Skip to main content

Majikan pastinya mahukan seorang pekerja yang rajin, bermotivasi dan perform dalam menjalankan tugasan diberi. Sementara, pekerja pula mestinya mahukan seorang majikan yang responsif dan memahami kemahuan pekerja.

Apabila adanya majikan yang memahami kemahuan pekerja dan pekerja juga bermotivasi bekerja untuk syarikat, maka tercipta satu perhubungan kerja yang kukuh antara kedua-dua pihak.

Dan bila hubungan kerja antara majikan serta pekerja ini mengkukuh, tiada isu pekerja hantar notis berhenti kerja 24 jam atau timbulkan masalah sehingga melanggar persetujuan kontrak perkhidmatan.

Tetapi bagaimana pula jika hubungan kerja antara majikan dan pekerja ini tidak terjalin? Di sinilah berlakunya quiet quitting dan quiet firing yang dilihat menjadi trend dalam dunia pekerjaan kini.

Quiet Quitting

Sejak akhir ini trend quiet quitting dilihat semakin meningkat dalam kalangan pekerja, terutamanya mereka yang memasuki tahun kedua dan ketiga perkhidmatan tanpa mengira sektor swasta atau awam di Malaysia.

Sungguhpun ada perkataan quitting atau berhenti kerja, ia sebenarnya tidak merujuk pada keadaan pekerja berhenti kerja atau menamatkan perkhidmatan secara senyap-senyap tetapi sebaliknya.

Quiet quitting berlaku apabila pekerja tidak menunjukkan kesungguhan untuk bekerja, selalunya enggan membuat kerja lebihan yang melampaui tugasan hakiki yang diberikan. Mudahnya, pekerja mahu mengelak daripada melakukan kerja tambahan.

Ini sebenarnya melibatkan motivasi pekerja yang tidak mahu membuat kerja lebihan, luar dari tugasan utama diberikan syarikat atas beberapa sebab. Ia juga berkait rapat dengan sentimen keseimbangan hidup-kerja (work-life balance).

Atas faktor itu sukar untuk mengatakan quiet quitting ini suatu trend yang tidak baik atau sebaliknya. Boleh jadi pekerja quiet quitting kerana dibayar gaji minimum dan tidak setimpal usaha lebihan atau mahu mencapai kesimbangan kerja serta keluarga.

Tetapi dari sudut syarikat, quiet quitting ini adalah lebih banyak keburukan dari kebaikanya. Perbuatan ini bukan sahaja mencetus rasa tidak senang antara pekerja dan majikan tapi boleh beri kesan kepada prestasi kerja pekerja.

Contoh mudah situasi quiet quitting adalah bila pekerja buat kerja tangkap buat berdasarkan apa yang dirasanya setimpal dengan kadar gaji dibayar atau buat kerja sekadar cukup syarat sahaja.

Quiet Firing

Istilah quiet firing ini seperti namanya merujuk kepada situasi di mana majikan sengaja menyusahkan pekerja sehingga menyebabkan pekerja membuat keputusan untuk berhenti atas kerelaan sendiri.

Dalam bahasa mudahnya, quiet firing adalah cara majikan pecat pekerja tanpa bercakap depan-depan sebaliknya menggunakan taktik kotor seperti membuat pekerja tertekan hingga pekerja itu berhenti dengan sendirinya.

Perbuatan quiet firing ini sebenarnya melibatkan konflik kepentingan diantara majikan dan pekerja, selalunya terjadi bila majikan tidak mahu menanggung kos ganti rugi notis atau enggan merosakkan reputasi syarikat.

Pada sesetengah kes pula quiet firing boleh berlaku secara halus tanpa membuang pekerja seperti sengaja menurunkan pangkat, menukar tugasan secara tiba-tiba, memulaukan pekerja atau menukar kondisi tempat kerja sehingga mencipta ketidakselesaan pekerja.

Selalunya quiet firing ini jarang berlaku antara majikan dengan pekerja yang berjawatan rendah, ia lebih cenderung berlaku terhadap pekerja dengan jawatan tinggi yang ada kepentingan dalam syarikat. Boleh juga jadi majikan sengaja quiet firing kerana pekerja buat quiet quitting.

Tentunya perang psikologi quiet quitting dan qiuet firing ini pasti tidak akan berakhir dengan baik atau menang-menang pada mana belah pihak. Komunikasi adalah perkara penting dalam menyelesaikan sebarang masalah di tempat kerja.

Bagi memerangi quiet quitting majikan seharusnya sentiasa bersedia untuk mendengar dan pertimbangkan cadangan pekerja kerana pekerja semestinya mahukan seorang boss yang memahami kehendak dan kemahuan pekerja.

Majikan juga tidak seharusnya salah menggunakan kuasa yang ada dengan quiet firing kerana perbuatan seperti itu adalah tidak professional dan boleh dikira sebagai satu bentuk pembulian serta penindasan terhadap pekerja.

Leave a Reply