Skip to main content

Pasti anda perasan setiap bulan sejumlah kecil gaji anda akan dipotong dan dimasukkan ke dalam KWSP, SOCSO dan SIP. Potongan itu adalah sebahagian daripada caruman wajib ke atas pekerja di Malaysia, terutamanya mereka yang bekerja dalam sektor swasta. 

Kelalaian atau kegagalan seorang pekerja atau majikan untuk membuat caruman boleh dikenakan tindakan undang-undang. Jadi, jika anda seorang pekerja atau majikan yang baru mari belajar cara untuk mendaftar EPF, SOCSO dan SIP.

Apa itu EPF/SOCSO/SIP?

Sebelum pergi lebih jauh tentang cara bagaimana untuk mendaftar caruman-caruman wajib yang disebutkan tadi, adalah lebih baik untuk anda kenali dahulu tentang KWSP, SOCSO dan SIP.

1. KWSP

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau EPF dalam bahasa English ialah caruman wajib yang perlu dibayar oleh setiap pekerja dan majikan seperti yang tertakluk dalam Seksyen 43(1) Akta KWSP 1991.

Seksyen 43(1) ada menyebut bahawa semua pekerja dan majikan perlu membayar caruman secara bulanan dengan amaun upah bagi bulan itu pada kadar yang telah ditetapkan dalam Jadual Ketiga. Sebarang rujukan lanjut boleh dibuat di laman web KWSP.

Secara amnya, seorang majikan perlu membayar sebanyak 13% jumlah syer caruman dan seorang pekerja perlu membayar kira-kira 11% jumlah caruman daripada gaji pokok pekerja itu.

Berkuatkuasa 1 Julai 2022 pula semua jumlah caruman KWSP perlu dibayar dalam nilai ringgit dan tiada nilai sen. Ini bermaksud jika terdapat jumlah sen, maka ia perlu digenapkan ke nilai ringgit berikutnya. Contoh yang mudah adalah RM327.60 akan dibundarkan kepada RM328.

Satu lagi perkara menarik tentang KWSP adalah caruman ini juga boleh dibuat ke atas pekerja bukan warganegara. Ia tidak wajib tetapi atas dasar pilihan oleh pekerja bukan warganegara itu. Caruman KWSP ini boleh dibuat apabila kedua-dua pihak pekerja dan majikan telah mencapai persetujuan.

2. SOCSO

SOCSO atau dalam Bahasa Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ialah sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan bagi menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja-pekerja di Malaysia.

Pengenalan caruman SOCSO ini termaktub dalam Akta Keselamatan Sosial  Pekerja 1969 yang bertujuan untuk melindungi kebajikan pekerja, dan terdapat dua jenis skim di bawah Akta 4 iaitu Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan.

Skim Bencana Pekerjaan berfungsi untuk melindungi pekerja yang alami kemalangan semasa di tempat kerja atau terkena penyakit semasa melakukan tugas di tempat kerja. Manakala Skim Keilatan pula diwujudkan untuk beri perlindungan 24 jam kepada pekerja yang hilang keupayaan kekal atau kematian bukan sebab berkaitan pekerjaan.

Terdapat dua jenis caruman dibawah PERKESO iaitu Caruman Jenis Pertama dan Caruman Jenis Kedua. Rujukan lanjut boleh dibuat pada laman web rasmi PERKESO.

  • Caruman Jenis Pertama
    • Bagi pekerja berumur kurang daripada 60 tahun dan caruman dibayar oleh majikan dan pekerja untuk Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan
    • Kadar caruman terdiri daripada 1.75% syer majikan dan 0.5% syer pekerja berdasarkan gaji bulanan pekerja itu
  • Caruman Jenis Kedua
    • Semua pekerja yang telah capai umur 60 tahun perlu dicarum bagi perlindungan Skim Bencana Pekerjaan sahaja
    • Kadar caruman adalah daripada syer majikan sahaja iaitu sebanyak 1.25% daripada gaji bulanan pekerja itu

Menariknya tentang PERKESO, pekerja yang dikecualikan daripada perlindungan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 terdiri daripada pekerja tetap kerajaan Persekutuan dan Negeri, pembantu rumah, pekerja sendiri serta pasangan pemilik tunggal atau pemilik perkongsian.

3. SIP

Sistem Insuran Pekerja (SIP) atau EIS pula ialah jenis caruman baru PERKESO dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 bagi menggantikan skim Orang Berinsuran (OB) yang kehilangan pekerja. Kata kuncinya di sini adalah kehilangan kerja bukan mereka yang meletak jawatan secara sukarela atau tamat tempoh kontrak.

Objektif pengenalan SIP adalah untuk beri bantuan dalam bentuk wang kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan. Ia juga diwujudkan untuk membantu pekerja yang menganggur bagi mencari kerja baru dan meningkatkan kebolehkerjaan pekerja yang tidak bekerja di bawah latihan vokasional.

