Skip to main content

Sekali lagi musim cukai pendapatan telah tiba! Cukai pendapatan merupakan salah satu sumber utama pendapatan kerajaan yang digunakan untuk membiayai pelbagai pembangunan, perkhidmatan, dan kebajikan bagi kesejahteraan rakyat dan negara. Sama ada anda baru memulakan kerjaya atau ingin menambah pengetahuan anda, artikel ini akan membantu anda memahami tanggungjawab anda sebagai pembayar cukai di Malaysia.

Tidak dinafikan ramai yang menganggap bahawa menyediakan dan memfailkan cukai pendapatan di Malaysia setiap tahun adalah suatu yang mencabar. Proses ini boleh menimbulkan kebingungan, terutamanya bagi mereka yang tidak terbiasa. Ini menyebabkan masih terdapat individu yang gagal memenuhi tanggungjawab mereka dalam membayar cukai pendapatan

Sebelum kita melangkah lebih jauh, jom kita fahami apakah itu cukai pendapatan dan adakah anda perlu membayarnya?

Apakah Itu Cukai Pendapatan

Cukai pendapatan ialah cukai yang dikenakan pada setiap tahun terhadap seseorang yang menerima pendapatan bersifat hasil seperti:

a)    Laba / keuntungan daripada sesuatu perniagaan;

b)    Laba / keuntungan daripada penggajian;

c)     Dividen, faedah atau diskaun;

d)    Sewa, royalti atau premium;

e)    Pencen, anuiti atau bayaran berkala lain; dan

f)     Laba / keuntungan yang tidak termasuk dalam mana-mana butiran di atas.

Sistem cukai pendapatan di Malaysia adalah progresif dan bermaksud kadar cukai yang dikenakan akan meningkat mengikut jumlah pendapatan yang diperolehi. Selain itu, jenis pendapatan tertentu juga mempunyai kadar cukai khas. Cukai pendapatan di Malaysia direka bentuk sebagai “wilayah” iaitu individu atau entiti hanya dikenakan cukai ke atas pendapatan yang diperolehi dalam negara sahaja.

Cukai di bawah Pengurusan HASiL

Dalam sistem cukai di Malaysia, terdapat dua jenis cukai utama iaitu Cukai Langsung dan Cukai Tidak Langsung.

  • Cukai Langsung ialah cukai yang dikenakan secara langsung ke atas pendapatan atau kekayaan individu atau perniagaan. Ia dikendalikan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau HASiL. Cukai Langsung di Malaysia termasuklah Cukai Pendapatan, Cukai Keuntungan Harta Tanah, Cukai Perniagaan, Cukai Petroleum, Duti Setem, Duti Harta Pusaka, dan cukai lain yang telah dipersetujui oleh Kerajaan dan LHDN.
  • Cukai Tidak Langsung pula adalah cukai yang dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan yang diimport atau dijual di Malaysia. Contoh-contohnya termasuk Cukai Jualan, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Cukai Eksais, dan Cukai Import.

Siapa perlu bayar cukai pendapatan?

Cukai pendapatan dikenakan ke atas individu untuk pendapatan yang diperoleh di Malaysia atau diterima dari luar Malaysia pada setiap tahun taksiran. Seseorang individu perlu mendaftar sebagai pembayar cukai pendapatan jika memperoleh pendapatan melebihi nilai ambang yang ditetapkan. Jika pendapatan anda kurang daripada had cukai, adalah disyorkan untuk mendaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan melaporkan pendapatan anda.

Pendapatan bercukai dikira dengan  menjumlahkan semua pendapatan yang diperoleh (gaji, dividen, hasil sewaan, royalti, ganjaran, hadiah) tolak pengecualian cukai, pelepasan cukai yang dibenarkan dan potongan cukai. Jika pendapatan anda melebihi RM 34,000 dan mempunyai Potongan Cukai Bulanan (PCB) layak dikenakan cukai sekalipun jika anda bekerja sebagai freelancer atau mempunyai perniagaan sendiri.

Skop pengenaan cukai bergantung kepada status kediaman. Individu yang berstatus sebagai warganegara dikenakan cukai mengikut kadar cukai berperingkat dan layak menuntut potongan cukai mengikut Seksyen 45A hingga Seksyen 49 Akta Cukai Pendapatan. Manakala individu bukan penduduk dikenakan cukai pada kadar tetap 30% dan tidak layak untuk menikmati sebarang potongan.

Pendapatan dari luar Malaysia yang diimport ke Malaysia dikecualikan daripada cukai pendapatan, kecuali jika dianggap diperoleh di Malaysia oleh individu yang tidak bermastautin di Malaysia. Ketahui lebih lanjut mengenai kategori pembayar cukai di sini

Apakah Yang Patut Saya Lakukan Jika Saya Layak Dikenakan Cukai?

