Skip to main content

Pada pentengahan tahun lepas Sepanyol menjadi negara Eropah pertama meluluskan rang undang-undang cuti haid atau menstrual leave yang membenarkan pekerja wanita mengambil cuti berbayar ketika datang bulan.

Kemudian menjelang akhir tahun lepas juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan inisiatif pemberian tuala wanita percuma bagi membendung masalah kemiskinan haid yang berlaku dalam negara.

Penglibatan wanita dalam dunia pekerja yang semakin meningkat ini dipandang serius oleh kebanyakan pihak dan pelbagai usaha diperkenalkan dalam menyediakan keselesaan kepada pekerja tanpa mengira jantina.

Jadi adakah dengan pelancaran inisiatif pemberian tuala wanita percuma ini menandakan Malaysia juga bakal memperkenalkan cuti haid kepada tenaga kerja wanita tidak lama lagi?

Sejarah Cuti Haid

Kebanyakan wanita mengalami haid setiap bulan dan prosesnya agak menyakitkan sehingga boleh menyebabkan muntah-muntah, sakit pinggang, pening dan keletihan. Sungguhpun tempoh kesakitannya sekejap tetapi kesannya boleh berlarutan.

Atas dasar itu beberapa negara telah lama mengambil inisiatif untuk membenarkan pekerja wanita bercuti ketika datang haid tetapi masih dibayar, dan berasingan daripada cuti sakit biasa.

Rekod awal cuti haid boleh dikenal pasti bermula di Jepun pada tahun 1947 apabila perundangan negara Matahari Terbit itu menyatakan syarikat di sana perlu memberi cuti kepada pekerja wanita yang memohonnya.

Ketika itu asalnya syarikat tidak perlu membayar gaji kepada pekerja wanita Jepun yang memohon cuti haid, tetapi tinjauan yang dibuat mendapati kira-kira 30% majikan di sana masih membayar gaji pekerja wanita secara penuh.

Negara jirannya Korea Selatan juga memiliki polisi cuti haid tersendiri dengan menyatakan pekerja wanita layak dapat 1 hari cuti haid sebulan dan majikan yang enggan meluluskannya boleh dikenakan denda.

Beralih ke Asia Tenggara, negara seperti Taiwan membenarkan pekerja wanita ambil cuti haid 3 hari setahun sementara negara seberang Indonesi pula meluluskan cuti haid berbayar untuk 2 hari setahun pada tahun 2003.

Lebih mengejutkan lagi negara Zambia yang terletak di benua Afrika juga perihatin terhadap pekerja wanitanya dengan meluluskan perundangan cuti haid tanpa keperluan memberi notis awal kepada majikan pada tahun 2015 lagi.

Di sini boleh dikatakan cuti haid bukan suatu benda baru dan sudah ada perlaksanaannya di kebanyakan negara demi menjaga kebajikan pekerja wanita dalam dunia pekerjaan.

Mampukah Malaysia Berikan Cuti Haid?

Setakat ini Malaysia masih belum memperkenalkan sebarang perundangan melibatkan cuti haid. Tetapi inisiatif pemberian tuala wanita percuma yang dimulakan KKM dilihat sebagai langkah awal yang terbaik untuk memberi keselesaan kepada pekerja wanita.

Objektif KKM itu bukan sahaja sebagai bentuk keselesaan kepada pekerja wanita tetapi bagi membuka mata semua mengenai masalah kemiskinan haid yang berlaku di dalam negara dan di luar.

Apabila bercakap tentang perlaksanaan cuti haid dalam konteks negara, tentunya Malaysia tidak mengamalkannya dan satu-satunya cuti yang melibatkan pekerja wanita tetap dibayar gaji penuh adalah cuti bersalin.

Hal ini kerana menurut pakar kesakitan haid bukan dihadapi oleh semua wanita, hanya segelintir sahaja yang mengalami kesakitan yang teruk sehingga memerlukan perhatian perubatan. Mungkin atas faktor itu cuti haid tidak ditawarkan sebaliknya cuti bersalin ditambah.

Atas faktor itu juga di bawah pindaan baru Akta Kerja 1955, tempoh cuti bersalin pekerja wanita telah dinaikkan kepada 98 hari daripada 60 hari bagi menyelaraskannya dengan saranan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). 

Walaupun masih belum mengamalkan cuti haid, Malaysia dilihat sudah mula perihatin terhadap keselesaan dan kebajikan pekerja wanita. Ini juga membuktikan sumbangan wanita dalam tenaga kerja Malaysia sangat besar dan hak mereka terus diperjuangkan.

Leave a Reply