Skip to main content

Semasa tahun 2020 lalu kebanyakan majikan terpaksa mengambil keputusan sukar untuk mengurangkan pemberian gaji kepada pekerja akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan operasi syarikat.

Keputusan tersebut walaupun sukar terpaksa ditelan oleh kebanyakan rakyat Malaysia kerana ia adalah pilihan lebih baik berbanding sesetengah syarikat yang terpaksa melepaskan pekerja bagi menampung kos perbelanjaan operasi.

Namun, dengan keadaan semasa yang semakin memulih tiada lagi alasan untuk majikan mengurangkan atau memotong gaji pekerja lebih-lebih lagi bagi mereka yang berada di sektor swasta.

Jadi mari selidik peraturan pemotongan gaji yang boleh dibuat majikan serta hak-hak pekerja yang terkandung dalam Akta Kerja 1955 berkenaan isu pengurangan pemberian nilai upah ini.

Bahagian 4, Akta Kerja 1955

Apabila sentuh berkenaan gaji boleh dikatakan semua menjadi sensitif sehingga ada yang merahsiakan nilai upah yang diterima daripada pasangannya sendiri. Apatah lagi jika majikan membuat keputusan untuk mengurangkan pemberian gaji kepada pekerja.

Oleh itu, Seksyen 24 Akta Kerja 1955 menggariskan perihal tentang potongan-potongan sah yang boleh dibuat oleh majikan. Penting untuk majikan dan pekerja ambil maklum berkenaan perkara ini.

Pada Seksyen 24(1) jelas mengatakan bahawa tiada potongan boleh dibuat majikan daripada gaji seorang pekerja selain daripada yang terkandung dalam Akta. Ini bermakna sebarang potongan yang dibuat seperti potongan caruman perlu mengikut Akta Kerja.

Sungguhpun begitu seorang majikan boleh membuat potongan pada gaji pekerja sekiranya, 

  • Terdapat lebihan bayaran yang dibuat majikan atas kesilapan oleh majikan
  • Potongan indemniti yang perlu dibayar kepada majikan oleh pekerja atas penamatan kontrak tanpa notis
  • Potongan untuk mendapatkan semula wang pendahuluan gaji seperti yang terkandung pada Seskyen 22 berkenaan pendahuluan gaji
  • Potongan yang dibenarkan oleh perundangan bertulis lain (KWSP, PERKESO dan SIP)

Berdasarkan ini jelas bahawa majikan tidak boleh sesuka hati memotong gaji pekerja atas sebab peribadi. Potongan hanya benar dibuat jika terdapat kesalahan pembayaran atau pendahuluan serta potongan wajib lain.

Sebaliknya, potongan gaji oleh majikan boleh dibuat sekirannya pekerja membuat permintaan bertulis untuk

  • Pembayaran pendaftaran kesatuan sekerja (union trade) atau sebarang pinjaman melibatkan kesatuan sekerja
  • Pembayaran mana-mana syer perniagaan majikan yang ditawarkan untuk dijual oleh majikan dan dibeli oleh pekerja

Maka jelas juga di sini bahawa sebarang pemotongan gaji pekerja hanya boleh dibuat jika terdapat permintaan bertulis yang sah. Pekerja juga perlu ambil maklum bahawa potongan gaji hanya boleh dibuat atas sebab kesatuan sekerja atau pembelian perniagaan majikan sahaja.

Dalam pada itu, potongan gaji juga boleh dibuat sekirannya permintaan bertulis pekerja itu mendapat kelulusan Ketua Pengarah. Ini termasuk pembayaran dalam KWSP, PERKESO dan EIS.

Potongan Gaji Yang Dibenarkan

Mengikut penjelasan di atas ternyata majikan tidak boleh memotong gaji pekerja tanpa kerelaan atau permintaan bertulis yang diluluskan Ketua Pengarah. Hanya potongan perundangan (statutori) sahaja yang dibenarkan.

Potongan-potongan tersebut tidak lain tidak bukan adalah untuk tabung persaraan KWSP, dana keselamatan sosial PERKESO dan SIP sahaja. Rujukan untuk sebarang potongan tersebut boleh dibuat pada arkib KWSP/SOCSO/EIS MySyarikat.

Jadi bagaimana jika berlaku kes majikan memotong gaji pekerja secara tanpa pengetahuan?

Tentunya, pekerja boleh membuat aduan kepada Jabatan Tenga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (JTKS) atau Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah. Cara membuat aduan juga pernah diterbitkan sebelum ini.

Ingatlah bahawa majikan tidak boleh sesuka hati mengurangkan gaji pekerja jika tiada permintaan dibuat. Tidak kira walaubagaimana keadaan operasi syarikat, majikan perlu bincangkan perihal gaji dengan pekerja secara telus.

Kesalahan yang sering dibuat majikan adalah dengan menurunkan jawatan untuk mengurangkan gaji pekerja adalah salah dan tidak beretika. Dan pekerja juga harus cuba memahami keadaan majikan untuk mencipta suasana harmoni di tempat kerja.

Leave a Reply