Salah satu laman web penting yang perlu anda ketahui ialah ezHASiL yang membolehkan anda untuk mengisytiharkan pendapatan seperti gaji, dividen, faedah, penyewaan hartanah, bonus, dan lain-lain lagi.

Jika ini merupakan kali pertama anda membuat deklarasi cukai pendapatan, anda perlu mendaftar terlebih dahulu melalui aplikasi e-Daftar dalam sistem MyTax untuk mendapatkan nombor cukai pendapatan. Kemudian, kunjungi cawangan LHDN terdekat untuk mendapatkan maklumat lanjut sebelum log masuk ke laman web ezHASiL.

Bagi yang baru mula bekerja atau baru memenuhi syarat dikenakan cukai pendapatan, perlu membuka fail dengan LHDN terlebih dahulu dengan mendaftar di e-daftar.

Selepas memuat naik salinan kad pengenalan dan disahkan LHDN, pemohon akan diberikan nombor PIN untuk akses ke sistem e-filing.

Di dalam laman web ezHASiL, anda boleh memilih borang yang sesuai untuk e-Filing seperti Borang BE untuk individu tanpa perniagaan dengan tarikh akhir penghantaran pada bulan April, atau Borang B untuk individu yang mempunyai perniagaan dengan tarikh akhir penghantaran pada bulan Mei.

Pengecualian cukai

Terdapat beberapa jenis pendapatan yang dikecualikan daripada cukai, termasuklah faedah bank, manfaat kesihatan dan perubatan, bayaran persembahan kebudayaan, biasiswa, pencen, kemudahan perjalanan, elaun perjalanan, bayaran keuntungan modal, dividen, royalti, dan bayaran kepakaran. Walau bagaimanapun, jumlah atau kadar pengecualian bergantung pada syarat-syarat yang ditetapkan.

Untuk mengetahui senarai penuh pelepasan cukai yang layak anda dapat, sila rujuk laman web LHDN. Secara umumnya, setiap individu akan diberi pelepasan cukai automatik sebanyak RM9,000. Bagi individu yang beragama Islam, rebat cukai boleh dituntut untuk zakat dan fitrah.

Terdapat juga pelepasan cukai untuk perbelanjaan perubatan, pendidikan di universiti dalam Malaysia, dan juga perbelanjaan peralatan teknologi seperti komputer riba, tablet dan telefon pintar. Kerajaan Malaysia juga telah menambah pelepasan cukai bagi peralatan teknologi sejak pandemik pada tahun 2020, untuk memudahkan kerja di rumah atau work from home.

Apa akan terjadi jika tidak bayar Cukai

Jika anda gagal membayar cukai pendapatan di Malaysia, terdapat tiga akibat utama yang akan berlaku:

  • Pertama, anda akan dikenakan penalti 10% daripada pendapatan bercukai anda, dan penalti 5% selepas sebulan anda gagal bayar. Ini boleh menjadi punca hutang tertunggak dan boleh membawa kesan yang tidak baik.
  • Kedua, tindakan mahkamah boleh diambil jika hutang cukai masih belum diselesaikan. Harta benda dan barang peribadi anda boleh disita dan anda juga boleh dipenjarakan.
  • Ketiga, sekatan perjalanan keluar negara boleh dikenakan jika anda masih berhutang cukai. Ini akan memberi kesan kepada perniagaan anda serta kualiti hidup anda. Sebaiknya, elakkan daripada berdepan dengan masalah ini dengan membayar cukai tepat pada waktunya.

Membayar cukai tanggungjawab

Sebagai orang yang mempunyai pendapatan yang lebih tinggi berbanding kebanyakan rakyat Malaysia, kita mempunyai tanggungjawab untuk membayar cukai pendapatan setiap tahun. Walaupun cukai sering dikaitkan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), ia sebenarnya adalah isu yang perlu diambil berat oleh semua individu yang mendapat pendapatan melebihi RM36,000 setahun, terutamanya usahawan dan pemilik perniagaan.

Meskipun cukai bukanlah topik yang sering dibincangkan, ia adalah tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk membayar cukai dan memastikan bahawa kita memberi sumbangan kepada pembangunan negara. Anda boleh merujuk laman web LHDN untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai cukai dan pelepasan cukai yang anda layak untuk dapatkan. Jadi, mari kita jalankan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia dengan membayar cukai dengan ikhlas dan memastikan negara kita terus maju dan membangun.

Leave a Reply