Skip to main content

Sebelum ini MySyarikat banyak kongsi topik tentang gaji dari kemaskini gaji minimum; pengiraan gaji dan perbezaan gaji bersih serta gaji kasar. Tetapi kali ini kita lebih mendalami topik gaji dan perkaitannya dengan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022.

Mungkin anda tidak perasan tapi pada pindaan Akta Kerja 1955 ada perubahan kecil tentang pembayaran gaji pekerja. Perubahan ini berkaitan dengan sistem pembayaran gaji selain melalui bank atau institusi kewangan.

Definisi Upah/Gaji Akta Kerja 1955

Bila buka Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022, perkataan gaji disebut sebagai ‘upah’. Di bawah Seksyen 2 upah adalah semua pembayaran lain dengan wang tunai kepada pekerja bagi kerja yang dibuat mengenai kontrak perkhidmatannya.

Di sini upah adalah bayaran wang tunai kepada pekerja, jadi sebarang imbuhan lain yang majikan beri tidak dianggap sebagai sebahagian daripada gaji. Antara bentuk imbuhan lain yang tidak dikategorikan sebagai gaji adalah,

  • Tempat tinggal kepada pekerja atau bekalan makanan, minyak, lampu, air serta rawatan perubatan terhadap mana-mana kemudahan atau perkhidmatan
  • Sebarang caruman yang perlu dibayar majikan terhadap mana-mana institusi simpanan kewangan dan institusi faedah pekerja
  • Mana-mana elaun, kos perbelanjaan khas, ganjaran atau bonus yang diberikan kepada pekerja semasa perkhidmatan atau sebagai pemberhentian

Harapnya semua jelas di sini yang sebarang faedah tambahan yang syarikat beri bukan sebahagian daripada gaji pekerja. Jadi tidak boleh majikan beri alasan gaji pekerja dikurangkan sebab tolak elaun.

Bila Pembayaran Gaji Perlu Dibuat?

Ramai pekerja mula rasa susah hati bila gaji masih tidak dibayar selepas masuk bulan baru. Ada sesetengah kes pula mungkin pekerja jadi resah kerana dalam kontrak perkhidmatan tidak dinyatakan bila pembayaran gaji dibuat.

Sebenarnya, Seksyen 18 Akta Kerja 1955 terangkan tempoh pembayaran gaji sesuatu kontrak perkhidmatan adalah tidak melebihi 1 bulan dan jika tidak tidak dinyatakan dalam kontrak, ia tetap dianggap sebagai 1 bulan.

Maksudnya majikan perlu bayar gaji pekerja setiap bulan, standard di Malaysia pembayaran gaji dibuat bulanan termasuk untuk pekerja sambilan. Jadi tidak boleh majikan bayar gaji pekerja contohnya pada setiap 2 bulan atau secara tahunan.   

Malah, Seksyen 19 terangkan lagi yang setiap majikan perlu bayar gaji pekerja tidak lewat dari 7 hari selepas hari terakhir bagi mana-mana tempoh upah, ditolak potongan wajib untuk tempoh perkhidmatan tersebut.

Senang cerita gaji pekerja bulan Mei contohnya, majikan perlu bayar antara 1 haribulan ke 7 haribulan pertama bulan Jun termasuk segala potongan wajib yang digariskan dalam perundangan kerja Malaysia.

Sistem Pembayaran Upah yang Dibenarkan

Akhirnya kita sudah tiba ke bahagian yang bincangkan tentang perubahan dalam Akta Kerja 1955, berkenaan sistem pembayaran gaji selain melalui bank atau institusi kewangan.

Pada Seksyen 25, gaji pekerja hendaklah dibayar ke dalam akaun yang dibuka atas nama pekerja itu melalui mana-mana instituti kewangan yang dilantik boleh syarikat untuk sebarang proses pembayaran. Sekali lagi diingatkan pembayaran yang dibuat mesti termasuk segala potongan wajib seperti KWSP, SOCSO dan EIS pekerja serta majikan. 

Maksud institusi kewangan di sini adalah suatu bank berlesen dan pengeluar instrumen pembayaran yang diluluskan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, dan Akta Institusi Pembangunan Kewangan 2002.

Tapi Seksyen 25A pula sebut tentang pembayaran gaji selain daripada melalui institusi kewangan. Ia menggariskan seorang majikan boleh atas permintaan bertulis pekerja untuk buat pembayaran dengan wang sah atau cek.

Melalui Seksyen 25A ini pekerja boleh minta pembayaran gaji dibuat dalam bentuk wang sah atau cek dengan permohonan bertulis kepada majikan. Majikan pula boleh meluluskannya selepas dapat kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Kementerian Kemanusian Semenanjung Malaysia (JKTSM).

Ini adalah satu bentuk kemudahan yang membenarkan pembayaran gaji pekerja dibuat sama ada dalam tunai ataupun cek. Walaubagaimana pun, sistem pembayaran ini perlu dapat kebenaran Ketua Pengarah dan tidak melanggar penetapan lain yang dinyatakan di awal artikel.

Ternyata perubahan yang dibuat pada pindaan 2022 Akta Kerja 1955 ini bukan sahaja beri manfaat kepada pekerja malah kepada majikan dalam proses pembayaran gaji. Tak kira apa bentuk sekali pun yang penting upah hasil titik peluh pekerja dibayar.

One Comment

Leave a Reply