Mengikut garis panduan yang ditetapkan setiap majikan di sektor swasta perlu bayar caruman bulanan untuk setiap pekerja, dan semua pekerja dalam lingkungan usia 18 tahun ke 60 tahun perlu mencarum kecuali kepada mereka berusia 57 tahun ke atas dan tiada caruman telah dibayar sebelum mencapai 57 tahun.

Kadar caruman untuk SIP telah ditetapkan sama rata antara pekerja dan majikan iaitu sebanyak 0.2% daripada pagi pokok pekerja.

Wajib ke EPF/SOCSO/SIP?

Seperti yang dinyatakan sejak awal lagi caruman KWSP, SOCSO dan SIP adalah WAJIB. Setiap caruman ini perlu dijelaskan oleh pihak majikan pada setiap 15 haribulan pada bulan berikutnya.

Sebagai contoh, majikan perlu jelaskan caruman KWSP pekerja bagi gaji bulan Januari 2023 dalam bulan Februari 2023 sama ada sebelum atau pada 15 Februari 2023. Kaedah caruman pula boleh dibuat melalui beberapa cara seperti:

  • e-Caruman 
  • Aplikasi mudah alih
  • Perbankan internet
  • Ejen bank
  • Kaunter KWSP

Andai berlaku kelewatan atau kegagalan membayar caruman yang dinyatakan, maka majikan akan dikenakan caj lewat bayar minimum sebanyak RM10 untuk KWSP, sementara untuk SOCSO pula dikenakan faedah caruman lewat bayar sebanyak 6% setahun.

Bagi pekerja yang gagal bayar caruman SIP pula, jika didapati bersalah melanggar peraturan maka pekerja itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 2 tahun dan didenda maksimum RM10,000.

Bagaimana cara nak daftar EPF/SOCSO/SIP?

Sekarang anda sudah faham apa itu KWSP, SOCSO dan SIP, kini sudah tiba masa untuk belajar cara untuk mendaftarnya. 

Bagi KWSP, anda diwajibkan untuk berdaftar sebagai ahli di bawah Akta KWSP 1991 sebagai simpanan persaraan atau ketika anda tidak lagi bekerja. Terdapat empat cara untuk anda mendaftar sebagai ahli KWSP iaitu:

  • Pendaftaran secara automatik – kaedah ini boleh digunakan untuk warganegara dan Penduduk Tetap (PR) di Malaysia yang memiliki MyKad apabila majikan buat caruman kali pertama kepada KWSP
  • Pendaftaran di Kaunter – anda hanya perlu pergi ke mana-mana kaunter KWSP dan daftar menggunakan MyKad sahaja. Bagi bukan warganegara pula perlu kemukakan dokumen seperti passport atau permit kerja yang sah atau visa berserta Borang KWSP 16B dan Borang KWSP 3
  • Pendaftaran melalui i-Akaun Majikan – majikan boleh daftarkan pekerja warganegara dan pemastautin tetap Malaysia yang mempunyai kad pengenalan 7 dan 12 digit sahaja
  • Pendaftaran di Kiosk –  kemudahan ini diperkenalkan KWSP untuk kesenangan anda berdaftar dengan hanya menggunakan MyKad dan pengesahan cap jari sahaja, selepas pendaftaran berjaya anda akan terima notis nombor ahli KWSP anda.

Suka diingatkan setiap nombor ahli KWSP adalah unik dan akan digunakan pada setiap urusan KWSP termasuk pembayaran dan pengeluaran, maka penting untuk anda berikan nombor keahlian KWSP kepada majikan bagi memastikan pembayaran dapat dibuat dengan tepat dan berterusan.

Proses pendaftaran PERKESO pula boleh dibuat secara dalam talian melalui Portal ASSIST. Pihak majikan perlu mengisi Borang Pendaftaran Majikan (Borang)1 dan Borang Pendaftaran Pekerja (Borang 2) bersama dokumen-dokumen lain.

Sama seperti KWSP, pendaftaran PERKESO kini boleh menggunakan nombor IC sahaja dan tidak lagi menggunakan nombor Keselamatan Sosial bagi tujuan pendaftaran. 

Cara untuk memohon SIP pula boleh dibuat dalam tempoh 60 hari dari tarikh kehilangan kerja seperti yang digariskan dalam Seksyen 29 Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017. Selain itu, ia boleh dibuat secara dalam talian melalui Portal SIP atau ke kaunter pejabat PERKESO sendiri.

Antara dokumen yang perlu ada untuk membuat tuntutan faedah SIP adalah salian KPPN, bukti kehilangan pekerjaan seperti surat penamatan kerja, salinan maklumat akaun bank dan slip gaji 6 bulan terakhir. 

Kini anda sudah tahu apa dan bagaimana cara untuk mendaftar dengan KWSP, SOCSO dan SIP. Sudah tiada lagi alasan untuk anda berlenggah mendaftar caruman-caruman wajib ini. Jika penyata slip gaji anda tiada tertera sebarang caruman segera berbuat sedemikian.