Jika suatu masa dulu mereka yang bekerja sendiri (freelance) sering dipandang sebelah mata, tetapi sejak penularan Covid-19 tempoh hari semakin ramai individu dilihat ceburi sektor ekonomi gig di Malaysia.
Walaupun trend ini bukan benda baru tapi ramai yang tidak tahu sebenarnya pekerja freelance turut ditawarkan faedah-faedah yang hampir sama seperti pekerja lain. Mari belajar faedah-faedah yang ditawarkan kepada pekerja freelance di bawah.
Apa Itu Ekonomi Gig
Umumnya, mereka yang bekerja freelance dikategorikan sebagai pekerja sektor ekonomi gig (gig economy). Sektor ini adalah satu sistem pasaran bebas yang beri kebebasan kepada pekerja bekerja tanpa penyeliaan majikan.
Ini bermakna pekerja tidak diikat dengan kontrak perkhidmatan tetapi sebaliknya bekerja di bawah kontrak kerja fleksibel bersama pelanggan, dan amaun upah dibayar berdasarkan persetujuan bersama.
Antara pekerjaan di bawah sektor ekonomi gig adalah penunggang e-hailing dan pemandu p-hailing. Malah, perniaga termasuk pencipta kandungan (content creator) juga dikira sebagai freelance.
Senang cerita, freelance seperti kata kuncinya bebas bergerak sendiri tanpa penyeliaan majikan atau terikat terhadap suatu organisasi. Pekerja itu boss kepada diri sendiri!
Kelebihan dan Kekurangan
Tentunya pekerja dalam sektor ekonomi gig ada kelebihan dan kelemahan tersendiri. Bergantung kepada pekerja itu, sesetengah mungkin rasa bekerja freelance ada banyak kelebihan berbanding kekuranga dan begitu juga sebaliknya.
Kelebihan utama bekerja sebagai freelance adalah:
- Waktu kerja fleksibel
- Pekerja freelance tidak terikat kepada ‘office hour’ dan bebas untuk rehat berdasarkan jadual kerja sendiri di mana sahaja atau pada bila masa
- Bebas buat keputusan
- Pekerja freelance memiliki kawalan penuh terhadap sebarang keputusan dalam bekerja seperti bila untuk cuti, rehat atau jenis kerja yang dibuat termasuk amaun ganjaran
- Keuntungan tidak perlu dikongsi
- Pekerja freelance tidak perlu bimbang untuk membahagikan keuntungan yang diperolehi sama-rata kepada semua pekerja
Walaupun bekerja freelance kedengaran seronok tetapi masih ada kekurangan yang perlu dipertimbangkan, antaranya:
- Pendapatan tidak menentu
- Pekerja freelance terdedah kepada risiko kekurangan pendapatan apabila tiada pelanggan dan terpaksa mencatu sumber yang ada
- Perlu bekerja 2 kali ganda dari pekerja pejabat
- Pekerja freelance yang tidak terikat waktu pejabat mungkin perlu bekerja lebih masa bagi menyiapkan tugasan tanpa menerima bayaran tambahan
- Kekurangan faedah tambahan
- Pekerja freelance yang tiada majikan tidak layak dapat faedah seperti bonus atau kelebihan lain seperti perbelanjaan perubatan termasuk faedah persaraan
Faedah Untuk Pekerja Ekonomi Gig
Seperti yang dinyatakan tadi, pekerja freelance tidak layak dapat faedah-faedah ditawarkan syarikat kerana tidak bermajikan. Tetapi ini tidak bermakna nasib pekerja freelance tidak terjamin.
Sebenarnya di bawah insentif persaraan bekerja sendiri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu i-Saraan, pekerja freelance boleh buat caruman secara sukarela untuk tabung persaraan.
Proses untuk jadi ahli sangat mudah, di mana pekerja boleh buka akaun pada aplikasi KWSP atau di laman web pendaftaran i-Saraan KWSP. Sebarang rujukan lanjut boleh dibuat pada laman rasmi KWSP sendiri.
Bagi tujuan perlindungan diri pula, pekerja freelance boleh caruman kepada Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO. Ia terbuka kepada 20 jenis sektor berbeza dari pengangkutan sehingga ke kesenian.
Malah, PERKESO baru-baru ini juga ada melancarkan projek MATRIX yang membenarkan pekerja sendiri daftar dan semak status caruman secara atas talian. Rujukan lanjut boleh dibuat pada laman PERKESO.
Ternyata walaupun pekerja freelance tidak menerima sebarang faedah syarikat seperti pekerja bermajikan lain, mereka masih dilindungi oleh badan-badan pemberi faedah lain yang menjamin keselamatan dan masa depan.