Setiap kali belanjawan tahunan negara dibentangkan, isu cukai selalu menjadi perhatian utama dan mendapat perhatian rakyat. Rakyat menginginkan adanya struktur cukai yang lebih adil dan progresif, sehingga tidak membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menilai impak dan keberkesanan setiap langkah yang diambil dalam memperkenalkan cukai. Selain itu, masyarakat juga perlu memberikan input dan sokongan terhadap pelaksanaan struktur cukai yang lebih progresif demi kebaikan bersama.
Perubahan kepimpinan oleh Kerajaan Madani yang diketuai oleh YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim telah membawa perubahan besar terutamanya dalam Belanjawan 2023. Dato’ Seri Anwar telah mengumumkan beberapa penyesuaian cukai yang meliputi pengenalan cukai baru, peningkatan cukai dan kelonggaran cukai dalam beberapa aspek.
Dalam Belanjawan 2023 yang telah dibentangkan, terdapat sebanyak 19 peruntukan berkenaan cukai yang akan dilaksanakan. Peruntukan ini membincangkan pelbagai aspek mengenai cukai yang berkaitan dengan kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat. Antara peruntukan-peruntukan yang disebutkan adalah:
1. Cukai Barangan Mewah
Kerajaan bercadang memperkenalkan Cukai Barangan Mewah atau Luxury Goods Tax Malaysia mulai tahun ini dengan had nilai tertentu yang akan dikenakan pada jenis barang mewah seperti jam tangan mewah dan barangan fesyen mewah.
2. Cukai Keuntungan Modal
Kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai 2024 pada kadar yang rendah. Sebelum ia dimuktamadkan, kerajaan akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak-pihak yang berkaitan untuk meneliti dengan lebih teliti perincian cadangan tersebut.
3. Duti eksais untuk produk vape
Duti eksais akan dilaksanakan ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik atau vape untuk memastikan peraturan dan kawalan barangan berduti eksais oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dapat ditingkatkan. Hasil duti eksais ini akan diperuntukkan semula kepada KKM sebagai usaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan. Ini adalah salah satu peruntukan oleh Kerajaan untuk memastikan ketirisan hasil negara dapat dielakkan dan rakyat dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.
4. Program pengakuan secara sukarela
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja (JKDM) akan melaksanakan semula program pengakuan secara sukarela. LHDN melalui pendekatan “Awareness, Education and Services” atau A.E.S akan memberikan kerjasama dengan membantu pembayar cukai menjalankan tanggungjawab mereka dengan mudah. Melalui program tersebut, pengampunan ke atas penalti 100 peratus akan diberikan bagi pengakuan sukarela mulai 1 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024 dan disasarkan melibatkan hampir 500,000 pembayar cukai.
5. Pengurangan Kadar cukai M40
Kerajaan bersetuju untuk membantu golongan M40 melalui pengurangan kadar cukai pendapatan individu. Kerajaan akan mengurangkan cukai pendapatan individu sebanyak 2% bagi setiap banjaran pendapatan yang melebihi RM35,000 hingga RM100,000, bermula dari tahun 2023. Pengurangan itu dijangka dapat memberikan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300 kepada kira-kira 2.4 juta pembayar cukai.
6. Peningkatan kadar cukai golongan berpendapatan tinggi
Kerajaan akan meningkatkan kadar cukai bagi mereka yang berpendapatan tinggi, yang melibatkan setiap banjaran pendapatan melebihi RM100,000 hingga RM1 juta. Ini bermakna peningkatan kadar cukai antara 0.5 hingga 2% untuk golongan tersebut. Kira-kira kurang daripada 150,000 pembayar cukai dijangka akan terkesan dengan peningkatan ini.
7. Kadar cukai PMKS
Kerajaan telah bersetuju untuk mengurangkan kadar cukai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang dikenakan ke atas pendapatan bercukai. Langkah ini akan memberikan manfaat kepada 150,000 pembayar cukai PMKS di Malaysia. Kadar cukai PMKS akan dikurangkan dari 17% kepada 15% pada pendapatan bercukai pertama RM 600,000 setahun.
