Pada tempoh ini juga majikan akan mula mengeluarkan EA Form bagi tujuan pengisytiharan pembayar cukai.

Cukai Pendapatan Luar Negara

Seperti yang dinyatakan tadi, setiap pendapatan yang diperoleh sama ada dari dalam Malaysia atau dari luar Malaysia perlu dikenakan cukai pendapatan.

Tetapi sehingga 2004 pendapatan yang diperoleh dari luar Malaysia dikecualikan daripada cukai. Malah, kerajaan baru-baru ini juga mengecualikan cukai ke atas pendapatan yang diterima dari luar negara bermula 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026.

Menurut LHDN pengecualian cukai pendapatan yang diterima dari luar negara ini terpakai kepada pembayar cukai pemastautin termasuk syarikat perkongsian liabiliti terhad dan individu, kecuali yang jalankan perniagaan perkongsian di Malaysia.

Ringkasan bagi pengecualian cukai ke atas pendapatan luar negara adalah seperti berikut:

  • Syarikat, LLP, dan rakan kongsi individu yang berhubung dengan perniagaan perkongsian di Malaysia
    • Pendapatan dividen telah dikenakan cukai di negara asal
    • Kadar cukai tertinggi di negara asal tidak kurang daripada 15%
    • Mematuhi keperluan bahan ekonomi
  • Individu yang telah dikenakan cukai pendapatan di negara asal, kecuali pendapatan perkongsian
  • Syarikat pemastautin, PLT pemastautin atau individu pemastautin sedang berhubung dengan perniagaan perkongsian di Malaysia yang
    • Menggaji pekerja dengan kelayakan yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti ekonomi di Malaysia
    • Membuat perbelanjaan mengurus yang mencukupi untuk menjalankan aktiviti ekonomi di Malaysia

Dalam bahasa mudahnya, pendapatan dari sumber luar atau Foreign Source Income (FSI) tidak akan dikenakan cukai pendapatan buat masa ini sehingga 2026. Rujukan untuk kefahaman lanjut boleh dibuat pada laman rasmi LHDN dan Akta Cukai Pendapatan 1967.

Walau apa pun keputusan tentang cukai pendapatan sama ada dari sumber dalam Malaysia atau luar negara, jika anda layak dikenakan cukai pendapatan maka anda perlu menjalankan kewajipan membayar cukai.

Ingat, cukai pendapatan yang dibayar akan dikembalikan kepada anda dalam pelbagai bentuk infrastruktur. Lebih menarik lagi terdapat pelepasan cukai dan rebat cukai yang ditawarkan setiap tahun.

Pastikan anda ambil maklum tentang pelepasan cukai dan rebat cukai yang ditawarkan supaya anda tidak terlepas kelebihan yang ada sebagai pembayar cukai di Malaysia.

beza rest day dan off day
Asas HR

Beza Antara Rest Day dan Off Day

Zahin ByondZahin ByondDecember 6, 2024

Leave a Reply