Skip to main content

Bila bekerja dalam sebuah organisasi ada bermacam jenis kerenah yang perlu majikan dan pegawai sumber manusia (HR) hadapi. Makin ramai pekerja, makin banyak cabaran dalam menguruskannya!

Antara cabaran utama yang berlaku dalam sebuah organisasi atau syarikat tentunya tentang isu disiplin pekerja. Sebenarnya isu disiplin pekerja sangat luar untuk dibincangkan, tapi artikel kali ini akan berfokus cara untuk majikan hadapinya.

Isu Disiplin Yang Popular Di Malaysia

Sebelum pergi lebih jauh pasal cara-cara untuk majikan tangani isu disiplin pekerja, mari kaji dulu perkaitannya dengan perundangan kerja di Malaysia.

Seperti yang dikatakan di awal tadi, isu disiplin pekerja sangat luas untuk dibincangkan. Ini kerana Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 dan Akta Perhubungan Perusahan 1967 tidak beri sebarang tafsiran khusus kepada istilah ‘disiplin’ atau ‘salahlaku’.

Sebaliknya Akta Kerja 1955 ada terangkan tentang perlanggaran kontrak pada Seksyen 15, yang mengatakan kegagalan pekerja untuk hadir kerja selama lebih dari 2 hari adalah satu bentuk pelanggaran kontrak.

Benar, kegagalan pekerja hadir bekerja adalah salah satu bentuk isu disiplin pekerja. Ia juga termasuk pergaduhan (Bahagian XV) dan gangguan seksual (Bahagian XVA), yang mana masing-masing juga adalah bentuk isu disiplin pekerja.

Jadinya isu disiplin pekerja ini amat besar dan luas untuk dibincangkan kesemuanya dalam satu perundangan kerja di Malaysia. Tapi ini tidak bermakna tiada peraturan atau cara mengatasinya yang boleh diamalkan oleh syarikat dan majikan.

Antara isu disiplin kerja yang popular dalam kalangan syarikat-syarikat di Malaysia adalah,

  • Pekerja tidak hadir bekerja
  • Pekerja selalu datang lewat bekerja
  • Pekerja tidak berpakaian sesuai untuk bekerja
  • Pekerja mencuri tulang semasa bekerja
  • Pekerja bergaduh atau berpuak-puak di pejabat
  • Pekerja mencuri barangan milik syarikat
  • Pekerja membuat gangguan seksual
  • Pekerja membuat kerja luar ketika waktu kerja
  • Pekerja menjalin hubungan sulit di tempat kerja
  • Pekerja gagal memberikan prestasi kerja yang memuaskan

Perlu diingatkan yang senarai ini adalah hanya sebahagian daripada salah laku pekerja yang boleh dikira melanggar syarat tersurat dan tersirat yang ada pada kontrak perkhidmatan pekerja.

Selalunya syarat-syarat kerja ada ditulis dalam kontrak pekerjaan, tidak kira secara bertulis atau tidak bertulis jadi sebarang pelanggan boleh dianggap salah laku atau kesalahan disiplin.

Jenis Isu Disiplin Pekerja

Dalam pada itu, masalah disiplin pekerja juga boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu:

  1. Kesalahan Kecil (Minor Issue)
    • Kesalahan yang dilakukan tanpa menjejaskan hubungan pekerja dan majikan
    • Tidak menjejaskan reputasi syarikat 
    • Diberi amaran sama ada secara lisan atau surat dari pegawai HR
    • Contohnya datang lambat ke tempat kerja atau berpakaian kurang sesuai
  2. Kesalahan Besar (Major Issue)
    • Kesalahan yang dilakukan sehingga menjejaskan hubungan pekerja dan majikan
    • Boleh menjejaskan reputasi syarikat
    • Kesalahan kecil yang berulang selepas diberi amaran lisan atau surat dari pegawai HR 
    • Contohnya, mencetus pergaduhan di tempat kerja atau melakukan gangguan seksual

Cara Majikan Tangani Isu Disiplin Pekerja

Ada banyak cara yang majikan boleh gunakan untuk hadapi pekerja dengan isu disiplin. Tentu sekali majikan berhak untuk berhentikan pekerja itu dengan alasan masalah disiplin.

Tapi ini tidak bermakna majikan boleh terus buang atau berhentikan pekerja serta-merta. Ikut sisi perundangan, majikan perlu keluarkan notis penamatan perkhidmatan terlebih dahulu sebelum boleh buang pekerja.

Prosedur biasa yang majikan boleh buat untuk berdepan dengan isu disiplin pekerja adalah seperti berikut:

  1. Beri amaran secara lisan dan bertulis – seorang majikan perlu beri amaran terlebih dulu kepada pekerja yang ada masalah disiplin. Bentuk amaran bertulis yang selalunya dibuat adalah dengan mengeluarkan memo.
  2. Beri kaunseling – selepas beri amaran, majikan boleh beri kaunseling kepada pekerja untuk mengetahui situasi yang dihadapi pekerja. Di sini pekerja perlu bersikap jujur dengan masalah yang dihadapi.
  3. Beri surat amaran – andai isu disiplin pekerja masih berulang selepas sesi kaunseling, majikan boleh keluarkan surat amaran. Tujuan surat ini dikeluakan adalah untuk maklumkan kesalahan yang dibuat sudah melanggar kontrak kerja.
  4. Beri notis penamatan perkhidmatan – setelah surat amaran dikeluarkan dan pekerja masih tidak berubah, majikan berhak untuk menamatkan perkhidmatan pekerja itu dengan mengeluarkan notis.

Penting untuk majikan memberi peluang kepada pekerja untuk buat perubahan selepas diberikan amaran secara lisan atau bertulis. Pekerja juga perlu ambil maklum tentang peluang yang diberi jika masih mahu bekerja.

Tidak kira seremeh mana isu disiplin yang terjadi, sama ada datang lambat atau culas ketika buat kerja, jika ia berulang banyak kali dan telah diberi amaran maka pekerja perlu ambil tindakan untuk berubah.

Keharmonian tempat kerja boleh dicapai jika kedua-dua pihak pekerja dan majikan mengambil sikap toleransi dan patuh kepada peraturan kerja secara profesional.

Tips HR

Tips Urus Pekerja Introvert

Zahin ByondZahin ByondMarch 25, 2024

Leave a Reply