Pengurangan ini dijangka memberikan penjimatan sehingga RM3,000 kepada setiap pembayar cukai PMKS yang layak. Keputusan ini diambil untuk memberikan sokongan kepada perniagaan kecil dan menengah di Malaysia dalam menghadapi cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19.
8. Galakan cukai syarikat pengilangan
Kerajaan telah mengumumkan bahawa mereka akan terus memberikan insentif cukai kepada syarikat pengilangan yang memindahkan operasi ke Malaysia. Melalui insentif ini, kadar cukai 15% akan diberikan kepada C-Suite sehingga tahun 2024. Tujuannya adalah untuk menarik lebih banyak pelaburan daripada syarikat yang terjejas oleh pandemik Covid-19 untuk beroperasi di Malaysia dan menjana ekonomi negara.
Dengan memberikan insentif cukai, ia diharapkan dapat menggalakkan lebih banyak syarikat untuk menubuhkan operasi di Malaysia, membuka peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia dan pada masa yang sama meningkatkan kemajuan industri pengilangan di negara ini.
9. Cukai Kepenggunaan
Kerajaan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk melaksanakan cukai kepenggunaan yang berasas luas seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, keadaan ekonomi semasa yang mencabar serta peningkatan kos sara hidup dan pendapatan rendah bagi beberapa golongan rakyat menjadikan pelaksanaan GST bukanlah suatu pilihan yang sesuai.
10. Insentif cukai pendapatan dan pelaburan bidang aeroangkasa
Kerajaan akan melanjutkan insentif cukai pendapatan serta elaun cukai pelaburan dalam bidang aeroangkasa sehingga 31 Disember 2025. Tujuan utama tindakan ini adalah untuk menggalakkan pengembangan kapasiti syarikat sedia ada dan menarik pelaburan daripada syarikat baharu ke sektor ini. Insentif ini memberikan peluang kepada syarikat aeroangkasa untuk terus berkembang dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
11. Potongan cukai untuk penyenaraian ACE dan LEAP
Kerajaan bercadang untuk melanjutkan potongan cukai untuk perbelanjaan penyenaraian di pasaran ACE dan LEAP sehingga tahun 2025, dengan nilai potongan cukai maksimum sehingga RM1.5. Potongan cukai juga diperluas untuk meliputi kos penyenaraian syarikat berasaskan teknologi di Pasaran Utama Bursa Malaysia. Langkah ini diambil untuk mendorong syarikat untuk mengeluarkan saham mereka ke pasaran dan memudahkan mereka memperoleh pembiayaan yang diperlukan untuk pertumbuhan bisnes.
12. Galakan cukai projek pengeluaran bahan makanan
Kerajaan bercadang untuk melanjutkan tempoh permohonan galakan cukai bagi projek pengeluaran bahan makanan sehingga akhir 2025. Selain itu, skop galakan juga diperluas untuk merangkumi projek pertanian moden yang berasaskan Pertanian Persekitaran Terkawal. Ini bertujuan untuk menggalakkan pembangunan sektor pertanian dan pengeluaran makanan yang kukuh di Malaysia dan membantu meningkatkan ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang.
13. Program pembangunan sukan akar umbi
Kerajaan bersetuju memberikan potongan cukai sebanyak 10% daripada pendapatan agregat kepada individu atau syarikat yang menyumbang kepada organisasi bukan berasaskan keuntungan yang melaksanakan program pembangunan sukan di peringkat akar umbi. Ini adalah sebagai galakan untuk meningkatkan penyertaan dalam sukan dan memperkukuhkan pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
Potongan cukai ini akan memberi manfaat kepada pihak-pihak yang menyumbang kepada program pembangunan sukan, sekaligus meningkatkan minat dan penyertaan dalam bidang sukan di negara ini.
14. Potongan Cukai Kepada Majikan Bekas atlet negara
Potongan cukai akan diberikan kepada majikan yang menggaji bekas atlet negara untuk memberi galakan kepada majikan untuk mengambil bekas atlet selepas tamat bermain sukan. Ini juga membantu bekas atlet untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan selepas sukan dan memberikan peluang untuk mereka membangunkan kemahiran dan pengalaman dalam bidang pekerjaan yang baru.
15. Pengecualian Kepada Industri Filem Negara
Kerajaan bercadang untuk memberikan potongan cukai kepada sumbangan yang dibuat kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan yang diuruskan oleh FINAS. Selain itu, duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran juga akan dikecualikan. Ini bertujuan untuk memberi galakan kepada pembangunan industri filem di Malaysia dan meningkatkan kualiti dan kuantiti kandungan filem negara.
16. Pengecualian Cukai Hospital kebajikan
Kerajaan bersetuju memberikan pengecualian cukai pendapatan kepada hospital kebajikan yang mendaftar sebagai syarikat berhad menurut jaminan. Ini bermakna jumlah perbelanjaan kebajikan mereka akan disamakan dengan jumlah pengecualian cukai pendapatan yang diberikan. Selain itu, para penderma kepada hospital kebajikan tersebut juga akan mendapat potongan cukai sehingga 10%.
17. Perbelanjaan rawatan perubatan
Langkah ini bermakna individu atau penjaga yang membelanjakan wang untuk rawatan perubatan atau pemulihan gangguan perkembangan saraf seperti autisme, sindrom Down dan ketidakupayaan pembelajaran spesifik akan dapat menuntut pelepasan cukai sehingga RM10,000 mulai tahun taksiran 2023.
Had pelepasan cukai akan dinaikkan dari RM8,000 kepada RM10,000, dengan harapan dapat memberi lega kepada mereka yang mempunyai tanggungan kewangan yang tinggi akibat kos rawatan yang tinggi. Skop pelepasan cukai ini juga diluaskan untuk meliputi kos pemulihan gangguan perkembangan saraf seperti autisme, sindrom Down dan ketidakupayaan pembelajaran spesifik.
18. Pemilikan rumah pertama
Kerajaan akan melanjutkan pengecualian duti setem bagi pemilikan rumah pertama. Pengecualian ini termasuk pengecualian sepenuhnya duti setem bagi rumah bernilai RM500,000 ke bawah dan pengecualian duti setem sebanyak 75% untuk rumah bernilai antara RM500,000 hingga RM1 juta. Ini adalah untuk membantu golongan muda membeli rumah pertama mereka dengan lebih mudah dan memberi lebih banyak ruang untuk pembelian rumah di bawah kategori tertentu.
19. Premium insurans nyawa dan caruman takaful hayat
Kerajaan bercadang untuk meluaskan skop pelepasan cukai bagi premium insurans nyawa atau caruman takaful hayat bagi meliputi caruman sukarela kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM3,000. Dalam usaha untuk mendorong rakyat Malaysia menjana lebih banyak simpanan persaraan, pelepasan cukai ini akan membantu individu yang menambah caruman sukarela mereka kepada KWSP untuk mendapatkan manfaat cukai tambahan. Dengan ini, individu akan dapat menikmati perlindungan insurans nyawa atau takaful hayat serta memperoleh manfaat cukai pada masa yang sama.
Pembaharuan ini merupakan sebuah langkah yang sangat bijak dalam pentadbiran dan pengurusan cukai di Malaysia. Galakan cukai dan pengecualian cukai dalam pelbagai bidang seperti perniagaan, keusahawanan, pertanian, sukan, filem dan perubatan serta pengenalan lebih banyak insentif cukai dan pelepasan cukai ini juga bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia menghadapi cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19.
Tindakan ini diharapkan dapat membantu memulihkan ekonomi negara, menggalakkan pertumbuhan syarikat dan perniagaan, meningkatkan taraf hidup rakyat dan memastikan kestabilan dan kemakmuran negara jangka panjang.